HORIZON

Melawat gedung ilmu astronomi

Melawat gedung ilmu astronomi



SEJAK sekian lama, Melaka menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan sejarah Kesultanan Melayu Melaka hingga kepada penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda.

Beberapa kesan peninggalan sejarah seperti Kota A’Famosa, bangunan Stadhuys dan Bukit St. Paul terus menjadi aset utama pelancongan sehingga ke hari ini.

Tidak cukup dengan itu, beberapa tarikan baharu pelancongan turut dibangunkan seperti Jonker Walk, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Melaka Wonderland.

Justeru, tidak hairanlah saban minggu atau cuti umum, negeri itu sentiasa sesak dengan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahan sejarah silam dan pelbagai ‘santapan baharu’ yang disediakan, tidak ramai yang mengetahui bahawa Melaka juga mempunyai pusat pelancongan astronomi yang tidak kurang menarik untuk dilawati.

Terletak di pesisir Pantai Tanjung Bidara, kira-kira 34 kilometer dari bandar Melaka, Kompleks Falak Al-Khawarizmi tersergam megah dan menggamit pengunjung yang mahu mengkaji serta meneroka kejadian serta rahsia alam cakerawala.

Tarikan akademik

Menurut Ketua Unit dan Promosi Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Mohd. Shahrul Nizam Abd Rahim, pembinaan kompleks di kawasan seluas 1.62 hektar itu bertujuan menyemarakkan aktiviti penyelidikan, pendidikan dan pelancongan dalam bidang astronomi di negara ini.

“Sejarah astronomi moden pada hari ini banyak berkaitan dengan perkembangan astronomi Islam terutama semasa Era Kegemilangan Islam sepanjang abad kelapan hingga ke-16.

“Bidang astronomi ketika itu benar-benar menjadi ikon sains Islam dan telah melahirkan ramai ilmuwan tersohor seperti al-Khawarizmi, al-Farghani, Muhammad Ibn Jabir al-Harrani al-Battani, Abd al-Rahman al-Sufi dan Ibn Yunus,” katanya.


PANORAMA keindahan Selat Melaka boleh disaksikan dari puncak Anjung Tinjau.


Mohd. Shahrul berkata, kompleks yang beroperasi pada tahun 2003 itu terbahagi kepada beberapa komponen utama seperti Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan Falak.

Katanya, Balai Cerap setinggi empat tingkat tersebut menempatkan galeri pameran, pelantar cerapan dan anjung tinjau.

Berkonsepkan futuristik dan interaktif, pengunjung pasti terpesona melihat galeri pameran yang dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Zon Interaktif Sistem Suria, Zon Astonomi Islam, Zon Penerokaan Angkasa Lepas dan Zon Langit Malam.

Antara keunikan yang boleh disaksikan di situ ialah batu meteor seberat 2.9 kilogram yang dijumpai di Afrika Selatan.

Turut dipamerkan ialah beberapa instrumen bidang astronomi yang pernah digunakan oleh umat Islam satu ketika dahulu seperti Rubu Mujayyah, Astrolab, Jam Matahari dan Tongkat Istiwa serta teleskop terawal ciptaan Galileo Galilei.

Bagi yang meminati bidang angkasa lepas, bolehlah mencuba simulator kapal angkasa di samping melihat pameran replika kapal angkasa, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan model peralatan dan pakaian angkasawan.

Sementara itu, anjung tinjau di tingkat satu menempatkan tiga buah teropong berkuasa tinggi yang membolehkan pengunjung melihat panorama Selat Melaka.

Mencerap bulan

Tambah Mohd. Shahrul, pengunjung ke kompleks itu juga berpeluang menyertai aktiviti cerapan langit malam yang diadakan di pelantar cerapan.


MENDUGA akal dengan pelbagai permainan interaktif yang disediakan di Planetarium.


“Teropong khas MEADE LX200 membolehkan pengunjung memerhatikan planet, cerapan anak bulan dan fenomena astronomi seperti gerhana bulan atau gerhana matahari.

“Aktiviti yang bermula dari pukul 8 malam hingga 10 malam itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh-tarikh yang ditetapkan sahaja,” jelasnya.

Nadi kepada operasi kompleks itu terletak pada bahagian kubahnya. Ia menempatkan teleskop utama daripada jenis RCOS 24, lekapan Altazimut, stesen kaji cuaca, kamera CCD dan pemonitoran video serta sistem kawalan automasi.

Kedudukan kubah yang boleh bergerak sendiri pada 360 darjah mengikut arah jam atau lawan jam, dan bumbungnya yang boleh dibuka mengikut kedudukan teleskop jelas membuktikan kecanggihan teknologi yang digunakan.

Tambahnya, salah satu tarikan lain di kompleks itu ialah Planetarium yang mampu memuatkan kira-kira 90 pengunjung.

“Di sini, pengunjung boleh merasai impak sebenar filem format tiga dimensi (3D) dan tayangan simulasi langit yang mengaplikasikan imej digital bermutu tinggi.

“Pada masa yang sama, pengunjung, khususnya kanak-kanak, boleh menguji minda ketika berkunjung ke ruang pameran dan permainan interaktif yang terletak berhampiran Planetarium,” jelasnya.

Sementara itu, Pusat Latihan pula dilengkapi kemudahan auditorium, makmal komputer, bilik kuliah, dewan serbaguna yang sesuai untuk acara seminar, mesyuarat dan kursus.

Bagi pengunjung yang mahu bermalam, ia turut menawarkan penginapan jenis Dormitori, Semi Dorm, Semi Dorm Deluxe, Apartmen Superior dan Apartmen Executive Suite.

Seorang pengunjung, Mohd. Fakhrurazi Abd. Ghaffar, 29, mengakui teruja mengikuti pakej lawatan falak yang ditawarkan di kompleks itu.

Lelaki itu memberitahu, pengalaman mengikuti aktiviti cerapan malam termasuk melihat planet Musytari dan Zuhrah dengan lebih dekat pastinya sukar dilupakan sampai bila-bila.

Rasa bersyukur

“Selama ini, kebanyakan daripada kita tidak mengambil kisah mengenai perkara yang terdapat di langit sedangkan ia begitu cantik dan mempesonakan.

“Setidak-tidaknya, apa yang dilihat membuatkan kita rasa bersyukur dan menghargai ciptaan Allah SWT,” katanya.

Ujarnya, pelbagai bahan pameran yang dipamerkan juga memberi maklumat yang berguna terutama mengenai sistem suria dan sejarah kegemilangan astronomi Islam suatu ketika dahulu.

“Rubu’ Mujayyab misalnya, digunakan ketika mengembara untuk menentukan waktu solat, arah kiblat, ketinggian atau kedalaman objek, kedudukan matahari dan objek samawi.


AKTIVITI cerapan malam membolehkan pengunjung meneroka keajaiban dan keindahan alam cakerawala.


“Akhirnya, kesemua ilmu itu terus berkembang di Barat sehingga membawa kepada penciptaan kapal angkasa, satelit dan penerokaan angkasa lepas seperti pada hari ini,” ujarnya.

Bagi Norhayati Anuara, 30, pengalaman meneroka dunia aeroangkasa di Kompleks Falak Al-Khawarizmi sesuatu yang menarik dan tidak boleh dilepaskan jika berkunjung ke Melaka.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, bahan pameran yang dipamerkan mudah difahami dan sesuai untuk golongan dewasa mahu pun kanak-kanak.

“Ia tidaklah sekadar lawatan dan pameran semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aktiviti seperti tayangan video, permainan interaktif dan cerapan malam.

“Ia menarik minat pengunjung khususnya generasi muda untuk mendalami bidang astronomi pada masa hadapan,” ujarnya.

Norhayati berpendapat, kedudukan kompleks itu yang terletak berhampiran kawasan peranginan popular seperti Tanjung Bidara dan Pangkalan Balak menjadikannya pilihan pakej percutian yang lengkap.

“Selepas puas melawat kompleks ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkelah di kawasan pantai berhampiran,” katanya.

Rencana Utama!»

Komitmen PLUS demi keselesaan pengguna

SEBANYAK RM1 bilion dibelanjakan untuk kos operasi, penyelenggaraan yang dilakukan sepanjang tahun untuk menaik taraf lebuh raya.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Amalan tradisi sambut Ramadan di Riau

PERARAKAN bot berhias turut diadakan bagi memeriahkan sambutan Ramadan.- Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15