INFINITI

Makna BlackBerry Bob

Makna BlackBerry Bob




PERISTIWA kehilangan telefon bimbit kesayangan Nokia model 7610 pada tahun 2005 masih lagi jelas di kotak fikiran graduan Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob.

Walaupun sudah lima tahun berlalu, namun kehilangan telefon bimbit di depan mata yang dicuri dua orang lelaki menyamar sebagai jurujual di sebuah kedai makan di Bangsar, Kuala Lumpur menyebabkan dia lebih berhati-hati meletakkan telefon bimbit di atas meja selepas itu.

Menurut anak jati Sarawak tersebut, kejadian malang tersebut berlaku semasa dia baru pulang dari klinik kerana demam teruk sambil ditemani empat rakan.

"Kami kemudian mengisi perut di sebuah gerai. Sambil menjamu selera seperti kebiasaan saya meletakkan telefon saya di atas meja.

"Selepas itu, saya ambil keputusan untuk makan ubat diberi oleh doktor dan tindak balas ubat tersebut menyebabkan saya menjadi kurang bermaya serta mengantuk.

"Selang 15 minit kemudian, tiba-tiba dua lelaki menghampiri kami sambil memperkenalkan diri mereka merupakan wakil daripada syarikat jualan langsung. Seingat kami, mereka ada menunjukkan sarung kusyen untuk dijual. Tetapi, kami menolak secara baik pelawaan mereka," cerita Bob yang pernah memenangi gelaran juara dunia bagi kategori vokal pada World Championship Of Performing Arts (WCOPA) ke-13 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Julai 2009.

Sambungnya, dia hanya menyedari kehilangan telefon bimbit itu sebaik sampai di rumah dan mahu menghubungi ayah di kampung halaman.

"Saya terus cari telefon bimbit ini di rumah dan tidak ketinggalan di dalam kereta kawan. Selepas difikir semula, baru saya sedar dua lelaki tersebut menggunakan taktik meletakkan sarung kusyen di atas telefon Nokia 7610 kepunyaan saya dan secara diam-diam mencurinya," jelas Bob yang kini popular dengan lagu Sinar Menunggu ciptaan Ross Ariffin dan Sulu Sarawak.

Kepentingan BlackBerry, iPod


KAMERA digital Nikon turut menemani Bob untuk merakamkan foto-fotonya.


Menggunakan telefon pintar, BlackBerry Bold 9000 sejak penghujung tahun 2008, penyanyi berkulit hitam manis itu tidak menganggap ia sebagai fenomena semata-mata seperti pandangan sesetengah pencinta gajet dan pengguna lain. Hakikatnya, pelbagai fungsi ditonjolkan oleh telefon pintar itu dalam hidup Bob.

"Saya pakai BlackBerry bukan kerana terikut-ikut dengan orang lain. Ia sebaliknya memberi banyak manfaat kepada aktiviti seharian dan kerjaya seni saya. Selain menjadi medium komunikasi, saya menyimpan banyak lirik lagu sebagai bahan rujukan.

"Selalunya, saya melayari laman web tertentu yang menyediakan himpunan lirik lagu baik penyanyi dalam atau luar negara. Selepas itu, saya akan ambil dan simpan dalam storan alatan canggih ini. Kalau diikut, ada lebih 100 lirik yang bakal atau sudah dinyanyikan untuk pertunjukan pentas.

"Dengan BlackBerry saya tidak perlu lagi menyalin atau membawa buku lirik ke hulu ke hilir.




"Selain berfungsi menyimpan lirik, jadual seni saya turut dikemas kini dalam BlackBerry seperti jadual persembahan atau sesi fotografi dengan pihak media," terang Bob yang sebelum ini terbiasa menggunakan jenama Nokia.

Kerana fungsi bermakna BlackBerry itu juga, Bob enggan menyimpan lagu-lagu di dalam telefon pintar tersebut bagi mengelakkan ia tidak mampu menampung fail lain yang lebih penting.

"Jadi, saya akan masukkan lagu-lagu ke dalam iPod Touch yang punya saiz sebesar 16 megabait. Selain BlackBerry, saya juga melayari Internet menggunakan alatan iPod Touch yang dibeli pada Julai 2009. Banyak kegunaan iPod Touch ini berbanding menyimpan lagu atau menghidangkan hiburan semata-mata.

"Saya juga boleh menggunakan aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS). Kalau hendak buat persembahan di tempat yang belum pernah dikunjungi sebelum ini, iPod Touch pasti menjadi rujukan pertama saya ," ungkap Bob yang juga memiliki sebuah komputer riba jenama Acer berperanan sebagai induk melicinkan tugasnya selain menggunakan BlackBerry dan iPod Touch.

Rencana Utama!»

Perjumpaan wajib
setahun sekali

BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.

Varia!»

Tapai pulut tiga perisa

TAPAI pulut Sarimah mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47