HORIZON

Dinding gua berkilau disuluh

Dinding gua berkilau disuluh


PENEROKAAN di Gua Tempurung menjanjikan 1,001 pengalaman yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.


KEGELAPAN mungkin menakutkan bagi sesetengah orang. Namun, percayakah anda bahawa kegelapan juga membawa keindahan yang tersirat malah mampu merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang masih belum diterokai sepenuhnya?

Jika itu yang diinginkan, Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak menjanjikan 1,001 pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Terletak di antara Gopeng dan Kampar, kira-kira 36 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh, ia merupakan antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.

Berusia hampir 400 juta tahun, Gua Tempurung merupakan formasi batu kapur dan marmar terbesar di negeri Perak. Pembentukannya merupakan sebahagian daripada kehebatan Banjaran Titiwangsa.

Namanya diambil berdasarkan lima ruang besar kubah gua yang seolah-olah menyerupai bawah tempurung kelapa.

Bagi yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ, usah risah kerana kebanyakan laluan di kawasan curam dan bertebing telah dipasang tangga demi kemudahan serta keselamatan pengunjung.

Malah, bagi memudahkan pemerhatian, kawasan sekitarnya juga turut dihiasi lampu yang berwarna-warni di samping memberi mood untuk meneruskan penerokaan ke dalam gua.

Sepanjang berada di dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu marmar yang terdapat di kawasan sungai.

Pakej jelajah

Pengunjung boleh memilih beberapa pakej penjelajahan gua yang disediakan. Antaranya, pakej Golden Flowstone yang mengambil masa 40 minit, Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam).

Bagi pakej Golden Flowstone, pengunjung berpeluang melihat keunikan dinding-dinding gua terhasil daripada pemadatan pasir-pasir halus seperti kristal. Dinding yang basah akan memberi kesan kilauan apabila terkena suluhan lampu suluh.


STALAGMIT yang mempunyai bentuk seakan-akan roket ini menjadi tarikan di Gua Tempurung.


Sementara itu, pakej Top of the World pada paras 125 meter dari paras laut membolehkan pengunjung melihat keunikan stalagmit dan stalaktit seperti batu tergantung, dinding langsir dan batu berombak.

Lebih mempesonakan, ada antara formasi batuan itu yang membentuk imej seakan-akan binatang seperti kepala kuda, anjing, ikan, udang laut, ikan lumba- lumba dan sotong.

Tidak kurang juga ada antaranya yang menyerupai bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia dan juga kenderaan.

Kejutan yang paling mengujakan pengunjung adalah bentuk sebuah stalagmit yang besar menyerupai imej wanita mengandung berambut panjang. Ia seolah-olah sedang berdiri memegang perutnya.

Bagi yang gemarkan cabaran dan aktiviti lasak, boleh mengambil pakej Top of the World & Short River Adventure dan Grand Tour.

Tiada kemudahan disediakan di situ kecuali trek yang sempit, kotor dan basah.

Sepanjang pengembaraan itu, adakalanya, pengunjung perlu merangkak, menggelungsur, menyusur dan meniarap di sungai dan menyusup ke dalam lubang-lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ke tahap seterusnya.

Bagaimanapun, ia lebih menjamin kepuasan lebih-lebih lagi apabila berpeluang melihat keindahan bentuk muka buminya yang unik dan tersendiri.

Diuruskan oleh syarikat APT Consortium Sdn. Bhd., Gua Tempurung lengkap dengan pelbagai kemudahan asas. Antaranya, gerai makanan dan minuman, tandas dan bilik mandi, kawasan letak kenderaan serta khidmat pemandu pelancong.

Process time in ms: 32