STAILO

Sorotan magis rekaan khayalan

Sorotan magis rekaan khayalan



BERTEMAKAN fantasi fesyen, minggu fesyen Mercedes-Benz STYLO 2012 berjaya menonjolkan pertunjukan unik dan menyerlahkan kehebatan pereka tempatan serta mengetengahkan bakat baharu.

Hari pertama pertunjukan dimulakan dengan persembahan oleh 20 pelajar fesyen dengan tema Food to Art, Art to Fashion. Kesemua pelajar tersebut mendapat bimbingan pereka tersohor, Bill Keith, bagi mengilhamkan rekaan berseni menggunakan makanan sebagai pusat perhatian.

Kesemua pakaian yang dihasilkan menggunakan 90 peratus makanan seperti bertih jagung, kacang panjang, keropok, kon aiskrim, rumpai laut dan kulit kerang.

“Tahun ini kita mahu pereka bermain dengan fantasi yang selama ini hanya bersarang dalam fikiran mereka. Menerusi tema sebegini, fantasi tersebut dapat dijelmakan.

“Selain fantasi, pertunjukan-pertunjukan kali ini juga menerapkan elemen humor agar dapat memberi kelainan berbanding pertunjukan yang dianjurkan pada tahun-tahun lalu,” jelas Presiden STYLO, Datuk Nancy Yeoh.

Pereka BDA

Slot hari pertama yang berlangsung pada 19 Mac itu juga menyaksikan pereka-pereka di bawah Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) menarik perhatian penonton dengan rekaan santai namun, kemas dan berkualiti tinggi.

Antara nama besar yang terlibat dalam segmen tersebut ialah Datuk Radzuan Radziwill, FiziWoo, Sandra Azwan, Wanpa (Ridzuan Ismail) dan Fairuz Ramdan.

Wanpa memberitahu, acara itu merupakan penglibatan kali kedua beliau dengan minggu fesyen STYLO selepas pertama kali menyertainya pada tahun 2010.

Berbicara soal koleksi yang dipersembahkan, Wanpa menyatakan beliau mengambil inspirasi langit dan awan. Geometri rekaan beliau juga dinyatakan dengan jelas menerusi potongan ringkas dan moden.

“Fabrik yang saya gunakan juga sejuk dan mudah menyerap haba seperti kapas, jersi dan baldu. Warna juga disesuaikan mengikut tema dengan menampilkan warna asas seperti biru dan putih serta sedikit sentuhan rona hitam,” ujarnya yang sedang sibuk menyiapkan koleksi hari raya dan perkahwinan.

Kreativiti pelajar

Hari ketiga minggu fesyen tersebut menyaksikan kehebatan 12 finalis bersaing dalam pertandingan bagi merebut gelaran Mercedes-Benz STYLO Emerging Designer 2012.

Mohd. Hanif Naim Mohd. Danny, 22, dari Akademi Fesyen SML berjaya menyandang gelaran juara sekali gus melayakkan beliau untuk mengikuti pertunjukan fesyen antarabangsa yang akan diadakan di Mexico pada September depan.


ADAPTASI seni dan mesej alam sekitar dalam fesyen. Mungkin itulah yang bermain dalam fikiran pereka pakaian ini.


Penggunaan 36,500 batang penyedut minuman bagi menghasilkan satu pakaian ternyata berbaloi. Beliau turut menggunakan 1,000 batang sudu dan tiga meter kain kelambu untuk mencipta dua lagi pakaian yang turut dipertandingkan.

“Orang selalu membuang penyedut minuman. Maka, saya terfikir untuk menggunakan ia sebagai bahan utama rekaan saya. Pemilihan penyedut minuman berwarna hitam pula menonjolkan sisi gelap yang penuh misteri,” demikian katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pemenang pada hari kelima minggu fesyen tersebut.

Pemenang tempat kedua, Shadow Chew Ying Zeo, 22, juga dari Akademi Fesyen SML berpuas hati dengan pencapaiannya selepas berhempas-pulas selama tiga minggu menyiapkan ketiga-tiga busana.

Kesemua rekaan Shadow menggunakan wayar yang dipintal dengan memberi penekanan pada tiga warna teras kabel audio/video (A/V) iaitu merah, putih dan kuning.

“Saya menggunakan lebih daripada 2,000 wayar bagi mencipta rekaan ini. Fabrik asas bagi menampung wayar-wayar ini ialah kain kapas kerana ia mampu menahan beban bahan ini agar tidak terjatuh,” jelas Shadow yang berasal dari Cheras.

Seorang peserta dari Universiti Limkokwing, Angeline Lee Qiao Xin, 22, mencuri tumpuan ramai dengan penggunaan tudung saji yang dijadikan skirt dalam rekaan beliau.

Sesuai dengan tema Recycling is the new Black, fantasi rekaan Angeline diterjemahkan dengan meminjam karakter Alice in Wonderland.

“Alice merupakan watak fantasi kegemaran saya dan ramai budak perempuan mengimpikan pengembaraan seperti Alice.

“Selama sebulan saya memberi fokus bagi menterjemahkan fantasi tersebut ke dalam bentuk pakaian dan pengalaman ini amat menakjubkan,” kata Angeline yang tetap positif walaupun tidak meraih sebarang tempat dalam pertandingan itu.

Kesemua peserta akhir itu perlu mementaskan tiga rekaan menggunakan bahan-bahan terpakai atau terbuang. Kreativiti mereka dinilai berdasarkan penataan warna, penggunaan fabrik, teknik dan hasil kerja secara keseluruhan.


DARI KIRI (baris depan): Datuk Jimmy Choo, Datuk Nancy Yeoh, Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun, Tan Sri Ahmad Fuad dan Roland Folger bergambar bersama pereka-pereka yang terlibat menjayakan malam pembukaan minggu fesyen tersebut.


Semarak Yoda

Fantasi fesyen diteruskan dengan persembahan pereka-pereka Young Designers Arena (Yoda) pada hari yang sama bertempat di Dewan Serbaguna Thean Hou, Robson Heights.

Pereka yang sedang meningkat naik, Afiq Mohamed, mempersembahkan lima rekaan bertemakan Echo dengan penegasan diberikan pada rona merah dan kelabu.

“Merah melambangkan sisi wanita yang berani, kuat dan pada masa yang sama, seksi. Untuk koleksi kali ini, saya lebih memberi tumpuan pada inspirasi pengulangan pola dan corak,” katanya yang mula terlibat dengan pertunjukan STYLO sejak tahun lalu.

Berbeza pula dengan Salleh Hamid yang menjadikan warna putih pudar (off-white) sebagai rona utama koleksi kali ini. Tiada percikan warna lain dicampurkan dan beliau sengaja menggunakan satu palet warna sahaja bagi menghidupkan tema bunian.

Sinonim dengan rekaan fantasi, Salleh mengangkat kisah puteri bunian yang dianggap misteri itu dengan menterjemahkannya ke dalam bentuk pakaian.

“Kesemua dres ini mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan. Antara fabrik yang digunakan adalah campuran pelbagai jenis kapas dan satin,” jelasnya.

Process time in ms: 0