GENK

Kongsi pengalaman tokoh usahawan

Kongsi pengalaman tokoh usahawan


PANDANGAN pintu masuk utama Kolej Poly-Tech Mara, Kuala Lumpur.


HARI ini terdapat 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lebih 300 kolej milik kerajaan dan swasta yang memberi pendidikan serta latihan kepada lebih daripada 740,000 pelajar pada satu-satu masa.

Setiap tahun dianggarkan seramai 70,000 hingga 100,000 daripada mereka akan melangkah ke alam pekerjaan. Jika dilihat pada statistik, ketika ini sektor kerajaan hanya mampu menawarkan 1.4 juta peluang pekerjaan manakala selebihnya terdiri daripada sektor swasta.

Mengambil kira fenomena ekonomi semasa, sektor pekerjaan makan gaji di negara ini telah mencapai situasi hampir tepu di mana satu kaedah terbaik harus dilakukan dalam usaha untuk membendung masalah tersebut.

Justeru, bidang keusahawanan perlu diteroka sebagai industri pekerjaan masa depan. Berpegang pada hakikat itu, maka program Gerak Usahawan Siswa dirancang sebagai pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai lepasan IPTA/IPTS menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan.


PARA pelajar KPTM berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti untuk mengasah bakat keusahawanan mereka.


Pada tahun 2009, Seminar Gerak Usahawan telah dianjurkan di 33 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia dengan jumlah penyertaan seramai 12,655 pelajar.

Meneruskan kesinambungan program tersebut, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) mengorak langkah dengan menganjurkan seminar tersebut di kampus Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu.

Seramai 700 pelajar telah didedahkan dengan peluang kerjaya dalam perniagaan daripada tokoh korporat menerusi program yang dianjurkan KPTM bersama Johor Corporation dan Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Pengerusi KPTMSB/KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program sebegini merupakan langkah positif sebagai pendedahan di kalangan pelajar IPT kepada pemikiran bisnes untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Saya percaya dengan kehadiran tokoh-tokoh handal dalam keusahawanan di seminar ini, secara langsung akan dapat memberi maklumat penting kepada pelajar sekali gus menyuntik minat mereka untuk menyertainya," ujar Sohaimi.


ANTARA hadirin yang mengikuti Seminar Gerak Usahawan Siswa 2010.


Antara tokoh usahawan yang menjayakan seminar itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Pengurus Besar KFC Marketing Sdn. Bhd., Nasharuddin Shukor, Pengurus Besar KFC Holding (Malaysia) Berhad, Prof. Dr. Mohamed Hashim Mohd. Kamil dan Pengurus Bistari Young Entrepreneur Sdn. Bhd., Noor Ruzilawati Ruddin.

Sementara itu, Rektor KPTM, Datuk Yusoff Harun menjelaskan dengan adanya seminar ini, ia diharap dapat mencetuskan minat dan menggalakkan pelajar KPTM menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan.

"Kita mahu pelajar KPTM merebut peluang untuk menceburi bidang perniagaan sebaik menamatkan pengajian masing-masing dan tidak terhad untuk mencari kerjaya berkaitan dengan kursus yang diambil sahaja," tegas beliau.


KERANCAKAN dunia niaga menarik minat golongan muda untuk sama-sama menyertainya.


Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KPTM, Mohd. Munir Abdullah mengakui gembira dengan penganjuran program tersebut.

"Program ini amat sesuai dengan semua pelajar di sini memandangkan ia dapat membantu pelajar untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan.

"Secara peribadi, saya berharap program seumpama ini harus diadakan selalu dalam skala yang lebih luas agar golongan muda seperti kami mendapat ilmu menjadi seorang usahawan muda pada era ini," ujarnya.

Dalam seminar yang berlangsung di Dewan Kuliah 5.1 itu, Muhammad Ali menyampaikan ceramah yang bertajuk Jihad Bisnes Pemangkin Ekonomi Ummah; Nasharuddin dengan ceramah Penguasaan Bisnes Strategik dan Kepentingan Bisnes Sebagai Kerjaya Pilihan manakala ceramah bertajuk Peluang Menjadi Usahawan Berjaya Melalui Program Siswa Bistari disampaikan oleh Dr. Mohamed Hashim.

KPTM yang ditubuhkan pada tahun 2003 telah mempunyai tujuh kampus cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Ipoh, Batu Pahat, Kota Bharu, Kuantan, Bangi dan Alor Setar.

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

KRR agih lebih 100 buah buku

KRR berpendapat, pendidikan antara aspek yang penting dalam proses tumbesaran kanak-kanak.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0