INFINITI
Mencari 'harta' timbunan sampah

TIMBUNAN sampah sarap yang menenggelami bandar Managua di Nicaragua boleh mencetuskan perbalahan. Masakan tidak, ratusan orang yang tidak berumah berebut-rebut menjadikan ia sebagai punca pendapatan bagi menyara hidup.
Selama hampir satu minggu bandar raya miskin berkenaan menjalankan aktiviti kitar semula cebisan tembaga, gangsa, aluminium, besi atau plastik dan kaca sebagai langkah penjimatan sumber di ibu kota Nicaragua.
Untuk tujuan tersebut, kelompok gelandangan paling agresif membongkar timbunan sampah sarap demi mencari sesuatu yang boleh ditukar ganti menjadi wang atau makanan, walaupun nilai tukaran itu amat kecil.
Tindakan mereka juga secara tidak langsung mengakibatkan timbunan sampah sarap semakin menjadi-jadi di sekitar bandar raya berkenaan.
Penduduk tempatan yang memahami nasib mereka juga sengaja membuang sampah di jalan-jalan dan lorong-lorong hanya untuk dikutip oleh golongan miskin tersebut.
"Tolong, tolong, jangan ambil gambar saya. Malu kalau orang melihat keadaan saya," kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Guadaloupe.
"Saya telah melakukan kerja ini selama tiga tahun. Tiada jalan lain untuk bekerja. Kami sangat miskin dan anak perempuan saya terpaksa diberhentikan dari mengikuti pembelajaran di sekolah. Dia kini membantu saya," kata wanita berkenaan.

Guadeloupe merupakan salah seorang daripada lima pekerja yang diupah seorang lelaki dengan menerima gaji seharian sebanyak AS$3 (RM9.50) dan AS$ 0.50 (RM1.60) untuk mencari bahan buangan di dalam longgokan sampah di bandar berkenaan.
Lelaki tersebut mengumpulkan bahan buangan kitar semula untuk dijual.
Apabila fajar menyinsing, pekerja-pekerja 'harta' timbunan sampah itu akan mula berjalan, mengayuh basikal atau menggunakan kereta yang ditarik kuda kurus bagi mencari batang besi atau paip tembaga.
Bagi setiap kilogram bahan berkenaan, mereka memperoleh pendapatan antara AS$0.30 (RM0.10) hingga AS$1 (RM3).
Seorang gadis kecil, Xiomara, 13, berkata, dia akan menggeledah sampah sarap sehingga 12 jam sehari. "Saya ingin mengumpul wang untuk hari jadi saya agar dapat mengadakan sedikit sambutan pada hari tersebut," katanya.
Tapak pembuangan sampah perbandaran seluas 45 hektar berkenaan walau bagaimanapun kini berada di bawah kawalan polis dan telah ditinggalkan sejak sekatan dilakukan malah longgokan sampah mula reput sehingga mengeluarkan bau busuk.
Bagi 1,600 pencari barang-barang buangan yang juga dikenali sebagai churequeros longgokan sampah di bandar raya berkenaan merupakan sumber pendapatan mereka.
"Sampah untuk dikitar semula. Ia semua milik kami," kata satu papan tanda yang menutupi pintu masuk tapak sampah berkenaan.
Seorang petani, Mauricio, yang berkelana ke Managua lebih 20 tahun lalu telah berusaha keras untuk mendapatkan tempat strategik di longgokan sampah bersama anak lelakinya.

Dia mengumpul pelbagai jenis sisa plastik untuk dihantar kepada badan amal yang akan menjual kepada syarikat pemprosesan menjadi perkakasan dapur.
"Saya tidak mempunyai pekerjaan dan tiada cara lain untuk meneruskan kehidupan. Saya melihat orang lain melakukannya dan kelihatan seperti mereka dapat menyara hidup. Maka, saya mahu kekal di sini," luah lelaki berkenaan.
Individu seperti Guadeloupe, Xiomara dan Mauricio ialah antara ramai yang sakit hati terhadap tindakan pekerja perbandaran di tapak sampah berkenaan kerana cuba menyimpan bahan buangan terbaik dan menyekat mereka daripada memasuki tapak tersebut.
"Mereka mempunyai gaji tetap, bonus, insurans kesihatan dan faedah lain yang kami tidak peroleh," kata salah seorang daripada kumpulan yang memprotes, Maritza Salgado.
Dia berkata, pekerja-pekerja berkenaan telah mengupah orang untuk menggeledah longgokan sampah untuk mereka dan mencari barangan yang boleh dijual untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Datuk Bandar Managua, Dionisio Marenco berkata dia tidak boleh mencari penyelesaian terhadap krisis tersebut manakala Presiden Daniel Ortega bersuara akan campur tangan jika tiada penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat.
Sementara itu, sampah sarap yang semakin meningkat di jalan-jalan Managua telah mencetuskan kebimbangan kerana situasi itu boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Rencana Utama!»

Perjumpaan wajib
setahun sekali
BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.
Varia!»

Tapai pulut tiga perisa
TAPAI pulut Sarimah mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.



Senjakala untuk lelaki
Ancaman kuman super


