GARAJ

Adunan rekaan Asia dan Eropah

Adunan rekaan Asia dan Eropah



PENANTIAN untuk menyaksikan kemunculan Suzuki Kizashi ke dalam pasaran tempatan akhirnya menjadi kenyataan.

Khabar mengenai ketibaan model sedan premium pertama keluaran Suzuki Motor Corporation (SMC) bukannya perkara baharu. Ura-ura mengenainya sudah mula kedengaran sejak tahun 2010 lagi.

Kelewatan membawa masuk model utama Suzuki itu dijelaskan oleh Penasihat Eksekutif Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (Suzuki Malaysia), Kenjiro Matsumoto.

Menurutnya, syarikat mahu mengukuhkan persepsi jenama Suzuki dalam kalangan pengguna terlebih dahulu. Caranya, menerusi pengembangan operasi jualan dan perkhidmatan, selain meningkatkan kemudahan serta kumpulan pengedarnya.

“Kami memohon maaf atas penangguhan yang agak lama. Kizashi ialah model utama Suzuki. Kami memerlukan masa secukupnya sebelum melancarkannya,” kata Matsumoto selepas majlis pelancaran model baharu itu di Kuala Lumpur.

Umum tahu bahawa SMC lebih dikenali dengan penghasilan kereta-kereta kompak dan kenderaan utiliti sukan (SUV). Antara produknya yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa ialah Swift. Terdapat kira-kira dua juta pelanggan model kompak itu di seluruh dunia.

Malah, SMC belum pernah menghasilkan sebuah kereta sedan segmen D. Kizashi ialah produk pertamanya. Syarikat Jepun itu dilihat sedang berusaha untuk mengembangkan portfolio produknya dalam pasaran automotif.


EKZOS berkembar dengan kemasan krom menyerlahkan penampilan sporty Kizashi.


Taruhan model baharu itu dilihat agak mencabar memandangkan SMC menempatkan Kizashi dalam kelompok kenderaan yang sangat kompetitif.

Saingannya ialah Kia Optima K5, Nissan Teana, Toyota Camry, Honda Accord, Volkswagen Passat, Peugeot 508 dan Ford Mondeo. Sekali imbas, jenama-jenama dalam segmen D pastinya bukan lawan yang mudah buat Kizashi.

Itu diakui sendiri oleh Timbalan Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Shinya Yokokawa. Katanya, ia bukan mudah tetapi itulah cabarannya.

“Kami mahu tunjukkan kepada pelanggan bahawa Suzuki bukan sekadar pengeluar kereta kompak. Suzuki juga mampu menawarkan produk untuk mereka yang mahu menaik taraf (daripada kenderaan sedia ada),” jelasnya.

Meskipun Suzuki Kizashi diimport sepenuhnya dari Jepun, ia sebenarnya ada mengguna pakai produk keluaran tempatan. Komponen dimaksudkan ialah lampu hadapan HID.

Produk tersebut direka dan dibekalkan oleh sebuah kilang di Pulau Pinang. Komponen syarikat tempatan itu dipasang pada semua model Kizashi yang dipasarkan dalam pasaran antarabangsa.

Tawaran dalam pasaran Malaysia hanya melibatkan model dengan enjin petrol 2.4L VVT pacuan roda hadapan. Suzuki Malaysia memperkenalkan dua varian iaitu SDLX (standard) dan Sport dengan enjin sama.


PAPAN pemuka dan stereng yang sarat dengan butang kawalan.


Enjin itu bukannya baharu. Ia turut dipasang pada model Grand Vitara. Bagaimanapun, jurutera-jurutera SMC sudah membuat talaan semula supaya enjin itu menawarkan kuasa lebih berprestasi.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear jenis CVT (Continuously Variable Transmission) enam kelajuan. Penukaran gear boleh dilakukan menerusi paddle shifter yang berada di belakang stereng.

Jika diamati saiz Kizashi, panjang keseluruhan jentera itu cuma 4,650 milimeter (mm). Ternyata lebih pendek jika dibandingkan dengan model-model sekelasnya. Bagaimanapun, kelebaran model Suzuki itu menyamai saiz Camry dan Passat. Tingginya pula seperti model Teana iaitu 1,480mm.

Imej sporty diadun pada bahagian luaran Kizashi. Bampar hadapan dihiasi gril jaring dan set lampu hadapan besar. Bahagian belakang pula dipasang aerokit nipis pada but. Ekzos di bahagian kiri dan kanan disalut dengan kemasan krom. Ciri keselamatan pula melibatkan sistem brek ABS, EBD, BA dan Hill Assist Control.

Tidak lupa, sepasang cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, sensor parkir di bahagian hadapan dan belakang, rim aloi 17 inci, kawalan jelajah (auto-cruise), kerusi dibalut material kulit, enam beg udara SRS, kerusi yang boleh dilaras secara elektrik, sistem kemasukan tanpa kunci, paddle shifter dan kawalan audio dengan lapan pembesar suara pada stereng.


ENJIN bersesaran 2.4 liter yang pastinya cukup berkuasa.


Bagi varian sport, ciri tambahan yang diberi termasuklah bampar rekaan berbeza, gril bawah pada bahagian hadapan jentera, suspensi sport yang menurunkan ketinggian kereta sebanyak 10mm, rim aloi 18 inci serta salutan material kulit pada beberapa komponen dalaman.

Suzuki Kizashi SDLX ditawarkan pada harga RM147,888 (di atas jalan termasuk insurans). Harga bagi varian sport ialah RM158,888 seunit.

Kizashi sebenarnya menyampaikan mesej yang jelas kepada pesaing-pesaing lain sedia ada. Kizashi dalam Jepun bermaksud petanda ketibaan perkara menarik (a sign of great things to come). Ia seolah-olah memberi gambaran awal bahawa SMC tidak mahu selesa bergelar jaguh dalam segmen kenderaan kompak sahaja.

Rencana Utama!»

Reggae denyut nadi Jamaica

BOB Marley telah meletakkan muzik reggae di peta dunia dengan lagu-lagu menarik nyanyiannya.

Pesona!»

Perjuangan tingkat ekonomi ummah

ZAINAH dan suaminya bergambar bersama lapan pelajar perintis Akademi DR3 - Road To Millionaire serta kakitangan syarikatnya sewaktu pelancaran akademi tersebut baru-baru ini.

Varia!»

Cerai melalui talak taklik

LAFAZ taklik biasanya diucap selepas selesai akad nikah dan isi kandungannya adakalanya berbeza mengikut negeri. - Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32