INFINITI

Pencahayaan LED yang mesra alam

Pencahayaan LED yang mesra alam



DALAM teknologi hari ini, kita akan mendapati masa berlalu cukup pantas. Banyak peranti teknologi dihasilkan seiring dengan keperluan pengguna yang dambakan gejat tercanggih bagi memudahkan kehidupan mereka.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, penekanan terhadap teknologi hijau semakin dititikberatkan dalam pembangunan peranti-peranti berkuasa tinggi agar dapat mengimbangi dan membantu mengurangkan perubahan iklim yang melanda dunia.

Industri pencahayaan tidak terkecuali dalam membantu mengurangkan perubahan iklim dengan memperkenalkan teknologi pencahayaan lebih mesra alam dan menjimatkan tenaga.

Satu ketika dahulu, teknologi diod pemancar cahaya (LED) yang cukup popular digunakan dalam peranti-peranti elektronik, jam tangan dan kalkulator mula diadaptasi sebagai sumber tenaga pencahayaan hijau.

Ia mula digunakan dalam menerangi bangunan-bangunan yang berdiri kukuh, kediaman penduduk malah dijadikan sebagai cahaya ambien untuk membangkitkan suasana di dalam pusat hiburan ataupun premis restoran.

Pengurus Besar Philips Lighting Malaysia, Vennila Rajamanickam, memberitahu, terdapat peningkatan penggunaan LED dalam industri pencahayaan kerana ia dapat memberi banyak faedah kepada orang ramai dan alam sekitar.

“Pencahayaan tenaga secara efisien semakin menjadi trend global kerana ia menawarkan pengguna sumber cahaya serba guna dan fleksibel, malah mampu mengurangkan kos perbelanjaan mereka.

“Sebanyak satu per lima daripada jumlah keseluruhan tenaga yang diguna pakai adalah melalui lampu.

Kita perlu melakukan perubahan dalam penggunaan sumber tenaga cahaya ini,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Philips Lighting di Petaling Jaya, Selangor.

Vennila menambah, pencahayaan bukan sahaja berfungsi dalam menyerlahkan seri sesuatu bangunan, ruang pejabat, rumah, tetapi juga mewujudkan lebih nilai dan keselamatan melalui pancaran yang dihasilkan lampu-lampu berkenaan.

Lampu-lampu yang digunakan pengguna juga perlu mempunyai keupayaan pengurangan haba, kuasa watt dan kesan terhadap alam sekitar.


KADAR penglihatan lebih jelas apabila menggunakan lampu LED di lebuh raya.


“Secara realistik lampu yang menggunakan penyelesaian teknologi LED mampu menjimatkan sehingga 40 peratus tenaga global.

“Bahkan, kami menjangka penggunaan teknologi lampu LED akan meningkat sehingga 50 peratus menjelang tahun 2015 kelak,” katanya.

Revolusi LED

Sejak beberapa tahun lalu, teknologi LED semakin berkembang maju dan canggih sehingga digunakan untuk beberapa segmen pasaran yang melibatkan penggunaan lampu.

”Terdapat beberapa segmen pasaran boleh menggunakan teknologi LED yang mesra alam dan menjimatkan tenaga ini.

“Antaranya peruncitan, hiburan, ruang rumah atau pejabat, permotoran, bangunan, lebuh raya dan hospitaliti,” ujarnya.

Vennila menambah, ia juga mampu memberikan pelbagai faedah dan merupakan pilihan ideal kepada masyarakat yang ingin menjimatkan tenaga atau sentiasa prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Sebagai contoh, sumber cahaya LED lebih lima kali ganda efisien berbanding lampu tradisional.

“Disebabkan sumber lampu LED bebas daripada merkuri, ia lebih mesra alam sekitar dan memudahkan proses kitar semula apabila tidak digunakan lagi.

“Jangka hayat lampu LED juga lebih tahan lama yang bermakna kurang penyelenggaraan sekali gus menjimatkan kos yang perlu dikeluarkan pengguna,” jelasnya.

Dalam pada itu, Vennila berkata, teknologi LED juga tidak memancarkan radiasi inframerah atau ultralembayung.

Ujarnya, ia sekali gus membolehkan lampu-lampu LED dipasang di kawasan sensitif, ruang sempit dan berdekatan dengan orang ramai kerana tidak merosakkan harta benda ataupun mendatangkan bahaya.

“Bagi mereka yang ingin menggunakan teknologi LED

dalam persekitaran lasak ia sama sekali tidak akan mendatangkan masalah.

“Lampu yang menggunakan teknologi LED boleh menahan tekanan, gegaran dan gangguan menjadikannya ia ideal digunakan di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Rangkaian produk

Perkembangan teknologi LED banyak mengubah cara orang ramai mempelbagaikan penggunaan lampu-lampu terutamanya apabila berada di rumah.


KEINDAHAN malam lebih mengasyikkan apabila ditemani sinaran lampu-lampu deko Philips.


Masyarakat hari ini lebih tertarik dengan produk yang mempunyai nilai reka bentuk menarik, mampu menjimatkan kos penggunaan tenaga dan menawarkan kepelbagaian kegunaan.

Bahkan, pengguna lebih matang dalam pemilihan produk dengan menggunakan teknologi yang mampu membantu memulihara alam sekitar agar generasi dapat menikmati khazanah dunia.

Pengurus Produk Philips Lighting Malaysia, William Sow memberitahu, terdapat beraneka pilihan produk lampu-lampu yang boleh dinikmati pengguna hari ini.

“Mereka boleh memilih pelbagai rangkaian lampu-lampu untuk dipasang di bilik tidur, ruang tamu, pejabat, bilik air dan dapur.

“Sebagai contoh, ibu bapa tentu sekali ingin memastikan keselamatan anak-anak mereka apabila berada di dalam bilik.

“Dengan menggunakan rangkaian lampu-lampu kanak-kanak Philips mereka tidak perlu bimbang

kerana ia tidak panas, malah menggunakan bahan bukan toksik,” katanya.

Selain daripada itu, dia memberitahu, terdapat juga lampu-lampu yang sesuai digunakan di dalam bilik air mereka.

Katanya, lampu-lampu tersebut kalis air dan tentu sekali tidak akan menyebabkan litar pintas apabila digunakan oleh pengguna.

“Kita juga menawarkan pelbagai rangkaian lampu ambien untuk membangkitkan suasana ruang tamu, dapur dan bilik tidur mengikut kesesuaian.

“Bahkan, mereka boleh mengawal warna lampu-lampu yang ingin dipancarkan mengikut tema bilik dan ruang tamu,” ujarnya.

Sebagai salah satu peneraju dalam industri pencahayaan dunia, Philips sentiasa melakukan pelbagai penyelidikan dan pembangunan agar dapat memberi produk terbaik kepada pengguna serta alam sekitar.

Process time in ms: 16