HORIZON

Tinggalan perang Bosnia Herzegovina

Tinggalan perang Bosnia Herzegovina


KISAH perang saudara di Bosnia telah membawa Amer ke negara itu untuk melihat sendiri tinggalan perangnya yang masih wujud.


APAKAH yang anda buat di Sarajevo? Itulah persoalan pertama yang saya terima sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang antarabangsa Sarajevo untuk memulakan lawatan solo 'tidak sengaja' ke Bosnia Herzegovina.

Pesawat kecil yang hanya membawa 50 orang penumpang itu dipenuhi para perniaga tempatan dan negara jiran, Croatia. Tidak kelihatan seorangpun pelancong lain, apatah lagi orang Asia yang datang secara backpacking ke bumi Bosnia ini secara bersendirian.

Sebenarnya, ini adalah lawatan solo saya yang pertama. Tertarik dengan pelbagai berita di kaca televisyen Malaysia mengenai peperangan Bosnia semasa kecil, saya ingin melihat sendiri keadaan negara itu di samping sedikit sebanyak belajar mengenai peperangan etnik yang telah membunuh beratus ribu orang penduduk.

Penerbangan dari London Heathrow ke Sarajevo melalui Zagreb memakan masa empat jam. Memandangkan kunjungan ini dibuat tanpa perancangan, saya langsung tidak menjangkakan apa-apa.

Tiba di Sarajevo, saya terkejut melihat salji yang tebal walaupun pada bulan Mac.

Hari pertama di sana saya penuhi dengan bersiar-siar di bandar lama Sarajevo terutama di kawasan pelancongan utama iaitu di Bascarsija.

Dibina pada abad ke-15 oleh pengembara Uthmaniyyah dari Turki, Bascarsija yang dipenuhi bazar-bazar lama merupakan kawasan bersejarah utama di Sarajevo.

Kawasan bandar lama ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan kecil satu tingkat, manakala jalan-jalannya dipenuhi batu bulat licin. Secara zahirnya, infrastrukturnya tipikal bandar raya Eropah lama.

Saya juga melawat monumen paling menarik di Sarajevo iaitu Sebilj yang merupakan pancuran air yang pernah digunakan untuk berwuduk sebelum bersolat di masjid yang berhampiran. Kini, airnya diminum secara percuma oleh penduduk Sarajevo.

Saya menikmati makan malam di sebuah restoran yang dipenuhi penduduk tempatan. Makanan tradisi utamanya adalah cevapcici iaitu daging lembu bersama krim keju dan bawang yang dikisar halus.

Hari kedua di Sarajevo dimulakan dengan bersarapan pagi di hotel. Di sini, terdapat tiga orang pelancong sahaja yang saya temui!

Kali ini, saya mengikuti lawatan secara peribadi selama tiga jam dengan Sarajevo War Tour dari pusat pelancongan Sarajevo yang terletak di pusat bandar.

Saya dibawa melawat kawasan-kawasan yang terdedah dengan peperangan untuk mengetahui bagaimana ia bermula dan bagaimana penduduk Sarajevo terperangkap apabila dikepung atau dikelilingi puak Serbia.

Taman jadi kubur

Saya juga berpeluang melihat kubur-kubur yang telah dibina dengan banyaknya di sekeliling bandar untuk menampung puluhan ribu penduduk yang terkorban. Terdapat sebuah kawasan bernama Taman Olimpik Sarajevo yang telah diubah suai semasa peperangan untuk dijadikan kawasan perkuburan.

Semasa penjelajahan ini, pemandu pelancong menceritakan pelbagai kisah sedih tentang perang tersebut. Dia turut menceritakan mengenai jirannya yang berketurunan Serbia telah berpihak kepada Serbia semasa peperangan.


PEMANDANGAN di Sebilj yang redup dan menjadi tumpuan ramai masyarakat Bosnia untuk bersantai.


Sebaik habis peperangan itu, jirannya kembali menjadi jirannya tanpa menghiraukan perbuatannya itu. Agak susah untuk hidup jika mengetahui jiran sebelah rumah sendiri telah menyebabkan puluhan ribu penduduk Sarajevo terkorban. Mereka masih tidak bertegur sapa sehingga ke hari ini.

Saya turut dibawa melihat Sarajevo Tunnel of Life. Tarikan pelancongan utama berkenaan merupakan sebuah terowong yang digali oleh penduduk Sarajevo dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa perang berlangsung.

Memandangkan bandar raya Sarajevo telah dikepung, bekalan makanan, ubat dan alat tentera telah kehabisan. Terowong yang digali sendiri itu merupakan satu-satunya akses penduduk Sarajevo untuk mendapat bekalan dari kawasan luar bandar.

Terowong itu menembusi kawasan lapangan terbang antarabangsa Sarajevo hingga ke kampung yang berhampiran. Beribu-ribu penduduk menggunakannya setiap hari walaupun sangat kerap dibedil musuh.

Aktiviti terakhir hari kedua dipenuhi dengan melawat pinggir bandar Sarajevo untuk melihat kaki langit. Sarajevo amat dikenali sebagai bandar raya yang mempunyai banyak masjid yang dibina sejak zaman Uthmaniyyah. Ketika itu dikhabarkan, laungan azan tidak pernah terputus.

Tidak bekerja

Hari ketiga di sana, saya berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan bandar Sarajevo yang dibina di lereng-lereng bukit. Kebanyakan rumah di lereng bukit ini tidak mempunyai sistem saliran yang baik dan itu sudah menjadi perkara biasa.

Saya kemudian berjalan ke kawasan bandar baharu. Walaupun jam baru pukul 11 pagi, bandar raya Sarajevo sentiasa dipenuhi penduduk tempatan yang bersiar-siar. Lebih 50 peratus penduduk Sarajevo tidak mempunyai kerja, maka berjalan-jalan merupakan aktiviti harian mereka.

Kali ini, saya bertembung dengan seorang penduduk tempatan yang sangat baik dan menjadi pemandu pelancong secara percuma ke bandar raya Sarajevo.

Saya dibawa melihat bangunan Parlimen baharu yang musnah semasa peperangan. Bosnia adalah satu-satunya negara yang masih mempunyai kerajaan yang tergantung, atau tidak berjalan.

Ia disebabkan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mencapai kesepakatan kerana faktor perbezaan etnik. Ia juga menyebabkan Bosnia gagal membangun sejak peperangan tamat.

Masih terdapat banyak kawasan rumah di Sarajevo mempunyai kesan tembakan di dinding luarnya, walaupun kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta dolar untuk 'memadam' kesan-kesan itu.

Saya juga telah ke lokasi bernama Latin Bridge untuk menghayati imbasan masa lalu apabila Perang Dunia Pertama mula tercetus. Di situ, putera raja berdarah Hungary dan Austria, Archduke Franz Ferdinand telah dibunuh oleh warga tempatan pada tahun 1914.

Untuk melepaskan lelah sebentar selepas banyak berjalan, saya sempat menikmati teh Bosnia iaitu teh pudina. Cara menikmatinya cukup unik - kiub gula yang dihidang bersama cawan teh itu perlu dikunyah sedikit sebelum meminum air teh.

Jambatan simbolik


PEMANDANGAN sebuah perkampungan kecil di pedalaman Bosnia.


Pada pagi hari keempat, saya bergerak ke stesen keretapi Sarajevo untuk menaiki kereta api ke bandar Mostar. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa dua jam setengah itu, saya dapat menikmati pemandangan cantik kawasan pedalaman Bosnia. Keindahannya sering dibandingkan dengan suasana Banjaran Alps oleh ramai pengembara Eropah.

Bandar Mostar sangat terkenal dengan Jambatan Stari Most binaan zaman Uthmaniyyah. Malangnya, Jambatan itu telah diruntuhkan oleh puak Croatia sewaktu peperangan.

Keruntuhan jambatan itu sangat simbolik oleh kerana ia melambangkan keruntuhan Islam Bosnia dan warisan agama Islam di Mostar. Bagaimanapun, masyarakat dunia telah membina semula jambatan itu hasil sumbangan masyarakat seluruh dunia.

Satu perkara yang membuatkan saya begitu teruja adalah keindahan Sungai Neretva yang airnya amat jernih dengan biasan warna hijau kebiruan. Popular sebagai lokasi memancing, suasana menarik sungai itu menjadi subjek lakaran lukisan saya sambil menikmati makan tengah hari.

Hari terakhir saya di bandar Mostar diisi dengan aktiviti berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Saya sempat berbual dengan beberapa orang tempatan mengenai bandar mereka.

Antara yang saya temui ialah pasangan suami isteri bernama Tungia dan Medina bersama anak lelaki mereka Anel. Tungia yang berasal dari Mostar kini menetap di Jerman ekoran rumahnya dimusnahkan semasa peperangan.

Ahli keluarganya juga telah terbunuh menyebabkan beliau dihantar oleh (PBB) sebagai pelarian. Kini, Tungia sekeluarga hanya melawat Mostar beberapa tahun sekali.

Lawatan ini berakhir apabila saya meneruskan perjalanan menaiki bas ke bandar Dubrovnik, Croatia.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31