SUKAN

Basikal: Malaysia mampu jadi kuasa

Basikal: Malaysia mampu jadi kuasa


KEBANGGAAN negara (dari kiri) Umi Hamimah, Josiah Ng, Fatehah Mustapa dan Mohd. Azizulhasni Awang yang terus menyerlah di pentas antarabangsa.


KEJUARAAN Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang melabuhkan tirainya di Putrajaya minggu lepas membuktikan bahawa Malaysia masih lagi boleh dianggap antara kuasa besar dalam sukan berbasikal di rantau ini.

Pada temasya yang berlangsung selama 10 hari itu, Malaysia secara keseluruhannya berjaya mengutip tiga pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa (3-7-5) dalam saingan trek dan lebuh raya kategori elit serta remaja.

Paling ketara ialah kejayaan skuad trek elit yang menyumbang tiga emas, tiga perak dan dua gangsa sekali gus mengatasi pencapaian 1-1-5 pada edisi tahun lepas di Korat.

Tiga pingat emas tersebut hadir menerusi Mohd. Edrus Yunus dalam acara satu kilometer ujian masa individu, manakala Josiah Ng dan Fatehah Mustapa masing- masing menghadiahkan kilauan tersebut dalam keirin lelaki dan wanita.

Sementara itu, jaguh sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang pula masih belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan apabila hanya mampu menyumbang dua pingat perak (pecut dan keirin) selepas pulih daripada kecederaan akibat tertusuk serpihan kayu ketika beraksi pada siri Jelajah Trek Dunia di Manchester, Februari tahun lalu.

Begitupun, satu kesimpulan yang amat ketara pada ACC 2012 kali ini ialah jurang perbezaan antara pencapaian skuad trek dan skuad lebuh raya.

Skuad lebuh raya negara dilihat bergelut sepanjang saingan yang berlangsung di Putrajaya itu apabila hanya Muhammad Adiq Hussainie Othman sahaja yang berjaya menyumbang pingat kepada kem Malaysia iaitu pingat perak dalam kategori bawah 23 tahun tatkala pelumba-pelumba elit dan remaja yang lain gagal menepati sasaran dalam acara masing- masing.

Sebelum saingan tersebut bermula, skuad lebuh raya yang dikendalikan Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan turut dilanda kontroversi apabila pelumba pecut, Anuar Manan digugurkan pada saat- saat akhir kerana tidak memberi komitmen terhadap latihan dan tempatnya diambil alih oleh Mohd. Harrif Salleh.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PK- BM), Abu Samah Abd Wahab mengakui, prestasi pelumba lebuh raya negara masih belum mencapai tahap memuaskan, namun menjelaskan bahawa beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan Malaysia pada edisi di Kuala Lumpur kali ini.

Menurut Abu Samah, pencapaian pada ACC 2012 ini adalah yang terbaik dalam masa empat tahun sejak kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas ketika ACC 2008 di Nara, Jepun.

“Saya sedar prestasi skuad lebuh raya negara sekali lagi menjadi perhatian dan saya akui kita masih belum mencapai tahap yang disasarkan berbanding dengan negara-negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran.

“Namun, kejayaan Mohd. Zamri Salleh menduduki tempat keempat dalam acara elit lelaki juga sebenarnya berjaya melakar sejarah tersendiri dan memperbaiki pencapaian kita pada ACC tahun lalu, sekali gus membuktikan pelumba Malaysia masih berkemampuan memberi saingan kepada jaguh Asia lain.

“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuad Malaysia pada kali ini kerana berjaya mengatasi sasaran satu pingat emas yang diletakkan sebelum ini.

“Malah, saya rasa kita juga sepatutnya bersyukur kerana idea kita untuk memperkenalkan acara lebuh raya bawah 23 tahun buat kali pertama akhirnya membuahkan hasil apabila Adiq (Hussainie Othman) memenangi pingat perak,” tambahnya yang juga merupakan naib presiden Persekutuan Berbasikal Asia.

Sementara itu, pencapaian Malaysia dalam kategori remaja juga boleh dibanggakan meskipun tiada pingat emas disumbangkan oleh pelumba-pelumba pelapis negara.

Dalam kategori tersebut, skuad trek remaja negara berjaya memenangi tiga pingat perak dan empat gangsa.

Paling menyerlah ialah pelumba wanita, Ummi Hamimah Mohamad yang berjaya menghadiahkan dua pingat perak tersebut dalam acara pecut dan keirin serta satu gangsa dalam acara pecut berpasukan dengan bergandingan bersama Lauretta Eva Adrian.

Seorang lagi pelumba wanita, Noor Azian Maslin Sazali menyumbang satu pingat perak dalam acara scratch.

Trio pecut lelaki remaja, Muhd. Fauzan Nor Azman, Malek Marcus McCrone dan Muhd. Asri Suraizi Mat Riadzi juga berjaya menunjukkan potensi yang diharapkan selepas memenangi pingat gangsa dalam acara tersebut.

Secara keseluruhannya, pencapaian Malaysia dalam ACC 2012 ini masih lagi memuaskan, terutamanya dalam acara trek baik bagi kategori elit mahupun remaja.

Cuma, apa yang perlu PKBM beri perhatian yang serius ialah mencari formula baharu untuk memperbaiki pencapaian skuad lebuh raya negara yang masih jauh ketinggalan berbanding skuad trek.

Mereka kini perlu menggandakan usaha agar tampil lebih bertenaga bagi memberi saingan kepada jaguh-jaguh Asia yang lain pada edisi tahun depan di New Delhi, India.

Pesona!»

Jalani hidup sebagai penghidap kanser

ujian mamogram perlu dilakukan golongan wanita setahun sekali terutama yang berumur 40 tahun ke atas. – Gambar hiasan

Varia!»

Berhutang dalam Islam

ISLAM tidak melarang umatnya berhutang tetapi perlu melalui kontrak yang berlandaskan syarak.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31