GARAJ

Serlah falsafah rekabentuk L-finesse

Serlah falsafah rekabentuk L-finesse


BAHAGIAN hadapan Lexus GS 350 yang diintegrasikan dengan rekabentuk model konsep LF-GH.


APABILA jentera itu melakukan debut di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada November tahun lalu, ia nyata mengagumkan pihak media. Sebabnya, rangkaian model GS daripada sayap kenderaan mewah Toyota, Lexus itu dilihat berjaya menetapkan satu tanda aras baharu bagi segmen mewah sedan saiz sederhana.

Lexus GS diposisikan antara model IS dan LS dengan generasi pertamanya mula diperkenalkan pada tahun 1993. Model GS generasi kedua dan ketiga bagaimanapun tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Ini kerana Lexus Malaysia hanya ditubuhkan pada tahun 2007. Sejak itu, ia mula menawarkan model GS bersama varian daripada rangkaian model LS.

Kini, model yang ditunggu-tunggu itu sudah berada di pasaran. Bulan lalu, Lexus Malaysia secara rasminya memperkenalkan rangkaian Lexus GS 2012 yang direka bagi memberikan kemewahan dan prestasi menerajui kelasnya.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Lexus GS bukan sekadar sebuah kereta yang selesa dan mewah. Ia juga mampu menawarkan pemandu dengan pengendalian hebat, tahap keselamatan yang tinggi dan penjimatan bahan api.

Presiden UMW Toyota Motor, Ismet Suki memberitahu, komen-komen positif daripada media tempatan dan antarabangsa membuktikan bahawa Lexus GS telah menepati, malah melangkaui segala jangkaan.

“Lexus GS mewakili prinsip berterusan Lexus iaitu ‘Pursuit of Perfection’. Maksudnya, peningkatan standard dari segi kejituan kualiti, ketelitian dan gaya. Walaupun tidak begitu menonjol, perubahannya cukup bermakna dan nyata. Sekali gus membawa pengalaman Lexus GS ke tahap seterusnya,” kata Ismet.

Demi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza, Lexus Malaysia membawa GS dalam lima varian iaitu GS250, GS250 Luxury, GS350 Luxury, GS250 F SPORT dan GS350 F SPORT. Harga yang ditawarkan bermula daripada RM366,200 hingga RM464,800 bergantung kepada varian.

Harus tahu bahawa jentera tersebut menampilkan falsafah rekabentuk baharu yang dikenali sebagai “L-finesse”. Maka tidak hairanlah jika GS kelihatan lebih canggih dan berani.

Cara untuk mengenalpastinya mudah, lihat sahaja kepada rekaan gril hadapannya. Rekaan gril itu bakal digunakan pada semua model Lexus sebagai simbol identiti keteguhan jenama dan masa depan Lexus.

Selain gayaan L-finesse, Lexus GS diintegrasikan dengan rekabentuk model konsep LF-GH yang mula dipertontonkan kepada umum pada awal tahun 2011. Merupakan evolusi kepada hala tuju rekaan yang dibangunkan untuk model hibrid Lexus CT200h, bahagian hadapannya itu membuatkan Lexus GS dapat dikenal pasti dengan pantas walaupun dilihat sekilas pandang.

Penampilan luarannya juga menandakan pendekatan baharu berkaitan aliran angin tubuhnya yang aerodinamik. Pendek kata, setiap garis pada tubuh Lexus GS membantu mengawal pergerakan kenderaan dan meningkatkan kestabilan pengendaliannya.

Sementara itu, ruang kabin GS juga tidak terkecuali mengalami perubahan besar. Ia menampilkan paparan Electro Multi Vision paling besar yang pertama dalam dunia automotif. Skrin bersaiz 12.3 inci itu cukup untuk menyokong paparan peta, audio, kawalan suhu atau maklumat-maklumat penting lain yang dikehendaki oleh pemandu secara serentak.

Mengulas tentang ruang dalaman, Ismet menjelaskan beberapa teknologi berinovasi tinggi diaplikasikan buat pertama kali pada Lexus GS baharu. Misalnya, tetikus komputer Remote Touch Controller Lexus yang membolehkan pemandu mengendalikan pelbagai sistem tanpa perlu mendepakan tangan untuk menekan butang atau suis.

Berita baik untuk mereka yang gemar mendengar muzik. Untuk varian Luxury dan F SPORT, anda boleh memilih sistem audio yang menawarkan kuasa dan kejelasan tiada tandingan. Sistem audio jenama Mark Levinson hadir bersama 17 unit pembesar suara yang memberikan kualiti bunyi terbaik.

Bercerita tentang prestasi, GS250 dijana oleh unit enjin 2.5-liter V6 yang mampu menjana kuasa sehingga 207hp dan tork maksimum 253Nm. Sementara varian GS350 pula menggunakan enjin 3.5-liter V6 yang sedia menyalurkan kuasa mencecah 306hp dan tork 378Nm.

Kedua-dua enjin dengan Dual VVT-I itu turut menampilkan sistem pancitan bahan api EFI-D4S. Fungsinya adalah untuk mengoptimumkan penghantaran bahan api dan telah ditala untuk meningkatkan kuasa serta menjimatkan minyak.

Buat pertama kalinya dalam enjin Lexus, satu unit Sound Generator telah dipasang untuk menambah tekanan bunyi pada frekuensi tertentu bagi menghasilkan bunyi enjin yang lebih sedap didengar.

Enjin-enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik Super ECT Lexus bernisbah pendek. Kuasa enjin diagih ke roda belakang kenderaan dengan pantas dan lancar. Transmisi itu juga diprogramkan dengan pelbagai mode pemanduan yang boleh dipilih menerusi Drive Mode selector.

Maknanya, selain mode Normal, Lexus GS menawarkan pemanduan menjimatkan atau ECO. Sebaik sahaja mode ECO dipilih, pemetaan pendikit, sistem pemanas tempat duduk pendingin hawa diubah untuk menjimatkan bahan api. Malah lampu meter juga akan bertukar menjadi biru.

Walaupun komuniti Lexus tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan pemilik jenama mewah lain, Lexus sebenarnya sudah mampu membentuk kelompok peminatnya tersendiri. Apa yang diperlukan oleh Lexus adalah masa untuk meyakinkan bahawa produknya tidak kalah dari segi rekabentuk dan teknologi berbanding pesaing-pesaingnyanya.

Lexus Malaysia mula menerima tempahan untuk model GS sejak 1 Februari lalu. Ia mensasarkan untuk menjual sekitar 150 unit Lexus GS sehingga akhir tahun ini.

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32