RENCANA UTAMA

Kompleks kuil bagai bandar kecil

Kompleks kuil bagai bandar kecil



SEBUT sahaja niat anda untuk melawat India, khususnya di bahagian selatan negara itu seperti di Tamil Nadu, ejen-ejen pelancongan sedia memberi senarai penuh ratusan kuil-kuil Hindu sebagai tempat yang mesti dikunjungi.

Di negeri selatan India itu, malah di seluruh bahagian lain negara republik itu, kuil bukan lagi sekadar komponen keagamaan tetapi sudah dilihat sebagai produk pelancongan. Ia menarik minat ramai, tidak kira anda seorang Hindu, Islam, Kristian atau apa sahaja latar kepercayaan.

Apabila meminta pandangan ejen pelancongan Senthil Murugan Travel and Tours, P. Karunakaran, mengenai hasrat melawat negeri itu, persoalan pertama adalah mengenai lokasi dan kuil-kuil yang mahu dikunjungi.

"Tamil Nadu, antara negeri di India yang kaya dengan kuil-kuil yang dibina lebih 1,000 tahun dahulu. Kehebatan kuil-kuil itu dijaga selain budaya dan bidang kesusasteraan yang berkembang sama dengannya.

"Kuil juga menjadi pusat ilmu, bahasa dan politik ketika itu," ujarnya yang menjadi wakil di Kuala Lumpur untuk syarikat pelancongan yang berpangkalan di Chennai.

Tambahnya yang sudah lebih enam tahun dalam bidang tugas itu, kuil sering dipilih oleh para pelancong Hindu atas tujuan lawatan keagamaan.

"Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kuil-kuil itu sendiri merupakan antara tempat yang mesti dilawati kerana kaya dengan unsur sejarah, seni bina, sosial dan keunikan ritual," jelasnya.

Dengan populasi yang mencecah lapan juta orang penduduk dalam 32 buah wilayah dan 15,979 buah kampung, bilangan kuil di Tamil Nadu setara dengan bilangan kawasan kampung di situ atau mungkin dua kali ganda lebih banyak.

Kosmo! telah meredah kampung untuk melawat kuil yang terkenal, terlama, terbesar, termahal dan yang paling unik kerana lokasinya seperti di atas bukit atau di pesisir pantai.

Disalut emas

Bercakap mengenai kuil yang mahal, Tamil Nadu sudahpun memiliki sebuah kuil yang disaluti emas sepenuhnya termasuk pada patung dewi sembahannya, iaitu Sri Lakshmi Narayani.

Menjadi persinggahan wajib pelancong masa kini, Kuil Sri Narayani Peedam di wilayah Vellore menerima kunjungan kira-kira 20,000 orang sehari. Jumlah itu adalah tiga suku daripada kunjungan ke kuil paling kaya di India iaitu Kuil Sri Vengketeswara Tirupathi di negeri Andra Pradesh.

Menurut ceritanya, kuil itu dipopularkan oleh seorang lelaki yang digelar Amma. Figura itu dipuja seperti tuhan kerana kemampuan dan kuasanya.


Pemandangan kuil emas, Sri Narayani Peedam pada waktu malam.


"Perlahan-lahan, kisahnya itu sampai ke luar negara hingga menarik minat ramai penyumbang dana dari Barat, khususnya Amerika dan Kanada," terang pemandu pelancong, B. Parasu Raman.

Daripada sebuah kuil biasa, Amma akhirnya telah mengubah Kuil Sri Narayani Peedam menjadi sebuah kuil emas dengan menggunakan lebih 1,500 kilogram emas hasil daripada mengumpulkan dana dari seluruh dunia.

Di atas kawasan tanah seluas 40.5 hektar itu juga, saluran dana tersebut turut dimanfaatkan untuk membina sekolah, kolej, hospital, rumah kebajikan, pusat belia dan kawasan perumahan yang kesemuanya di bawah pengurusan kuil.

"Menariknya, sekolah, kolej, hospital dan rumah kebajikan dijalankan secara percuma. Ia seperti sebuah bandar persendirian," kata Raman bersungguh.

Berdiri sebagai kuil emas terbesar di dunia, kerja-kerja membina, mengukir dan menyalut emas di kuil tersebut dilakukan secara tertutup, tanpa membenarkan kakitangan dan pekerja keluar dari kawasan kuil.

Kerja-kerja ukiran, kraf dan landskap dilakukan berdasarkan panduan Kitab Veda. Untuk sampai ke kuil emas yang bersih kerana dijaga rapi itu, seseorang perlu berjalan di atas laluan berbentuk formasi bintang enam bucu dengan jarak 1.8 kilometer.

Kotor tapi sesak

Selain kuil paling mahal dan bersih, di wilayah Trichy pula terbina Kuil Sri Ranganathaswamy. Ia boleh dikatakan sebagai kuil yang kurang terjaga konsep kebersihannya namun masih popular dalam kalangan pengunjung.

"Anak saya enggan turun dari dukungan kerana berkali-kali memberi amaran tentang lantainya yang kotor. Saya akui ia tidak bersih, mungkin kerana kelemahan pengurusan yang membenarkan pengunjung masuk bersesak-sesak tanpa kawalan," ujar seorang pengunjung dari Malaysia, K. Kannathas, yang melawat kuil tersebut.

Kuil itu merupakan kuil berfungsi terbesar di dunia yang meliputi kawasan seluas 63 hektar. Namun, jika diambil kira kewujudan Angkor Wat di Kemboja, Kuil Sri Ranganathaswamy merupakan kuil kedua terbesar di dunia. Cuma Angkor Wat dikategorikan sebagai kuil yang tidak berfungsi.

"Kuil ini menghimpun pelbagai kisah mazhab Vaishnava iaitu golongan yang menyembah Dewa Vishnu. Kuil yang menarik kunjungan sejuta orang pada festival Dewa Vishnu terbesar itu terdiri daripada 21 buah menara, 39 buah balai, 50 tempat pemujaan yang dibina dengan 1,000 tiang dan beberapa buah kolam," ujar seorang petugas kuil yang hanya mahu dikenali sebagai Ganesh.

Tujuh pintu

Kuil tersebut mempunyai tujuh pintu masuk. Dua pintu masuk pertama 'dihimpit' binaan kedai yang menjual bunga dan barang-barang pemujaan. Seperti di banyak kuil lain, ia turut dipenuhi para pengemis.

Selepas pintu masuk kedua dan seterusnya sehingga pintu masuk kelima, ramai pelancong kulit putih ditemui. Bagaimanapun, mereka yang bukan Hindu tidak dibenarkan melepasi pintu kelima. Mereka yang beragama Hindu pula bebas memasukinya hingga pintu masuk ketujuh untuk menyembah Dewa Vishnu yang ditempatkan dalam kubah emas.

Menurut Kannathas, seseorang pelancong asing sepertinya perlu berhati-hati kerana mudah dipengaruhi.


Tiga daripada tujuh pintu di kuil Sri Ranganathaswamy di Srirangam yang tersergam Indah.


"Mudah sahaja mereka mengenal pelancong asing walaupun anda berbangsa India seperti mereka. Bukan saja saya diperdaya untuk mengikut laluan masuk khas dengan bayaran 250 rupee (RM15) seorang, bahkan saya dipaksa untuk membayar sebanyak 300 rupee (RM18) lagi, kononnya untuk tujuan kebajikan.

Rata-rata pengalaman seperti itu dilihat sangat biasa dan sinonim dengan kuil-kuil tertentu. Muslihat tersebut lazimnya berakhir dengan bayaran tanpa resit atau diminta dianggap sebagai tip sahaja.

Kuil abad ketujuh

Terkenal sebagai kuil atas bukit batu, Kuil Ucchi Pillayar mempunyai sejarah pemujaan yang bermula sejak abad ketujuh.

Didedikasikan kepada Dewa Ganesha, kuil yang juga dikenali pelancong dengan nama Rockfort Vinayagar Temple itu memerlukan seseorang memanjat 417 anak tangga sebelum sampai ke ruang kuil yang dibina di atas bukit setinggi 83 meter.

"Menaiki tangga tersebut begitu mencabar kerana cerunnya agak menegak pada kira-kira 100 anak tangga terawal," kata Raman lagi.

Kuil yang banyak dikaitkan dengan kisah epik Ramayana itu ternyata menawarkan pemandangan saujana yang amat indah. Dari lapangan datar kuil itu, hampir keseluruhan panorama bandar Trichy dapat dinikmati.

Pembinaan kuil yang berusia lebih tiga bilion tahun itu dianggap sebagai salah satu pembinaan abad ketujuh yang menakjubkan sehingga kini.

Batu granit

Hanya sejam setengah perjalanan dari Trichy, sebuah monumen gah yang dikenali sebagai Kuil Brihadeeswarar atau Tanjore Big Temple turut menawarkan tarikan tersendiri.

Menjadi pilihan pelancong yang cintakan unsur sejarah yang kaya dan seni bina estetik, kuil berkenaan diperbuat daripada 130,000 tan batu granit.

"Mula dibina pada zaman empayar pemerintah paling berkuasa Asia Selatan iaitu Raja Chola, kuil itu menggunakan lebih banyak batu berbanding yang diguna untuk Piramid Besar Giza di Mesir.

"Sebagai salah sebuah kuil terbesar yang dibina pada kira-kira 1,000 tahun dahulu, kuil ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO," jelas seorang pemandu pelancong, M.S. Ramarajan yang ditemui selepas memberi penerangan dalam bahasa Perancis kepada sekumpulan pelancong asing.

Menurutnya, ramai pelancong mengenali kuil itu melalui Internet, dokumentari ataupun pembacaan.

"Kuil dengan ketinggian kubah, 66 meter ini juga mempunyai ukiran sebuah patung lembu unik yang dipercayai dibina menggunakan seketul batu," katanya merujuk kepada patung Nandhi yang berukuran 4.9 meter panjang dan empat meter tinggi.


Landskap pemandangan dari udara kuil emas, Sri Narayani Peedam di Vellore berbentuk bintang enam bucu dan di tengahnya kuil emas.


Selain kuil yang dinyatakan, ratusan kuil lagi menjadi pilihan pelancong di negeri Dravidia (gelaran bagi penduduk India Selatan).

"Jangka masa seminggu atau sebulan tidak mencukupi untuk melawat kuil-kuil di negeri Tamil Nadu. Tetapi kebanyakan akan memilih untuk melawat kuil paling popular sahaja.

"Itupun memerlukan hampir sebulan. Bayangkan berapa lama anda perlukan untuk melawat kuil sahaja di seluruh India?" usik wakil pelancongan Senthil Murugan Travel and Tours, Karunakaran sambil tersenyum.

Tamil Nadu dilapor menerima bilangan pelancongan asing yang drastik di sebalik ketidakstabilan ekonomi dan politik.

Menurut statistik Koperasi Pembangunan Pelancongan Tamil Nadu, pada tahun 2009, negeri itu menerima kunjungan pelancong sekitar 80.4 juta orang, 24 peratus lebih berbanding tahun sebelumnya iaitu 64.7 juta orang.

Stailo!»

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

Varia!»

Pameran seni anjuran korporat

STOWE (dua dari kanan) dan Serenella (tiga dari kiri) pada pelancaran buku Prudential Malaysia Eye: Contemporary Malaysian Art baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15