RENCANA UTAMA

Baca@ LRT acara sulung

Baca@ LRT acara sulung



DI satu sudut sebuah kedai buku, kelihatan sekumpulan anak muda tekun meneliti dan membelek beberapa buah buku yang berada di hadapan mereka. Kebanyakan mereka memilih buku bergenre serius seperti motivasi, perniagaan, sastera dan sebagainya.

Malah, wajah masing-masing juga begitu teruja apabila melihat deretan buku koleksi terbaharu yang dipamerkan di rak-rak buku kedai tersebut.

Satu persatu buku itu dicapai lantas lembaran demi lembaran diselak bagi mengetahui sekali imbas tentang kandungan yang terdapat di dalamnya.

Sesekali ada dalam kalangan mereka yang berkongsi buku yang diminati sambil melahirkan pendapat mengenai keistimewaan karya penulisan berkenaan.

Itu antara situasi spontan yang dapat disaksikan apabila insan-insan penting sebuah gerakan bawah tanah dikenali sebagai Baca@ yang bermatlamat mengajak masyarakat menyuburkan tabiat membaca tanpa mengira usia berkumpul di bawah satu bumbung.

Salah seorang pengasasnya, Zamri Mohamad, 32, berkata, gerakan Baca@ merupakan satu idea spontan yang timbul sewaktu mengadakan perbincangan ringkas bersama rakan-rakan di sebuah bilik latihan kecil Learning Station di Wangsa Melawati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur awal Januari tahun lalu.

Dalam perbincangan tersebut, mereka sepakat memilih pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai wadah atau platform untuk memulakan gerakan murni itu.

“Perkataan LRT timbul dalam perbualan membabitkan isu-isu sekitar yang berbangkit dan berkaitan mencipta satu kelainan positif dalam masyarakat. Satu kelainan yang baik dan memberi kesan positif pada semua. Juga satu kelainan yang mendorong orang lain bersama-sama dalam satu kumpulan untuk menyuarakannya.

“Daripada situlah lahirnya gerakan Baca@LRT iaitu satu usaha gila-gila yang melibatkan penggemar buku dan pendukung bahan bacaan berkualiti mempromosikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” jelas Zamri yang merupakan penulis buku sepenuh masa dan pengasas kursus penulisan.com ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Keberanian luar biasa

Selain Zamri, gerakan tersebut turut diasaskan oleh Irfan Jani, 32, pemilik syarikat penerbitan Mazni Irfan Sdn. Bhd., Izwan Wahab, 32, seorang pengatur cara sistem dan Haeqal Zulkarnain, 31, yang bertindak sebagai pengarang.


DUA kanak-kanak ini tekun membaca buku di perpustakaan Rumah Anak Yatim Nurhidayah di Taiping, Perak yang disediakan oleh gerakan Baca@.


Bagi mereka berempat, kempen membaca sebenarnya memerlukan suntikan lebih segar, bersifat spontan dan diadakan tanpa acara rasmi seperti memotong reben, menjemput tetamu kehormat dan sebagainya.

Sebaliknya, ia satu usaha gila-gila yang memerlukan keberanian luar biasa untuk melakukannya bersama bagi memberi mesej jelas kepada orang ramai terhadap apa yang mereka percaya.

Rentetan daripada itu, rangkaian laman sosial Facebook menjadi platform gerakan ini diasaskan dengan penganjuran acara sulung Baca@LRT pada 16 Januari 2010 yang mencatat sejarah tersendiri.

“Walaupun kami hanya menyasarkan 70 peserta untuk hadir dalam aktiviti sulung membaca di dalam LRT, tetapi jumlah yang hadir melebihi jangkaan. Seramai 150 peserta hadir memberikan sokongan. Acara itu bermula dari terminal LRT Putra, Gombak ke stesen Kelana Jaya,” terang Zamri sambil memberitahu tagline gerakan Baca@ adalah Membaca itu Cool.

Rentetan daripada sambutan yang menggalakkan terhadap kempen membaca tersebut, beberapa individu kemudian tampil dengan idea mengasaskan kumpulan tertentu di bawah gerakan Baca@ bagi meluaskan lagi ruang lingkup mereka.

Ruang bacaan

Ini termasuklah penubuhan kumpulan Baca@Komuter, Baca@Sekolah, Baca@Masjid, Baca@Perhentian Bas, Baca@Hutan dan sebagainya.

Bagi Azzah Abdul Rahman, 32, pengasas kumpulan Baca@Komuter dan Baca@Sekolah, dia banyak menggerakkan kumpulan ini di sekitar Negeri Sembilan.

“Program Baca@Komuter contohnya diadakan sebagai sambungan daripada projek Baca@LRT yang khusus untuk masyarakat di bandar. Tetapi di dalam komuter yang menghubungkan antara bandar, masa penumpang berada di dalamnya lebih panjang.

“Acara pertama di bawah gerakan Baca@Komuter telah kami anjurkan pada 20 Februari 2011 dengan perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur Sentral dan KLCC. Program ini kami adakan dengan kerjasama Kelab Tidur Dengan Buku (KTDB),” jelas Azzah yang juga merupakan seorang penulis.


GERAKAN Baca@ ditubuhkan dalam usaha menggalakkan masyarakat agar menyuburkan budaya membaca tanpa kempen bersifat rasmi.


Tambahnya, melalui kumpulan Baca@Sekolah pula, ia mempunyai objektif untuk membantu rumah-rumah kebajikan mewujudkan ruang bacaan mereka sendiri. Melalui kumpulan ini, mereka berjaya melaksanakan dua program amal iaitu di Rembau, Negeri Sembilan dan Yayasan al-Jenderami di Selangor.

“Melalui program tersebut, kami menyumbang buku daripada dana kutipan sendiri dan sumbangan syarikat tertentu. Apa yang pasti, pihak kami akan memberi buku-buku baru kepada mereka kerana mahu mewujudkan ruang bacaan terbaik untuk anak-anak tersebut.

“Dalam konteks sumbangan, kami tidak menerima wang tunai sebaliknya hanya buku semata-mata. Jika mahu melihat aktiviti kami, anda boleh berbuat demikian dengan melayari Facebook/baca@sekolah dan baca@komuter,” kata pemilik kedai buku BACHA di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Sementara itu, Asyraff Hafdzan Abdullah, 29, memberitahu, apabila melihat kejayaan rakan-rakan dalam gerakan Baca@ ini, dia terus mendapat idea untuk mewujudkan pula kumpulan Baca@Masjid.

Ujar Asyraff, dia mendapat inspirasi daripada seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Ibu Kartini yang berusaha membina sebuah masjid di Johor. Kegigihan wanita itu berusaha selama lima tahun akhirnya membuahkan hasil dan dia berjaya mendirikan sebuah masjid yang diimpikan.

Melabel buku

“Kisah ini diceritakan oleh sahabat saya, Irfan Jani dan selepas mengadakan perbincangan di koridor sekolah, saya terus mendapat ilham untuk menubuhkan gerakan Baca@Masjid bermula Disember tahun lalu,” katanya.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah projek menyusun dan melabel buku di Masjid Bukit Indah, Ampang.

“Kita sedia maklum buku-buku agama mempunyai pelbagai bidang dan disiplin. Jadi, ia memerlukan kepada kepakaran untuk menyusun bahan bacaan tersebut untuk kemudahan para jemaah.

“Aktiviti ini turut dibantu oleh sukarelawan dan ahli kumpulan Baca@Masjid. Mereka juga ada menyumbang beberapa kotak buku bercorak agama kepada pihak masjid,” tutur Asyraff.

Bagi perancangan akan datang, pihaknya akan cuba mewujudkan skim wakaf Baca@Masjid kepada mereka yang berminat. Cuma, ia bukan sekadar mewakafkan al-Quran atau buku-buku agama tetapi juga melibatkan barang keperluan seperti sejadah, telekung atau kit pengurusan jenazah.

Seorang lagi rakan Zamri, Iskandar Syah Ismail, 35, pula bertindak mengasaskan penubuhan perpustakaan sebenar di rumah-rumah anak yatim bermula sejak tahun 2007 dengan cara menyumbang buku.

Hingga kini, mereka telah berjaya menyiapkan sudut perpustakaan di 16 buah rumah anak yatim di seluruh negara.

Process time in ms: 15