INFINITI
Menyelamat telur penyu Teluk Mexico

PERAIRAN Teluk Mexico kini ibarat ditumpahi racun yang membunuh hidupannya sedikit demi sedikit lantaran krisis tumpahan minyak yang mencemari permukaan hingga ke dasar lautan.
Teluk berkenaan yang menjadi habitat haiwan terancam seperti penyu dilihat tidak lagi sesuai untuk didiami lebih-lebih lagi bagi anak-anak penyu yang baru menetas dan perlu berdikari untuk terus hidup.
Justeru, pelbagai pihak tampil bagi melaksanakan projek pemuliharaan khas untuk haiwan berkenaan termasuk Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan Amerika Syarikat (AS) dengan kerjasama pakar-pakar biologi di pesisir pantai Florida dan Alabama.
Baru-baru ini, sebanyak 107 biji telur penyu berjaya diselamatkan. Pakar biologi, Lorna Patrick dan puluhan rakan-rakannya adalah antara individu yang turut terlibat dalam projek pemuliharaan berkenaan.
Mereka dengan cermat mengeluarkan telur-telur berkenaan dari sarang sedalam satu kaki dan meletakkannya satu persatu di dalam lapisan pasir lembap di dalam kotak.
Ia sebagai langkah pertama mengelakkan anak-anak penyu menetas dan berdikari di teluk yang terancam.

Selepas kira-kira 90 minit bertungkus-lumus, telur-telur berkenaan berjaya disimpan di dalam dua bekas dan diletakkan di dalam trak FedEX yang suhunya dikawal. Ia kemudian dihantar ke sebuah gudang di Kennedy Space Centre di Florida di mana ia akan dieram dan ditetas sebelum dilepaskan di Laut Atlantik.
Usaha sedemikian kini dimulakan secara serius di sepanjang pesisir pantai Florida. Lebih daripada 800 sarang di sepanjang pantai Alabama dan Florida akan digali bulan depan dalam percubaan untuk mengalihkan hampir 70,000 telur ke tempat selamat.
Para saintis bimbang sekiranya telur-telur itu dibiarkan, anak-anak penyu yang menetas akan berenang ke kawasan berminyak, yang pastinya membunuh mereka sekaligus mengancam kitaran hidup penyu.
"Ini adalah misi dan eksperimen gergasi," kata Pengarah Yayasan Hidupan Liar dan Ikan Kebangsaan, Jeff Trandahl yang membantu menguruskan perancangan pemuliharaan tersebut.
Trandahl mengakui banyak anak penyu mati akibat tekanan ketika dialihkan, tetapi katanya mereka tidak ada pilihan lain.
Telur-telur itu akan dibawa ke gudang suhu terkawal milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan dieramkan dalam suhu tertentu, di mana mereka akan menetas dalam masa kira-kira sepuluh hari.
![]() |
|
DIKATAKAN hanya seekor daripada 1,000 penyu akan berjaya hidup dan membiak. |
Harapannya ialah anak penyu yang hidup dapat kembali ke sarang di mana mereka dilahirkan selepas 30 tahun, tetapi tiada siapa tahu sama ada eksperimen itu akan berjaya.
FedEX menawarkan pengangkutan telur-telur berkenaan secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Virginia Albanese berkata, syarikat itu akan meneruskan usaha selama empat bulan, merangkumi tiga perjalanan sejauh 804.7 kilometer seminggu dari Panhandle ke Cape Canaveral. Pada pertengahan Julai lalu, syarikat itu membuat enam perjalanan seminggu.
Penyejuk khas, tenaga kerja dan perbelanjaan lain berkaitan dengan perancangan itu akan membabitkan kos yang ditanggung kerajaan persekutuan, Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Ikan Florida dan pihak swasta berjumlah kira-kira ribuan dolar.
Bagaimanapun syarikat BP akan diminta membayarnya, kata Pembantu Setiausaha Jabatan Dalaman Divisi Ikan dan Hidupan Liar AS, Thomas Strickland.
"Ini merupakan usaha menyelamat besar yang memerlukan bantuan dan sokongan semua. Ia mencemaskan kerana membabitkan operasi rumit," kata Strickland.
Selepas tumpahan Ixtoc berlaku pada tahun 1979 di teluk berkenaan, terdapat usaha untuk menyelamatkan penyu-penyu di lautan tersebut. Anak-anak penyu terpaksa diangkut menggunakan helikopter ke bahagian laut yang selamat.
Penyu biasanya menghasilkan sebanyak 125 biji telur dalam setiap sarang.

Kerajaan tidak mempunyai kaedah untuk mengetahui berapa jumlah sebenar spesies penyu yang tinggal di teluk berkenaan tetapi menggunakan jumlah sarang untuk menentukan kesihatan populasinya.
Ikan dan hidupan liar memerlukan perlindungan yang lebih baik di bawah undang-undang persekutuan daripada spesies terancam dan hampir pupus ekoran jumlah sarang yang semakin berkurangan beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun tanpa tumpahan minyak, kebanyakan anak penyu yang menetas tidak sempat dewasa kerana mereka mati dimakan haiwan pemangsa. Pakar menganggarkan hanya seekor daripada 1,000 penyu yang hidup dan membiak.
Penyu laut turut menderita kerana perikanan komersial dan kehilangan habitat.
Kajian terkini yang dijalankan kerajaan persekutuan mengenalpasti segelintir penyu mati akibat tersangkut di pukat nelayan, kemungkinan ketika musim udang sebelum tumpahan minyak sampai ke Louisiana dan perairan Mississippi.
Pengarah Eksekutif Pemuliharaan Penyu Laut berpangkalan di Florida, David Godfrey berkata, dia berharap 50 peratus telur penyu yang diselamatkan berjaya menetas.
"Sebarang jumlah penyu yang mampu diselamatkan adalah kejayaan yang besar kerana mereka tahu mereka sudah ditakdirkan berada di sini," katanya.
Rencana Utama!»

Perjumpaan wajib
setahun sekali
BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.
Varia!»

Tapai pulut tiga perisa
TAPAI pulut Sarimah mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.




Senjakala untuk lelaki
Ancaman kuman super


