VARIA

IKTPD lahirkan penenun muda

IKTPD lahirkan penenun muda

TIGA pelajar IKTPD asyik menenun untuk mendapatkan fabrik tenunan yang berkualiti.


SEBUT sahaja kain Tenun Pahang Diraja pasti ramai yang mengagumi kehalusan seni pembuatannya. Walaupun harganya boleh mencecah ratusan dan ribuan ringgit, kain Tenun Pahang Diraja mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Bagi yang pernah melihat sendiri cara penghasilannya bermula daripada ribuan helaian benang sehingga menjadi hamparan kain yang dilakukan secara manual, pasti tidak ‘lokek’ berbelanja untuk memiliki sepersalinan busana Tenun Pahang Diraja.

Sebelum menjadi kain tenun yang indah, beberapa proses rumit perlu dilakukan iaitu menerau, menganing, menyusuk, menggulung, mengarap dan menenun.

Tubuhkan institut tenunan

Tidak mahu salah satu warisan berharga negara luput ditelan zaman, Kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang Darul Makmur.

“Matlamat institut ini adalah untuk melahirkan lebih ramai generasi muda sebagai pelapis yang mahir bagi mewarisi seni tenunan terutamanya Tenun Pahang Diraja.

“Institut ini mengalu-alukan mereka yang bujang berumur 18 hingga 35 tahun tidak kira lelaki mahupun perempuan untuk mendalami kemahiran menenun,” kata Penolong Pengarah IKTPD, Rosliza Mukhtar baru-baru ini.

Mula beroperasi pada bulan Julai 2010, institut itu menawarkan Sijil Seni Kraf Tenun Pahang Diraja selama dua tahun atau empat semester.

“Ada beberapa pelajar di sini yang berpotensi untuk pergi jauh dalam bidang ini. Pelbagai promosi giat dijalankan di kampung-kampung dan di daerah-daerah bagi menguar-uarkan kewujudan institut ini untuk menggalakkan lebih ramai anak-anak muda menimba ilmu tenunan,” ujarnya.

Tidak mempunyai syarat kemasukan yang rigid, ia terbuka kepada anak muda yang boleh membaca dan menulis serta mempunyai minat dalam seni kraf tenunan.

“Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat digalakkan memasuki institut ini. Mereka hanya perlu membayar RM100 untuk yuran pendaftaran dan kemudahan lain disediakan, malah mereka menerima elaun sara diri setiap bulan,” kata Pegawai Unit Akademik dan Latihan, Fairuz Hafiezal Rosli.

Pengisian pembelajaran bukan berfokuskan kepada kemahiran tenunan semata-mata, malah para pelajar turut mengikuti sesi akademik seperti subjek bahasa Inggeris, agama, kokurikulum iaitu seni mempertahankan diri dan keusahawanan.

Lebih istimewa, para pelajar di IKTPD mendapat tunjuk ajar daripada Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja iaitu Nortipah Abdul Kadir, 66, yang merupakan Generasi ke-12 Keraing Aji.


ANTARA hasil tenunan yang dibuat oleh pelajar IKTPD.


Minat menenun

Walaupun rakan-rakan sebayanya berebut-rebut mengisi peluang melanjutkan pengajian selepas tamat SPM di institusi pengajian tinggi, Norhasliana Musa, 20, lebih cenderung mendaftarkan diri di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

“Minat yang mendalam terhadap tenunan Pahang Diraja membawa saya ke sini untuk mempelajarinya walaupun saya tidak mempunyai asas menenun.

“Tidak dinafikan bahawa ia tidak mudah dan memerlukan kesabaran dan ketelitian,” katanya yang kini berada di semester ketiga pengajian.

Siti Fatimah Zainol, 20, yang berasal dari Jerantut, Pahang pula berminat mempelajari seni tenun kerana mahu mencuba sesuatu yang baru.

“Selepas tamat belajar di sini, saya mahu menyambung pengajian di Institut Kraf Negara (IKN). Saya bercita-cita mahu menjadi guru tenun dan membuka perniagaan sendiri untuk meneruskan warisan Tenun Pahang Diraja,” ujarnya.

Meskipun majoriti pelajar didominasi oleh pelajar perempuan, ada juga pelajar kaum Adam dan golongan orang kelainan upaya (OKU). Bahkan, mereka juga adalah antara pelajar terbaik di IKTPD.

Mohd. Fazrul Hazril Mohd. Norhamidi, 19, pada awalnya kekok berada dalam kelompok pelajar perempuan, kini sudah serasi dengan suasana tersebut.

Pelajar semester ketiga itu sangat meminati bidang tenunan mahu menimba pengalaman kerja sebanyak mungkin bagi menambah ilmu tenunan di dada.

“Tiada salahnya untuk lelaki menjadi seorang penenun yang biasanya pekerjaan ini sinonim dengan wanita kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata anak kelahiran Kampung Pulau Jawa, Pekan.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus di IKTPD kemasukan 20 pelajar baharu akan dilakukan pada Julai ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi IKTPD di talian 09-4221 612 atau layari laman sosial Facebook di alamat www.facebook.com/iktpd pkkm.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16