HORIZON

Menguji kelasakan di Gua Damai

Menguji kelasakan di Gua Damai



RASA gayat dan darah gemuruh memang sukar dibendung, lebih-lebih lagi apabila menyertai aktiviti yang melibatkan ketinggian. Namun, itulah keterujaannya apabila kita mencabar kebolehan diri.

Itulah yang dialami penulis ketika menyertai aktiviti sukan ekstrem di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Aktiviti itu turut disertai kumpulan media dan empat pelancong dari Perancis serta beberapa orang pemandu pendakian termasuk pengurus Taman Ekstrem Gua Damai dan Konsultan Wira Adventure, Mustapha Al Bakri Omar.

Pada mulanya, eksplorasi itu adalah sekadar untuk membuat sesi temu bual dengan beberapa pendaki, tetapi akhirnya penulis terpaksa menyertai aktiviti yang dijalankan kerana perlu mencatat kronologi eksplorasi berkenaan.

Eksplorasi Gua Damai yang mengambil masa sehari bermula dari pukul 10 pagi dengan aktiviti merentas dan mendaki hutan Gua Damai mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum tiba ke White Wall dan Red Rock yang merupakan kawasan untuk aktiviti rock climbing.

Pendakian mungkin mengambil masa lebih singkat bagi mereka yang berpengalaman, tetapi disebabkan kumpulan yang disertai penulis rata-ratanya adalah mereka yang jarang bersukan, perjalanan menjadi agak perlahan.

Malah, sehari sebelum aktiviti itu dijalankan, hujan turun dengan lebat menyebabkan laluan berbukit agak licin menyebabkan beberapa peserta tergelincir. Tetapi itu adalah lumrah pendakian.

Dari tembok White Wall berkenaan, kumpulan kami meneruskan aktiviti merentas dan mendaki menuju ke Lembah Maut. Terdapat pelbagai spesies herba hidup liar di sepanjang perjalanan. Antara yang sempat kami temui ialah tengkuk biawak, tongkat ali hitam dan sehelai sedaun.

Flying terpanjang di Malaysia

Kemudian, perjalanan berhenti seketika untuk berehat selama lima minit di Puncak Berangin sebelum turun ke Lembah Maut melalui Gua Anjing untuk sampai ke platform flying fox di Gua Kristal. Ia merupakan trek flying fox terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 250 meter.


MUSTAPHA memastikan kelengkapan flying fox berada dalam keadaan baik sebelum memulakan aktiviti berkenaan.


Penulis yang tidak pernah mencuba aktiviti itu akibat gayat terpaksa melakukannya untuk turun ke dataran kem yang merupakan lokasi perhentian berikutnya. Dengan perasaan berdebar-debar, penulis berharap tiada yang terkejut mendengar jeritan penulis.

Bagaimanapun, rasa gementar itu hilang sebaik sahaja penulis melepaskan kaki di platform kerana panorama sekeliling yang mendamaikan membuatkan jarak 250 meter begitu cepat berakhir!

Selepas makan tengah hari di dataran kem bersama semua peserta, kami mendaki semula melalui platform berkenaan dan memasuki Gua Ichibawa untuk aktiviti jelajah gua yang mengambil masa kira-kira sejam.

Penjelajahan Gua Ichibawa bermula dengan aktiviti merangkak melalui ruang yang sempit untuk sampai ke ruang (chamber) utama yang luas dan mempunyai beberapa bahagian tertentu.

Di ruang itu, Mustapha yang mengetuai kumpulan menerangkan serba sedikit mengenai pembentukan gua seperti stalagtit dan straw yang terhasil daripada pembentukan mineral hidup serta batu alir (flowstone) yang merupakan mendapan kalsium karbonat atau mineral lain yang terbentuk oleh air yang mengalir di dinding atau lantai gua.

Di dalam Gua Ichibawa juga, para peserta diminta untuk bertafakur selama seminit tanpa membuat sebarang pergerakan dan bunyi, malah semua lampu suluh ditutup. Ketika ini, barulah para peserta dapat merasai tekanan udara di dalam gua kerana telinga berasa berdesing, malah bunyi titisan air yang jatuh dari bumbung gua amat jelas kedengaran.

Selepas berakhir aktiviti menjelajah gua, para peserta dibawa mendaki Gua Cili Padi dan kemudiannya memasuki Gua Pokok Besar (Big Tree) menggunakan teknik abseilling setinggi 65 meter.

Penulis hampir tidak mahu menyertai aktiviti ini kerana bimbang gagal mengawal tali dan keadaan gua yang sangat gelap di samping dinding yang tidak sekata. Malah, di tengah-tengah aktiviti itu, terdapat lubang yang besar sehingga ke lantai gua di mana peserta akan tergantung dan perlu mengawal tali dengan cekap.


GHISLAINE mencuba aktiviti abseiling buat pertama kali dengan berhati-hati.


Semua peserta menyertai aktiviti ini kecuali seorang peserta dari Perancis yang terpaksa menunggu di pintu gua sebelum semua peserta kembali menuruni Gua Pokok Besar dan melakukan aktiviti abseiling sekali lagi setinggi 24 meter untuk tiba ke tempat permulaan aktiviti ekplorasi berkenaan menandakan tamatnya aktiviti pada hari itu sekitar pukul 5 petang.

Bagaimanapun, penulis dan beberapa yang lain tidak menyertai aktiviti terakhir dan memilih untuk menggunakan tangga yang disediakan kerana sudah kepenatan dan sakit tapak tangan akibat memegang tali abseiling terlalu kuat.

Dibuka setiap hari

Menurut Mustapha, Taman Ekstrem Gua Damai dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. Selain pakej aktiviti sukan ekstrem ditawarkan, taman berkenaan dibuka untuk aktiviti santai bersama keluarga secara percuma.

“Beberapa pakej ditawarkan antarannya kursus rock climbing asas tahap 1, eksplorasi Gua Damai, pengurusan tali halangan, pendakian dan paintball.

“Pengunjung juga boleh memilih aktiviti yang mereka suka sama ada mendaki, flying fox atau abseiling yang dikenakan caj-caj tertentu untuk aktiviti separuh hari,” katanya.

Katanya, Taman Ekstrem Gua Damai menerima kunjungan kira-kira 400 orang pencinta sukan ekstrem dengan 20 peratus daripadanya adalah pelancong luar.

“Kesemua kelengkapan dan kemudahan ini lengkap sepenuhnya sejak tahun 2004 termasuk gazebo dan trek untuk berbasikal dan jogging,” katanya.

Dalam pada itu katanya, terdapat lima buah gua penting di Gua Damai iaitu Gua Anjing, Gua Kristal, Gua Pokok Besar, Gua Ichibawa dan Gua Cili Padi, tetapi hanya Gua Kristal yang tidak dimasukkan ke dalam senarai eksplorasi kerana mengambil kira keadaan gua yang agak usang.

“Hanya mereka yang gemarkan aktiviti meneroka gua sahaja memilih untuk menjelajah gua ini bagi tujuan penyelidikan kerana keadaannya kurang stabil dan sempit,” katanya.

Ujar Mustapha, untuk pakej eksplorasi Gua Damai, perjalanan secara keseluruhan membabitkan jarak sepanjang 2.5 kilometer dengan melalui aktiviti merentas dan mendaki, perjalanan terasa jauh.

“Untuk satu-satu pakej, jumlah peserta maksimum adalah 12 orang bagi menjamin keselesaan dan keselamatan. Setiap seorang mestilah memakai pakaian yang sesuai dan peralatan pendakian yang disediakan seperti memakai harness dan helmet.

“Mereka juga dimestikan menjaga kebersihan, tidak membawa bahan api dan tidak merokok untuk memastikan pemeliharaan gua,” katanya.

Gemarkan flying fox

Sementara itu, pelancong dari Perancis, Bourrelly Ghislaine, 53, memberitahu, dia menggemari semua aktiviti eksplorasi yang disediakan lebih-lebih lagi aktiviti flying fox kerana ia adalah trek terpanjang yang pernah disertainya.


PARA peserta berehat sambil menunggu aktiviti abseiling di Gua Pokok Besar berakhir.


“Saya berasa takut pada mulanya, tetapi nekad untuk mencuba kerana rakan-rakan yang lain memberikan kata-kata semangat.

“Pada mulanya, saya sangat keletihan semasa aktiviti pertama iaitu merentas dan mendaki hutan Gua Damai sehingga terpaksa berhenti berkali-kali, tetapi selepas aktiviti flying fox dan berehat, saya aktif kembali,” katanya.

Ey Angelique, 26, pula memberitahu, dia gemarkan suasana alam sekitar Gua Damai yang cantik dan berbeza berbanding di negaranya.

“Saya paling sukakan aktiviti flying fox di sini selain pernah mencuba sukan ini di negara saya. Tetapi, inilah kali pertama saya mengikuti eksplorasi gua dan pengalaman yang saya peroleh sangat menakjubkan,” katanya.

Peserta tempatan, Chan Kin Hou, 48 pula berkata, dia sudah menyertai aktiviti sukan ekstrem sejak 25 tahun lalu, tetapi lebih kepada aktiviti mendaki dan merentas hutan.

“Saya bukanlah seorang yang gemarkan aktiviti menjelajah gua tetapi melalui pengalaman pertama meneroka gua di sini, saya dapat belajar banyak perkara mengenai gua,” katanya.

Varia!»

Logo kuih baulu Politeknik Metro

PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16