RENCANA UTAMA

Taman Eropah di Putrajaya

Taman Eropah di Putrajaya


TREK berkembar untuk pengunjung berjoging (kiri) dan laluan khas buggy.


IBARAT berada di negara Eropah. Itu mungkin rumusan hampir tepat untuk menerangkan secara ringkas apa yang menarik di Taman Saujana Hijau, Presint 11, Putrajaya.

Seindah namanya, pengunjung taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini pasti terpukau dengan hamparan pokok pain, rhu dan krismas yang menghiasi dataran berbukit seluas 41 hektar itu.

Menurut Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya, Mohamad A. Shukor, pelbagai aktiviti dan program kekeluargaan boleh dilaksanakan di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Penduduk sekitar biasanya menjadikan kawasan ini sebagai lapangan terbuka untuk mereka beriadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan.

“Kebanyakannya memilih untuk bersiar-siar, berjoging dan menunggang basikal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dengan trek berkembar selebar tiga meter sepanjang 2.17 kilometer(km), pastinya ia cukup selesa bagi yang ingin berjoging serta berbasikal di kawasan ini.

“Selain berekreasi sambil menikmati hembusan angin di atas bukit yang memiliki ketinggian 115 meter, pengunjung turut disajikan dengan keunikan pelbagai jenis tumbuhan negara sejuk dari spesies gymnosperm, iaitu spesies pokok tidak berbunga yang ditanam teratur hampir di keseluruhan ruang taman.

“Kami memilih pokok dari jenis ini kerana mahu menghidupkan suasana Eropah, Inggeris dan Oriental.

“Selain itu, ia juga dapat memberi kelainan kepada Taman Saujana Hijau berbanding taman-taman lain yang biasanya ditanam dengan pokok-pokok dari jenis tropika.

“Antara pokok yang terdapat di sini ialah pokok zaman dinosour iaitu cycus palm, juniper, gnetum dari kumpulan pokok belinjau, podocarpus, thuja dan juga agethis.

“Selain menghijaukan kawasan sekitar, pokok-pokok ini juga bertindak sebagai pemegang cenuram bukit supaya ia lebih kukuh.


PEMANDANGAN indah dari puncak salah satu bukit yang terdapat di Taman Saujana Hijau.


“Untuk tujuan pendidikan, pihak PPj turut menyediakan papan informasi pada pokok supaya pengunjung dapat mengenal dengan lebih dekat jenis tumbuhan tersebut.

“Tidak hanya pokok, taman ini turut menawarkan pemandangan indah dari atas bukit di mana pengunjung boleh menikmati pandangan mata burung ke seluruh Presint 11 yang juga merupakan kawasan penempatan terbesar di Putrajaya,” jelas Mohamad lagi.

Pagar kayu

Tidak hanya dijamu dengan pandangan sayup dari dua buah bukit berhampiran, binaan pagar dari kayu resak kelas satu yang berfungsi menjadi penghadang turut menjadi tarikan utama di taman ini.

“Elemen kayu dipilih supaya ciri autentik Eropah lebih menonjol. Ia dipasang untuk tempoh sepuluh tahun sahaja sebelum diganti dengan kayu pagar yang baru,” tambahnya.

Selain kemudahan trek joging dan basikal, taman ini turut menyediakan ruang tempat letak kenderaan, pondok pengawal, tong sampah dan wakaf.

Menariknya, wakaf-wakaf di sini dibina dengan rekaan berbeza. Ada wakaf Nusantara yang mewakili reka bentuk Melayu, wakaf Oriental yang membawa ciri China dan wakaf Inggeris yang diberi sentuhan kedesaan melalui warna biru lembutnya.

Jika anda memilih untuk menghirup udara segar di kawasan berbukit ini, laluan pejalan kaki berasingan juga disediakan.

Memandangkan cerun dan teres tanah dikekalkan, laluan di sepanjang taman kelihatan berliku-liku dan ia menjadi nilai istimewa buat Taman Saujana Hijau ini.

“Pengunjung boleh melihat liku yang berbentuk seperti biola di kawasan dua bukit bercantum. Ia juga kelihatan seakan pinggang wanita ramping,” seloroh Mohamad.

Andai sudah letih berjalan, tangga-tangga daripada kayu selipar keretapi turut disediakan di kebanyakan tempat sebagai alternatif kepada yang ingin menggunakan jalan pintas.

Sekiranya anda berkesempatan menaiki puncak bukit pada lewat petang, jangan ketinggalan untuk menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh mengasyikkan.

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16