HORIZON

Air terjun warisan

Air terjun warisan




DI SEBALIK hutan batu yang sering membayangi imej Pulau Pinang sebagai bandar raya moden, sebenarnya ada lokasi yang masih tidak tersentuh flora dan faunanya.

Dengan hanya berkenderaan kira-kira 40 minit perjalanan dari bandar George Town atau hanya 20 minit dari kawasan pelancongan paling popular negeri itu iaitu Batu Feringghi, lokasi yang dimaksudkan tersebut sedia menanti.

Terletak di laluan di atas Teluk Bahang ke Balik Pulau, nama Air Terjun Titi Kerawang kurang diketahui ramai kecuali penduduk negeri ini sahaja atau pengunjung yang memang gemar ‘memburu’ air terjun.

Bagaimanapun untuk mencarinya tidak sesukar mana. Bagi pengunjung luar yang berhajat memandu mengelilingi pulau itu pula, mereka pasti akan melalui Titi Kerawang kerana kedudukannya di salah satu selekoh tajam di tengah-tengah laluan tersebut.

Cuma kedudukan air terjunnya yang sedikit tersorok iaitu kira-kira 100 meter dari jalan besar mungkin menyebabkan ada yang terlepas pandang. Tetapi papan tanda nama Air Terjun Titi Kerawang yang jelas terpampang boleh dijadikan panduan.

Sejarah nama Titi Kerawang

Terletak di kawasan berbukit yang menghampar hampir 90 peratus muka bumi daerah Balik Pulau dan Teluk Bahang, suasana nyaman benar-benar terasa. Apa tidaknya, pokok-pokok hutan berusia ribuan tahun yang memayungi rimba di sini memberi pemandangan menghijau yang mendamaikan.


PELANCONG boleh mendapatkan pelbagai produk cenderamata di gerai berdekatan air terjun.


Titi Kerawang bermaksud titi kayu beluti yang disusun bersimpang-siur dan terputus-putus atau tidak tersusun lurus rapi. Mengikut cerita orang tua, dahulunya terdapat titi beluti dibina bagi melintasi kawasan air di sini sehingga ke bawah bukit.

Bagaimanapun, kini laluan itu telah diganti dengan titi kayu yang dibina lebih kuat bagi memudahkan pengunjung yang datang beriadah ke sini.

Ada juga yang berpendapat nama Titi Kerawang diambil sempena nama sebuah jambatan konkrit yang dibina penjajah British yang menghubungkan jalan di situ yang mempunya hiasan berbentuk seperti kerawang di kiri dan kanannya.

Berdiri di atas jambatan itu pula membolehkan pengunjung melihat Selat Melaka serta dataran daerah Balik Pulau yang terhampar.

Menyapa pengunjung sebaik kaki menapak masuk ke air terjun ini ialah rantaian paip air yang mengalir dari kawasan takungan air bersih atas bukit milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd.

Sumber air bersih itu disalur untuk membekalkan air terawat kepada penduduk setempat termasuk ke beberapa kawasan pertanian. Terkenal dengan dusun buah-buahan, tidak hairanlah mengapa hasil jualan di sekitar kawasan itu menjadi buah mulut ramai.


AIR Terjun Titi Kerawang antara kawasan hijau warisan yang perlu dipertahankan kerana menjadi tarikan pelancong.


Difahamkan, sumber air di takungan air di situ cukup untuk kegunaan pengguna biarpun jika Pulau Pinang dilanda musim panas berpanjangan kerana rimbanya berupaya menakung air.

Atas sebab keselamatan juga, maka laluan ke tingkat atas air terjun dipagar setelah diwartakan sebagai kawasan larangan PBAPP.

Dihiasi dengan bongkah batu-batu besar yang seperti tersusun kemas di kiri dan kanannya, desiran air terjun yang mencurah laju pada ketinggian kira-kira 20 meter menggambarkan betapa indahnya air terjun, yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai tempat merendamkan tubuh para pegawai British pada hujung minggu.

Walaupun kawasan air terjun Titi Kerawang tidak seluas kebanyakan kawasan rekreasi lain iaitu hanya kira-kira 200 meter persegi, bezanya air yang mengalir deras di sini adalah air bukit yang cukup segar dan sejuk.

Di sebalik ruang yang terhad itu, ia memadai untuk pengunjung datang berehat sambil melepaskan lelah atau berkelah membawa bersama keluarga.

Malah, berada di sini membawa minda lupa seketika yang diri sebenarnya berada di sebuah negeri ‘pulau’ yang pesat membangun dan paling moden terutama bagi pengunjung tempatan dari luar Pulau Pinang.

Bagi kebanyakan pemandu pelancong pula, Air Terjun Titi Kerawang antara lokasi wajib yang ditunjukkan kepada pelancong. Walaupun sekadar singgah sekejap antara 10 hingga 20 minit, ternyata air terjun yang masih kekal persekitaran aslinya ini tidak lepas daripada lensa kamera mereka.


PELBAGAI jenis buah dijual di gerai berdekatan jalan masuk ke Air Terjun Titi Kerawang.


Jika ingin membawa pulang ole-ole, singgah sahaja di deretan gerai yang terletak kira-kira 50 meter dari jalan masuk ke air terjun itu.

Menariknya, selain menjual kraftangan dan buah-buahan tempatan, di sini juga pengunjung boleh membeli buah pala mentah dan produk berasaskan buah ikonik Pulau Mutiara tersebut seperti ubat gosok dan bam. Turut dijual ialah bungkusan berisi rempah ratus seperti bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis dan buah berangan yang cantik dijadikan hiasan.

Jika ingin bertandang ke sini, disarankan memilih pada hari biasa sahaja kerana jika datang pada hari minggu atau cuti umum, Air Terjun Titi Kerawang sarat dengan pengunjung termasuklah pelancong asing.

Laluan dua lorong yang sempit di jalan berbukit di situ turut sesak dengan kenderaan orang ramai yang diletakkan di bahu jalan sahaja. Puncanya kerana tiada tempat meletak kenderaan.

Walaupun hanya meluangkan masa seketika, tetapi kunjungan ke sana sudah memadai untuk melihat antara kawasan hijau yang masih boleh menjadi warisan di Pulau Mutiara.

Process time in ms: 31