HORIZON

Tidur atas laut firus

Tidur atas laut firus



SEMEMANGNYA percutian yang mendekatkan diri dengan alam rimba dan lautan menjadi dambaan penghuni ‘hutan batu’. Kunjungan ke Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah sesungguhnya menjanjikan pelbagai keseronokan buat tetamunya.

Apatah lagi, jemputan percutian mewah bertaraf lima bintang yang ditaja oleh Gayana Eco Resort (GER) merupakan yang kali pertama diadakan sejak ia beroperasi empat tahun lalu.

Terdapat 44 buah calet di GER dan 47 buah vila di Bunga Raya Island Resort & Spa (Bunga Raya), iaitu sebuah projek tambahan yang turut diuruskan oleh GER. Dalam aura lima bintang, kadar harga penginapan berbeza bergantung kepada jenisnya.

GER dan Bunga Raya merupakan dua lokasi berbeza. Untuk ke GER, pengunjung perlu menaiki bot atau feri dari jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu. Jika mahu ke Bunga Raya pula, pengunjung perlu menaiki bot laju dari GER yang mengambil masa selama 20 minit.

Sekiranya bernasib baik, sepanjang menaiki bot, pengunjung dapat melihat Gunung Kinabalu yang digelar ‘gunung pemalu’ oleh penduduk tempatan. Gelaran itu diberi kerana gunung setinggi 4,095 meter itu sering diselubungi kabus dan agak sukar dilihat dari jauh.

Kira-kira 200 meter sebelum tiba di pelantar menyambut tetamu, rupa bentuk muka bumi Pulau Gaya yang seperti bulan sabit itu seolah-olah menggamit pengunjung untuk segera mendekatinya.

Tetamu yang tiba disambut oleh kakitangan GER yang murah dengan senyuman sambil mempelawa minuman segar. Layanan mesra itu tidak hanya berakhir di situ.


REKAAN seakan rumah kampung menjadikan percutian ke Pulau Gaya bertambah indah untuk dikenang.


Air jernih

Selepas diberi taklimat ringkas oleh Pengurus Besar GER kelahiran Denmark, Tomas Kastberg Andersen, kakitangan GER mengiringi kami meninjau suasana calet yang menanti di situ.

Sambil kakitangan GER berceloteh mengenai pulau dan calet tersebut, mata meliar melihat rekaan dan susun atur premis yang membuatkan diri seolah-olah ditarik-tarik untuk ‘terbang’ ke arahnya lantaran ia kelihatan amat mendamaikan.

Saat berjalan di atas jeti kayu, mata tidak lepas daripada mengagumi kejernihan air lautnya yang berwarna firus.

Memandang liuk-lentok ikan yang berenang, rumput laut yang menari-nari mengikut arus laut dan pasirnya yang memutih menambah nilai eksotik resort tersebut.

Bagi yang obses dengan kehidupan pulau, GER pasti menjadi destinasi istirehat impian.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di GER adalah dengan mengikuti sesi selaman skuba, memberi makan ikan kobia (spesies ikan raja) dan kerapu gergasi serta mengunjungi pusat penyelidikan mengenai hidupan marin seperti kima serta terumbu karang.

Sempena kunjungan berkenaan, para wartawan diberikan kesempatan untuk menginap di Bayu Villa iaitu sebuah bilik yang dilengkapi penyaman udara yang menghadap Laut China Selatan.

Sebaik melangkah masuk, mata pasti tertumpu pada pilihan dan susun atur perabot di ruang penginapan. Katil dengan tilam empuk, meja kerja, kerusi rotan dan almari disediakan selain kemudahan bernilai tambah lain.


LANTAI kaca di Palm Villa direka khas bagi pengunjung yang ingin melihat hidupan marin ketika beristirehat di ruang tamu.


Selesa beristirehat

Jika mahu menghirup udara segar di luar bilik, penginap boleh beristirehat di kerusi malas di bahagian beranda. Keajaiban suasana malam apabila bintang-bintang bersinar terang ataupun panorama matahari terbit seawal pukul 5.30 pagi tentunya momen yang dinanti-nantikan.

Bagi yang mahu memuaskan tuntutan selera, GER menyediakan dua buah restoran untuk dikunjungi. Hidangan makanan laut yang menyerlerakan boleh dinikmati di Restoran Alu-Alu sementara bagi mereka yang menggemari masakan Barat, Restoran Macac sedia menyambut pengunjung.

Restoran Alu-Alu memberikan pengunjung pengalaman menikmati makan tengah hari dan malam di premis terapung sambil disapa bayu laut. Pengunjung boleh memilih sendiri makanan laut segar dari akuarium.

Jangan lupa menikmati tauhu bakar istimewa hasil air tangan cfef berpengalaman di restoran tersebut.

Dalam seronok menikmati juadah, sesi makan malam itu pasti lebih romantik dengan kehadiran dua orang pemuzik tempatan yang mendendangkan lagu sambil memetik gitar. Nyatakan sahaja lagu kegemaran anda, permintaan itu pasti dipenuhi!

Menurut Tomas, GER dibina khusus untuk mereka yang ingin mencari ketenangan dan kedamaian minda sambil ditenangkan bunyi ombak laut dan unggas rimba.

“Bermula empat tahun lalu, idea untuk mewujudkan calet di kawasan Pulau Gaya diilhamkan oleh keluarga pengusaha dan pemiliknya, Gillian Tan, 28.

“Kami sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. Kami mengambil peluang itu untuk mendidik mereka supaya menghargai khazanah lautan yang begitu penting untuk dilindungi seperti kima dan terumbu karang,” ceritanya.


REKAAN bangunan yang klasik membuatkan pengunjung berat hati untuk meninggalkan GER.


Tomas menambah, pengunjung boleh melakukan aktiviti selam skuba di situ untuk merasai sendiri keindahan hidupan marin yang terdapat di sekitar perairan Pulau Gaya.

Keindahan alam

Seperti di GER, Bunga Raya tidak kurang hebatnya kerana ia menjanjikan kedamaian dan keindahan alam dalam kelas tersendiri.

Perjalanan menaiki bot laju yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari GER, empayar yang dibina oleh keluarga Gillian itu menawarkan vila-vila mewah yang memanjakan penginapnya dengan pelbagai kemudahan dalam aura tropika gaya hidup pulau.

Selain diberi bilik yang dilengkapi kelengkapan seperti di GER, pengunjung boleh melakukan aktiviti snorkeling, aktiviti merentas hutan hingga ke GER yang mengambil masa tiga jam perjalanan, kayak dan jet ski.

Bunga Raya juga dilengkapi dengan restoran, peralatan barbeku, gim dan spa.

“Spa di sini menyediakan lapan buah bilik rawatan dan pengunjung boleh menenangkan fikiran dengan mendengar muzik atau irama sahutan unggas rimba yang mengasyikkan,” kata Tomas.

Tambahnya, nama Bunga Raya diambil sempena bunga kebangsaan yang menjadi kebanggaan Malaysia. Tambahan pula, ia dipilih sempena minat pemilik resort yang terlalu mencintai alam semula jadi.

“Tidak hairanlah jika pengunjung menemui banyak pokok bunga raya yang ditanam di sekitar kawasan resort,” katanya.

Pilihan penginapan

Penginapan calet di GER menawarkan beberapa jenis unit bergantung kepada persekitarannya.

Ia menawarkan unit-unit Rimba Villa yang menghadiahkan penginap dengan pemandangan hutan, Pantai Villa (pemandangan teluk), Bakau Villa (pemandangan pokok bakau), Bayu Villa (pemandangan laut) dan Palm Villa.


AIR laut yang jernih hingga menampakkan hidupannya membuatkan GER menjadi idaman pencinta kehidupan pulau.


Palm Villa yang seluas 139.4 meter persegi merupakan penginapan paling mewah. Ia dilengkapi bar mini, balkoni privasi dengan akses terus ke laut dan ruang mandian yang besar untuk tab mandi dua orang.

Penginapnya juga dimanjakan dengan keselesaan hawa dingin, akses Wi-Fi, mesin membuat minuman, televisyen LCD 32 inci, barangan penjagaan diri mewah dan perkhidmatan butler.

Lengkap dengan dengan sebahagian lantainya dibina menggunakan kaca telus pandang bagi membolehkan penginap melihat kebiruan air laut.

Sementara itu, di Bunga Raya, sebanyak enam jenis vila ditawarkan iaitu Superior, Deluxe, Beachfront, Treehouse, Suit Deluxe dua katil dan suit Deluxe tiga katil.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.gayana-eco-resort.com atau hubungi 088-380 390.

Process time in ms: 31