GARAJ

Nissan Navara Calibre

Nissan Navara Calibre


WARNA emas pada tubuh Navara Calibre membuatkannya lebih menyerlah di atas jalan raya.


SELAIN Isuzu, Nissan sebenarnya menawarkan produk trak pikap yang agak lengkap untuk dipilih oleh para pelanggannya. Selepas memberi impak positif menerusi model Frontier sebelum ini, Nissan tampil pula dengan rangkaian trak pikap Navara yang telah menerima banyak penambahbaikan dari pelbagai aspek termasuklah teknologi dan rekabentuk bagi menjadikannya lebih premium.

Mula diperkenalkan di pasaran sejak awal tahun lalu, varian yang dikenali sebagai Nissan Navara Calibre boleh dianggap sebagai model level entry yang ditawarkan oleh pihak Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Apabila bercakap mengenai model entry level atau asas, anda semestinya tahu bahawa banyak aksesori yang akan hilang. Tidak terkecuali pada model Navara Calibre. Namun, kekurangan itu tidak bermakna ia sebuah trak yang tidak bagus atau membosankan.

Diimport dalam bentuk CBU dari kilang Nissan di Thailand, Navara Calibre menjadi pesaing kepada model asas seperti Mitsubishi Triton Lite. Jika dilihat pada luarannya, Calibre nampak sedikit kosong. Tetapi ia tetap menampilkan reka bentuk Navara yang tahan lasak dan maskulin.

Jangan menilai Navara Calibre menerusi penampilan luarannya. Ini kerana sepanjang beberapa hari saya memandunya, trak pikap itu nyata berupaya menawarkan kualiti pemanduan yang memuaskan.

Sebelum terlupa, Navara Calibre ialah trak pikap pacuan dua roda (2WD) atau 4x2. Jadi, kalau anda tersekat di dalam lumpur yang dalam atau hendak beraksi seperti sebuah 4x4 sebenar, kemampuannya pastilah terhad.

Selaku sebuah trak pikap moden, Navara Calibre didatangkan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Kotak gear yang lancar itu mengagihkan kuasa daripada unit enjin diesel buatan Nissan yang terbukti boleh diharap.

Enjin bersesaran 2.5 liter itu disertakan bersama unit intercooler dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT). Ya, memang betul ia kurang berkuasa berbanding enjin sama yang dipasang pada model Navara 4x4. Lebih tepat lagi, kurang 30PS bersamaan catatan kuasa 144PS. Sementara tujahan torknya pula 356Nm.

Lebih ringan, menjimatkan

Nissan membuat talaan semula terhadap enjin diesel berkod YD25DDTi commonrail tersebut memandangkan Navara Calibre cuma sebuah jentera pacuan 4x2. Kekurangan kuasa itu bagaimanapun diseimbangkan dengan tubuhnya yang lebih ringan.


UNIT audio dan butang kawalan pendingin hawa yang mudah dioperasi.


Sebenarnya, Navara Calibre adalah 120 kilogram lebih ringan jika dibandingkan dengan varian Navara 4x4. Gabungan pacuan 4x2, kuasa yang sederhana dan kurang berat nyata memberi kesan atas penggunaan bahan api. Navara Calibre terbukti sebuah trak pikap asas yang menjimatkan minyak.

Apabila enjin dihidupkan, satu badan boleh bergegar. Bunyi enjin dapat didengar dengan jelas. Namun, sebaik sahaja ia meluncur di atas jalan raya, bunyi bising enjin dan angin semakin perlahan. Itu pun jika anda memandu dalam kelajuan yang mengkut had laju kebangsaan.

Apabila pedal minyak ditekan, anda akan dapati enjin melahu kuat sebelum kuasa terasa mula dihantar ke roda hadapan. Setelah mendapat momentum, Navara Calibre tidak ada banyak masalah untuk memotong atau mendaki laluan berbukit.

Ruang kabin trak pikap itu menawarkan rekaan papan pemuka yang sangat ringkas. Itu saya boleh terima. Cuma, aplikasi warna cerah pada keseluruhan ruang dalamannya memang tidak praktikal. Warna itu pastinya amat mudah kotor, apatah lagi kenderaan sebegini digunakan untuk tujuan kerja dan bukannya bersantai sepanjang masa.

Dilihat pada aspek keselamatan pula, jentera itu tetap dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD. Tetapi sistem LSD (limited-slip differential) yang ada pada model Navara manual dan lebih berkuasa telah ditiadakan. Ia juga tidak dilengkapi dengan beg udara SRS dan lampu utama jenis xenon.

Jadi berapa harganya? ETCM menawarkan Navara Calibre pada harga RM89,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Harga itu murah RM15,000 berbanding model Navara yang lain. Jumlah itu pastinya agak signifikan terutamanya bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan.

Saya boleh katakan bahawa Navara Calibre mungkin pilihan terbaik untuk mereka yang sekadar mahukan sebuah pikap trak dan digunakan di bandar.

Infiniti!»

Terbang, rakam dan analisis imej

PELAJAR UTM (dua dari kiri) menerangkan bagaimana UAV dikawal menggunakan perisian khas dari paparan skrin komputer.

Varia!»

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16