GENK

Dunia penulisan Siti Jasmina

Dunia penulisan Siti Jasmina


SITI JASMINA banyak diberi tanggungjawab mengangkat novel-novel ternama negara untuk diterjemahkan ke pentas teater.


SITI JASMINA IBRAHIM, 35, merupakan nama yang tidak asing dalam dunia penulisan kreatif di negara ini. Rekod pencapaiannya panjang berjela-jela hingga meletakkan hasil kerjanya sebagai antara yang paling dipercayai.

Mungkin juga, Siti Jasmina amat merendah diri untuk meluahkan betapa pengalaman selama 18 tahun sebagai penulis profesional sebenarnya telah menempatkannya dalam liga tersendiri.

Terbaru, wanita yang sangat puitis ketika berbicara itu baru saja membawa pulang trofi Skrip Drama Terbaik (Drama Perempuan) pada majlis Anugerah Seri Angkasa 2010.

Skop kekreatifan anak didik Prof. Dr. Siti Zainon Ismail itu sebenarnya tidak terhad kepada penulisan drama, filem, puisi, cerpen dan seni kata lagu semata-mata.

Bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkenaan sebenarnya berupaya menulis skrip teater dalam parameter yang hebat.

“Bukan mudah untuk mengadaptasi novel-novel ternama yang ditulis oleh Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Nordin Hassan dan Hamka kepada skrip teater, ia memerlukan 200 peratus komitmen dan penelitian,” kata Siti Jasmina sambil memberitahu bahawa suaminya yang juga pelakon Hikayat Merong Mahawangsa, Khir Rahman banyak memberi buah fikiran kepadanya menulis selain keluarga tercinta.

Antara novel yang diangkat oleh Siti Jasmina ke pentas teater ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tun Perak, Sita Dewi Bermimpi dan Saya Di Hujung Kota.

Dia juga tampil dengan cetusan ideanya yang asli. Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad yang melibatkan 80 kanak-kanak di samping teraju utamanya, penyampai radio terkenal, Raja Azura merupakan antara hasil nukilannya yang pernah dipentaskan di Istana Budaya.

Begitu juga dengan skrip teater Si Pemakan Hati, Hikayat Qaziq, Melintas 31 dan banyak lagi.

Tambah Siti Jasmina, untuk menghasilkan sesebuah skrip teater terutamanya teater bentuk muzikal bukan satu kerja senang. Ia memerlukan masa yang cukup dan memerlukan enam pancainderanya ‘bekerja’ dengan baik.

“Kita mesti tahu dan cekap untuk gabungkan dari cerita ke lirik lagu dan lirik itu mesti ada kesinambungan dengan dialog serta babak seterusnya,” ujarnya yang mengambil masa lebih kurang sebulan untuk berjumpa titik noktah untuk skrip Sinbad.

Karya terbaik

Siti Jasmina yang lebih cenderung menghasilkan karya berbentuk realisme magis iaitu gabungan senario alam nyata dan alam impian seterusnya berkata, untuk menjulang sebuah sesebuah karya menjadi yang terbaik, pengarah perlu berhubung dengan penulis skrip.

Pengarah teater ujarnya, hanya memberitahu tajuk cerita sedangkan penulis profesional sepertinya perlu memvisualkan penceritaan dalam bentuk skrip, latar, set dan watak yang dimainkan.

“Kadang-kadang kita perlu juga melakukan device play iaitu mengadakan perbincangan dan sesi lampas otak bersama dengan pelakon,” jelasnya.

Jika ditanya mengenai teater yang berbekas di hatinya, Siti Jasmina akan pantas menjawab teater Si Pemakan Hati, walaupun produksi Sinbad lebih berskala besar.

“Walaupun dipentaskan di ruang stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kecil, ia diterbitkan oleh saya sendiri dan semangat sesama kami tanpa mengira produksi. Tambahan pula, hubungan tenaga kerja dengan para pelakonnya sangat rapat,” katanya.

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan ekspresi gembiranya apabila teater yang dilakonkan oleh pelakon, Melissa Saila itu menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan peminat teater.

Tenaga pengajar

Mengenai perkembangan penulis teater dalam kalangan generasi muda, wanita itu menjelaskan bahawa aspek minat dan imaginasi tidak menjadi soal utama.

“Masalahnya sekarang adalah kurangnya tenaga pengajar yang berwibawa. Ada sesetengah tempat, pensyarah yang mengajar itu sendiri tidak cukup pengalaman. Maka, bagaimanakah caranya untuk menghasilkan generasi yang kreatif?” soalnya.

Kata Siti Jasmina di akhir bicara, sesebuah penulisan itu tidak akan menjadi sebuah karya agung sekiranya tulisan itu tidak hadir daripada hati yang ikhlas.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16