HORIZON

Libur santai cara petani dan penternak

Libur santai cara petani dan penternak



JARANG sekali dapat bercuti di inap desa yang lengkap dengan pelbagai aktiviti berbentuk sukan lasak. Lebih istimewa, dapat pula menikmati hidangan enak resipi asli Negeri Sembilan dengan ikan dan ayamnya didapatkan segar dari ladang sendiri!

Itulah kelebihan yang terdapat

di Uluhati yang terletak dekat Batu 18, Hulu Langat ini. Laluan ke lokasi homestay dengan nama unik itu merentasi kawasan berbukit yang akan membuatkan tetamu terpesona dengan pemandangan luas dan tanah rumput menghijau.

Keseronokan kunjungan jadi berganda apabila melihat empat ekor kuda yang jinak berlari beriringan di dalam ladang yang luas terbentang. Menurut pengusaha Uluhati, Shaipudin Shah Harun, kuda-kuda berkenaan pada asalnya adalah sebagai kuda belaan yang kini digunakan untuk aktiviti berkuda oleh tetamu yang datang.

“Tanah ladang ini dibeli sekitar sepuluh tahun lalu dan baru setahun ia dibangunkan sebagai sebuah tempat rekreasi dan penginapan. Saya dan sekeluarga terlebih dahulu berpindah ke sini untuk menikmati kehidupan yang berbeza.

“Kini, ladang ini diuruskan sepenuhnya oleh saya dan isteri serta anak-anak tanpa menggunakan tenaga kerja luar,” katanya mengenai lokasi yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar raya Kuala Lumpur itu.

Shaipudin yang pernah terlibat dalam bidang perbankan selama 25 tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) berkata, selepas meletak jawatan dengan SPNB pada tahun 2008, dia kini menemui cinta baharu dengan menjadi seorang petani, tukang kayu, tukang paip dan ahli veterinar separuh masa di Uluhati.

“Di Uluhati, kami mempunyai pelbagai tanaman pokok buah-buahan yang akan berbuah lebat sekitar bulan Jun seperti buah durian, mempelam, rambutan dan sebagainya.

“Kami juga menternak pelbagai haiwan makanan untuk dimakan sendiri dan dijual seperti ayam kampung, ayam Belanda, ayam api, kambing kampung dan rusa,” katanya yang turut mengusahakan kolam ternakan ikan keli dan tilapia.

Rumah panjang

Bercerita lanjut, Shaipudin memberitahu bahawa para tetamu yang hadir akan dibawa mengelilingi kawasan ladang itu untuk melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Untuk tujuan menginap, katanya, sebuah binaan calet yang mengambil inspirasi rekaan rumah panjang Borneo telah dibangunkan menggunakan hasil hutan sepenuhnya.


ANDAK PENDEK (kiri) menunjukkan cara yang betul untuk menyumpit kepada pengunjung Uluhati.


“Rumah panjang ini mempunyai enam buah bilik. Setiap bilik mampu menampung maksimum seramai empat orang tetamu. Bilik air dibina berasingan tetapi mengasingkan antara tetamu lelaki dan wanita untuk keselesaan.

“Walaupun ia dibina dalam ladang yang menempatkan banyak haiwan ternakan, ladang ini diselenggara dengan baik bagi memastikan ia sentiasa bersih dan tidak berbau,” katanya.

Menurut Shaipudin, antara aktiviti yang boleh dianjurkan di Uluhati adalah seperti parti buah-buahan tempatan (semasa musim buah), hari keluarga organisasi korporat, majlis hari lahir, kem berkuda dan sesi bergambar.

“Tanah ladang ini luas, amat sesuai untuk aktiviti perkhemahan yang selamat dan selesa. Pada waktu malam, lampu kuning dipasang bagi menyerlahkan suasana dan bagi tujuan keselamatan penginap.

Terletak bersebelahan dengan calet rumah panjang berkenaan, sebuah kedai kopi turut didirikan seumpama warung kampung. Sekiranya terdapat tetamu yang datang menginap, Shaipudin dan isterinya, Riznida Eliza Hamzah akan menyediakan sendiri masakan Negeri Sembilan yang menjadi kepakaran mereka.

“Di kedai kopi ini, ayam kampung dan ikan keli yang menjadi bahan utama hidangan masak lemak cili api adalah yang diternak sendiri. Kami menyediakan hidangan lengkap dengan ulam-ulaman, udang dimasak sambal tumis, ikan goreng, sambal belacan, tempoyak dan banyak lagi hidangan pelengkap lain.


PARA peserta aktiviti berakit di jeram tidak sabar untuk mencuba aktiviti itu untuk kali pertama.


“Selepas makan tengah hari dan berehat sebentar, tetamu turut dipelawa menyertai beberapa pilihan aktiviti rekreasi. Selain melawat ladang, mereka juga boleh mencuba aktiviti menyumpit, menunggang kuda atau mengikuti aktiviti treking di sekitar Sungai Langat,” katanya.

Berakit di jeram

Tambah Shaipudin, aktiviti meredah hutan, mendaki gunung, berkhemah di hutan, memancing, berakit di jeram dan safari malam disediakan atas permintaan pelanggan semasa membuat tempahan.

Bentuk muka bumi sekitar Hulu Langat yang dipenuhi bukit dan gunung membuatkan banyak jeram dan air terjun terhasil. Kawasan tersebut menawarkan pelbagai pemandangan dan aktiviti lasak untuk disertai.

“Kebanyakan tetamu yang hadir suka memilih aktiviti berakit yang dikendalikan pendayung Orang Asli kerana golongan itu arif tentang laluan jeram dan dapat berkongsi banyak pengalaman dengan pengunjung,” jelasnya.

Salah seorang daripadanya ialah Tok Batin Orang Asli, Andak Pendek, yang memberitahu bahawa waktu paling sesuai untuk berakit adalah pada awal pagi ketika cuaca masih redup dan sejuk.

Komuniti Orang Asli itu mempunyai kira-kira 20 buah rakit dengan setiap rakit hanya boleh membawa dua orang penumpang.

“Mereka yang ingin menyertai aktiviti berakit perlu memakai pakaian dan kasut yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan mereka. Selipar tidak dibenarkan sama sekali kerana mudah tercabut dan membahayakan tapak kaki sekiranya terpijak batu-batu yang tajam.

“Tempoh berakit adalah kira-kira sejam setengah dan akan melalui sungai Hulu Langat sepanjang kira-kira 10 kilometer,” kata Andak.




Tambahnya, pendayung rakit tersebut ialah daripada kaum Orang Asli yang menjadikan aktiviti berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Pengunjung digalakkan bertanyakan sebarang soalan mengenai kehidupan Orang Asli dan mereka bersedia berkongsi cerita serta pengalaman mereka.

Sementara itu, untuk aktiviti menyumpit, pengunjung dapat mempelajari pelbagai maklumat seperti cara pembuatan sumpit dan kedah menyumpit yang betul.

“Alatan menyumpit dihasilkan menggunakan hasil hutan sepenuhnya. Peluru sumpit yang digunakan tidak beracun berbanding peluru yang digunakan oleh Orang Asli untuk berburu.

“Ternyata, aktiviti ini selamat dan menyeronokkan,” jaminnya.

Rencana Utama!»

Menyuburkan jiwa patriotik

SEBAHAGIAN daripada buku-buku mengenai ketenteraan milik Mohd. Ridhuan yang kerap diulang baca pada masa lapang.

Varia!»

Hubungan erat media, Tentera Darat

PETUGAS media cetak dan elektronik dapat melihat sendiri kemahiran anggota Tentera Darat semasa beroperasi di medan.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16