HORIZON

Damai di rimba Borneo

Damai di rimba Borneo


BHR terletak dalam radius kehijauan alam di kaki gunung bersempadan Sarawak dan Kalimantan.



HORNBILL Golf Course sudah tentunya menjanjikan cabaran buat kaki golf.


SETIAP percutian memerlukan kelainan bagi membolehkan kenangan tersebut sentiasa segar dalam ingatan, selain memberi makna yang tersendiri.

Bagi mereka yang berminat untuk bercuti dalam suasana penuh santai, tenang dan jauh daripada kesibukan kota serta urusan seharian, ada banyak tempat menarik yang boleh dilawati di negara ini.

Salah satu daripadanya ialah Borneo Highlands Resort (BHR) yang terletak kira-kira 60 kilometer di barat daya Kuching berhampiran sempadan Sarawak dan Kalimantan.

Bermotifkan unsur moden, resort mewah itu mengajak kita untuk menempuhi satu pengalaman baharu bercuti dalam suasana rimba yang menyimpan kepelbagaian flora dan fauna tanpa terusik evolusinya.

Terletak di kawasan seluas 2,000 hektar, BHR boleh diibaratkan sebagai syurga pencinta alam semula jadi.

Kedudukannya di bawah kaki Gunung Penrissen, kira-kira 1,000 meter dari paras laut membolehkan ia menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung daripada aktiviti membelai tubuh di Jungle Spa sehinggalah menguji kemahiran bermain golf di Hornbill Golf Course.

Sebaik menjejakkan kaki ke situ, pengunjung pasti dapat merasai suasana segar udara gunung dengan suhu sekitar 18 hingga 28 darjah Celcius.

Sesuai dengan kemewahan yang ditawarkan, BHR menjanjikan suasana eksklusif dan privasi yang diinginkan.

Secara keseluruhan, resort itu menawarkan dua jenis penginapan iaitu rumah kelab dan kabin hutan. Rumah kelab menawarkan 30 bilik dan suite yang didatangkan dengan empat saiz berbeza iaitu Par, Birdie, Eagle dan Albatross.

Jika mahukan suasana yang lebih semula jadi di dalam hutan sambil ditemani siulan cengkerik yang mengasyikkan terdapat sepuluh kabin hutan yang disediakan bagi tujuan itu.

Mengintai ke dalam setiap bilik dan suite membuatkan pengunjung umpama berada di rumah sendiri.

Dengan inspirasi rekaan seni bina tradisi masyarakat Borneo dan penggunaan kayu dalam sentuhan binaan dalam resort membuatkan sesiapa sahaja pasti kagum.

Ruang tamu dan bilik tidur kelihatan tenteram dan eksklusif dengan pemilihan perabot kayu dan hiasan dalaman yang elegan dan mampu memberikan ketenangan kepada penghuninya.

Melalui jendela bilik atau balkoni, setiap tetamu berpeluang mengamati keindahan persekitaran resort itu yang redup dan menyejukkan pandangan.

Urutan Bidayuh

Untuk menjamu selera, bolehlah ke Annah Rais Cafe yang terletak berhampiran. Ia menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa.

Selepas melakukan pelbagai aktiviti seharian, badan mula terasa letih dan penat. Untuk memulihkannya kembali, maka Jungle Spa adalah lokasi yang wajib dikunjungi.

Menawarkan khidmat urutan tradisional Bidayuh, rawatan badan bermula dari hujung rambut sehingga hujung kaki di samping perkhidmatan jakuzi dan sauna.

Bagi penggemar sukan golf pula, boleh menguji kehebatan di Hornbill Golf Course yang diilhamkan oleh arkitek padang golf dari selatan Australia, Neil Crafter.

Terletak di kawasan tanah tinggi serta dikelilingi hutan yang luas, padang golf 18 lubang itu menjanjikan cabaran getir kepada pemain golf sama ada yang amatur mahupun profesional.

Di samping itu, pengunjung juga tidak akan berasa bosan sepanjang menginap di situ kerana terdapat beberapa aktiviti yang ditawarkan oleh pihak resort.

Antaranya ialah jelajah hutan waktu malam, mendaki gunung, lawatan ke kawasan air terjun, lawatan ke kebun sayur dan taman bunga dan melihat burung.

BHR juga tidak sekadar menawarkan kemudahan penginapan semata-mata, tetapi turut menjadi lokasi sesuai untuk pertemuan korporat, seminar, mesyuarat dan perkahwinan.

Process time in ms: 16