GENK

Apabila budaya Komanwel bersatu

Apabila budaya Komanwel bersatu




DHANUSHKA Gayashan, 22, muncul di pentas persis seorang perwira zaman silam abad ke-16. Warganegara Sri Lanka itu tidak berbaju namun dadanya hanya ditutupi manik dekoratif. Dia hanya mengenakan dhoti dengan paduan warna jingga dan putih serta bertanjak. Di tanah airnya, pakaian itu dinamakan Ves.

Kemudian, lelaki itu mengangkat tangan dan terus menghela nafasnya. Rupa-rupanya itu merupakan indikator jelas bagi meminta muzik dimainkan segera.

Bukan berentak kontemporari, ia sebaliknya merupakan alunan suara klasik yang mendendangkan sebuah lagu rakyat yang bercerita tentang haiwan dalam bahasa Sinhala. Melodi asing itu ternyata membuatkan pengunjung yang hadir ke Plaza Sungei Wang terkesima seketika. Secara jujurnya, telinga rata-rata penonton memang tidak mampu menghadam muzik unik itu.

Pandangan mata terus terpaku melihat Dhanushka memusingkan genderang dengan hanya menggunakan jari telunjuk tangan kanan. Sudah cukup pusingan, instrumen itu diletak ke atas kayu yang berupa dahan, satu persatu mengikut ritma lagu. Ia dilakukan hingga ke genderang yang kesembilan.

Sesungguhnya, persembahan tarian tradisional Kandyan yang dipentaskan selama lebih kurang 12 minit itu memukau pandangan ratusan pengunjung termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek sendiri.

Barangkali, budaya dan warisan Sri Lanka atau pernah dikenali sebagai Ceylon, jarang sekali dapat ditonton di negara ini. Ia satu pengalaman dan pendedahan baru kepada semua.

Tetapi pada Selasa lalu, bukan saja budaya dari Sri Lanka, himpunan apresiasi seni muzik dan budaya negara-negara seperti India, Maldives, Bangladesh, Brunei, India termasuk Malaysia disatukan pada Majlis Sambutan Hari Komanwel.

Berlangsung dengan tema Wanita Sebagai Ejen Perubahan, program itu telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan, Commonwealth Youth Programme Asia Pacific Centre dan dengan kerjasama pihak Plaza Sungei Wang.

Sebanyak 31 belia terbaik dari enam negara terpilih mengikuti sambutan yang diadakan selama tiga hari di negara ini.

Sebenarnya, Hari Komanwel disambut setiap tahun pada hari Isnin minggu kedua bulan Mac. Ia bermatlamatkan mahu memberi pendedahan kepada isu-isu global masa kini termasuk penglibatan antarabangsa dalam kalangan anggota negara Komanwel.

“Sambutan ini antara lain ingin menyelak dan berkongsi budaya kerja dalam sesebuah organisasi negara-negara komanwel dalam usaha membangunkan kehidupan rakyat di sesebuah negara terlibat.

“Melalui program ini juga, diharap hubungan silaturahim antara belia semua negara akan lebih utuh dan harmoni,” kata Shabery ketika menyampaikan ucapan.

Tonjol budaya negara


PARA belia dari negara-negara Komanwel menganggap acara sebegini merupakan platform terbaik untuk mereka saling mengenali dan memahami lebih dekat budaya masing-masing.


Tidak hanya Dhanushka, negara-negara lain juga mahu menonjolkan kehebatan budaya masing-masing. Peserta Bangladesh misalnya mempersembahkan tarian klasiknya.

Walaupun, Shalpa Rani Pall, 28, berbadan gempal, ternyata sari biru dan merah jambu serta mimik muka manisnya, membuatkan dia menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Persembahan lima peserta Brunei yang memulakan agenda dengan bersilat kemudian diikuti rutin tarian, mungkin terlalu biasa ditatap dan oleh rakyat Malaysia. Namun, bagi para peserta negara lain, mata mereka tidak berkelip-kelip melihat langkah tari perlahan para penari.

Bagaimana dengan Maldives, sebuah negara yang terkenal dengan gugusan kepulauan terumbu karang dan mempunyai 1,192 kepulauan kecil?

Menurut salah seorang daripada tiga peserta wakilnya, Hassaan Husne, 20, 99.9 peratus penduduknya mengamalkan ajaran Islam, justeru tiada acara tari menari daripada mereka.

Namun, atas semangat mengetengahkan budaya masing-masing, mereka hanya bertindak memperkenalkan pakaian tradisional Maldives.

Aminath Shifeza, 30, memakai pakaian wanita tradisional dinamakan Dhivehi Libaas iaitu pakaian umpama baju kurung dan berhijab.

Sementara, si lelaki memakai sarong (atau sarung), baju T berwarna putih dan tudung kepala yang dinamakan foshaa.

Sedang asyik melihat Aminath berucap, seorang pegawai kementerian berkata, penonton tidak seharusnya terlepas menyaksikan persembahan Leepika Reddy, 19, dari India.

Gadis bertubuh kurus itu mempersembahkan tarian Manipuri yang berasal dari Manipur iaitu negeri di bahagian timur laut negara tersebut. Tarian itu, menurut rakan senegara Leepika, R. Tiripura Kumar, 26, merupakan tarian tertua di negeri berkenaan. Berdasarkan teks kuno, tarian itu melambangkan gerakan planet yang mengelilingi matahari.

“Bagi masyarakat India, tarian adalah gabungan antara unsur pemujaan dan luahan perasaan yang mendalam dalam diri seseorang insan,” terang Tiripura.

Khas buat rakyat Malaysia, gadis India itu membawa kelainan dalam tariannya. Leepika membawa tiga batang lilin dan peralatan tembaga untuk mencantikkan tariannya. Diiringi lagu klasik yang rancak serta dekorasi pakaian yang berwarna-warni, gadis yang mempelajari seni tari sejak kecil itu nampak lincah dan tangkas.

Sikap berhati-hatinya semasa mengendalikan lilin sewaktu menari membuatkan bidikan lensa kamera tidak putus-putus merakam pergerakannya.

Bagi peserta Malaysia, mereka sepakat menyajikan tarian tradisional. Selain bijak bermain dengan ruang pentas, mereka turut memperkenalkan permainan congkak dan galah panjang.

Mengenali Malaysia


SHABERY (tengah) menerima cenderamata selepas merasmikan Sambutan Hari Komanwel dan melancarkan Segmen Antarabangsa Hari Belia Negara baru-baru ini.


Selama lima hari di Malaysia, para peserta tidak hanya berlatih untuk membuat persembahan. Sejurus tiba di negara ini, mereka menghadiri seminar yang mengupas dengan lebih lanjut tentang tema Wanita Sebagai Ejen Perubahan.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri, maka setiap individu diberikan peluang untuk melontarkan hujah rasional mereka dalam nada berhemah.

Kesemua para peserta juga dibawa oleh kementerian meninjau kehebatan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya yang terkenal dengan keindahan tarikan infrastrukturnya.

Sememangnya keagungan seni bina Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin paling mencuri perhatian mereka. Mungkin kumpulan peserta India tidak menyangka bahawa binaan kubah Taj Mahal di negara mereka diadaptasi ke dalam seni reka masjid yang bergelar Masjid Besi itu.

Menyentuh bab makanan pula, Malaysia seperti biasa, sentiasa dipuji warga asing yang peka terhadap dunia kulinari. Sajian makanan Melayu yang dihidangkan sememangnya menyelerakan.

“Saya tidak biasa makan nasi namun sekali sekala mencuba, terasa mahu makan lagi,” kata Hassaan yang berkemungkinan bercerita tentang masakan berupa sambal.

Ditanya adakah mereka berhasrat untuk kembali melawat Malaysia semula, jawapannya, pasti ya!.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15