KESIHATAN

Maraton lelaki 100 tahun

Maraton lelaki 100 tahun

FAUJA SINGH menamatkan larian Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat baru-baru ini.


FAUJA SINGH mengejutkan dunia dengan menyertai larian maraton ketika usianya mencecah 100 tahun. Pelari Britain itu menamatkan maraton Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat baru-baru ini.

Bagaimanakah pencapaian melangkaui usia itu dapat dilakukan? Padahal kebanyakan daripada kita akan bersyukur sekali gus terkejut kerana masih terus bernafas pada usia satu abad. Menyertai larian maraton pada usia sebegini ibarat nukilan novel sains fiksyen.

Namun, realitinya, Singh masih dapat mengatasi lima peserta lain yang lebih muda untuk menamatkan larian di tempat ke-3,850.

Dia meletakkan kejayaannya kepada amalan tidak merokok atau minum arak, berfikiran positif dan makan kari halia.

Namun, jika hanya semua itu yang diperlukan, jalan-jalan raya akan dipenuhi pelari berusia seabad manakala setiap rumah orang tua memiliki pasukan atletnya sendiri.

Pakar perubatan geriatrik menyatakan, rekod yang dicatatkan oleh Singh akan bertahan lama dan sukar untuk diatasi.

Larian jarak jauh membebankan tubuh manusia dengan semakin tua seseorang, semakin sukar baginya melakukan aktiviti lasak.

Jantung warga tua kurang efisien dalam menyalurkan kitaran oksigen ke seluruh badan. Darah beroksigen yang dipam oleh jantung individu berusia 60 tahun kurang 20 peratus kandungan oksigen berbanding darah pemuda berusia 20 tahun.

Selain itu, kekuatan otot merosot dengan ketara apabila seseorang melepasi had usia 70 tahun pada kadar 30 peratus untuk setiap satu dekad.

Ligamen dan tendon pula semakin rapuh, menyebabkan warga emas lebih cenderung ditimpa kecederaan manakala paru-parunya menjadi keras dan kurang efisien.

Namun, jika keadaan kesihatan warga emas berkenaan baik dan dia kerap melakukan latihan fizikal, kesan penuaan ini dapat diperlahankan.

Penjagaan kesihatan yang baik juga membolehkan semakin ramai warga emas terus berlari walaupun usia mereka memasuki lingkungan 80 atau 90 tahun.

Bagi golongan ini, Singh ialah seorang wira.

"Apa yang cuba disampaikan oleh Singh ialah saya tidak akan membiarkan diri saya dikongkong oleh norma-norma kehidupan," kata pengarah program kebangsaan Pusat Latihan Galloway di Atlanta, Chris Twigg.


MELAKUKAN regangan penting sebelum memulakan larian.


Luar biasa

Tambah Twigg: "Masa memberikan kesan buat kita semua. Tetapi selagi kita berwaspada dengan cara latihan, kita sebenarnya boleh mencapai apa yang orang lain fikirkan mustahil.

"Jika mempunyai kesihatan yang baik, kita mampu menghabiskan larian selagi kita bergerak secara perlahan-lahan.

"Kuncinya adalah dengan mengurangkan tekanan ketika berjalan untuk mengelakkan keletihan kaki."

Twigg turut menasihatkan pelari agar mengurangkan hari latihan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada badan berehat.

Majikan Twigg, bekas atlet sukan Olimpik, Jeff Galloway yang merupakan penulis buku Running Until You're 100 menjelaskan bahawa impiannya adalah untuk berlari sehingga dia mencapai usia 100 tahun dan boleh terus menulis sambungan buku itu.

Lelaki yang berusia 67 tahun itu telah melatih mereka yang berusia 70-an dan ramai yang berjaya menghabiskan larian maraton.

Namun, dia mengakui bahawa peluang untuk mencapai angka 100 tahun tanpa sebarang penyakit dan kekal sihat untuk menamatkan larian jauh adalah sesuatu yang sukar.

"Mesej yang disampaikan melalui kajian kami adalah 'gunakannya atau biarkan ia hilang'," kata Galloway.

Dr. Sharon Brangman yang merupakan Pengerusi Persatuan Geriatrik Amerika percaya bahawa Singh adalah antara warga emas luar biasa yang muncul pada ketika ini.

"Dia benar-benar seorang yang luar biasa. Maraton adalah antara punca utama yang memberikan tekanan kepada tubuh.

"Ketika usia 100 tahun kebanyakan manusia boleh mencapai jarak 10 meter sahaja. Mustahil untuk menamatkan maraton.

Tambah Brangman, maraton sebenarnya memberikan banyak tekanan kepada jantung walaupun kepada orang muda.

Pelari muda juga boleh terlibat dengan kecederaan fizikal yang lain sebelum sistem endorfin mereka mula bekerja untuk larian.

Process time in ms: 0