RUANG

Kediaman tanpa cermin

Kediaman tanpa cermin


SUSUN atur ruang tamu ini tampak ringkas dan indah biarpun tanpa hiasan yang berlebihan.


UMPAMA melangkah masuk ke satu ruang bawah tanah yang dihias indah, pandangan mata disapa lembut oleh warna-warna bumi yang terkenal sebagai pemantul dimensi sejuk dan malar hijaunya.

Memiliki kediaman dengan keluasan 244 meter persegi, konsep hiasan minimalis yang tidak membelakangi kepentingan reka letak perabot ini menjadi kunci utama keindahan rumah ini.

Kaya dengan haruman terapeutik segar yang melingkari setiap sudut kediaman, idea dan kreativiti pemilik pangsapuri ini perlu diberi pujian.

Dengan gandingan kertas dinding kalis air rona coklat dengan bingkai kuning cair, nuansa redup yang diminati Faizal Zain, 32, cukup menjadi.


HASIL kraf rotan sangat digemari Faizal.


Inginkan suasana rumah bagai di spa, elemen warna sejuk dan cahaya suram nyata berjaya ditonjolkan.

Tidak menggemari lampu siling moden, lampu lekap dinding mahupun candelier dengan rekaan kontemporari, cita rasa bapa kepada Faiz-al Haikal, 5, dan Binafsha Ahadiya, 4, lebih cenderung memilih padanan gantungan mentol dan jalinan rotan lembut sebagai sumber cahaya.


BILIK tidur utama dilatari rona coklat nan tenang.


Mentol

“Saya memang tak suka lampu putih, terutamanya lampu kalimantang kerana cahaya cerah yang dihasilkannya.

“Saya lebih gemar mengunakan jalinan rotan lembut ini sebagai bekas lampu berbanding menggunakan lampu biasa.

“Selain berfungsi sebagai lampu, ia juga sebahagian daripada identiti kepada hiasan keseluruhan kediaman saya.

“Kesan bias yang terhasil sangat mengasyikkan, khususnya pada waktu malam,” ujar Pegawai Komunikasi Korporat & Pemasaran di sebuah kolej kejururawatan terkemuka ini.

Boleh dikatakan kesemua hiasan di rumah yang mempunyai tiga bilik ini didominasi oleh unsur alam.

Selain bola dan pasu hiasan - yang semuanya diolah daripada tumbuh-tumbuhan, objek yang diperbuat daripada kayu juga antara yang menjadi pilihannya.

Daripada hiasan set kerusi sudut hinggalah meja makan, kabinet dapur dan kelengkapan di kamar tidur, semuanya diperbuat daripada kayu berwarna gelap.

“Saya suka elemen kayu kerana ia tampak sejuk dan lebih semula jadi. Jika ada pinggan atau cawan kayu, pasti itu yang akan saya beli dan guna. Malah, rumah ini ada satu saja benda berasaskan kaca iaitu cermin muka.

“Mungkin ia kedengaran pelik tetapi saya lebih suka barangan plastik atau kayu.

“Saya juga tidak menggemari warna cerah dan fabrik yang bercorak,” katanya yang banyak mencurah idea menghias rumah sementelah isterinya, Shahnaz Faizal, 31, bertugas di Riyadh, Arab Saudi.


DAPUR kelihatan segar dengan tumbuhan menjalar.


Cenderung untuk mencipta suasana redup di seluruh rumah, kediaman ini hanya mengenakan langsir hitam polos di setiap bilik sebagai penghadang terik matahari.

Hanya pintu gelangsar di ruang tamu dibiar tanpa langsir bagi membenarkan cahaya matahari menembusi rumah pada waktu siang.

Lebih selesa menggunakan sepenuhnya udara yang dijana pendingin hawa, Faizal berpendapat cara itu mampu mengurangkan kekerapan mengemas rumah.

Bak spa

“Saya mahukan rumah yang bersih dan menenangkan namun segalanya perlu tersusun dan praktikal.

“Saya juga gemarkan penstoran yang kemas di dalam almari yang tidak telus pandang,” ujarnya yang memilih lantai kayu flobis berlamina untuk melatari persekitaran rumah.

Rumah ini pada asalnya memiliki ruang tamu yang luas dan memanjang hingga ke ruang makan. Namun, kerana inginkan ruang yang lebih privasi, satu dinding telah dibina sebagai pemisah tanpa menyempitkan kedua-dua ruang.

Malah, Faizal mengambil langkah alternatif untuk memberi ilusi luas kepada rumahnya dengan berpegang kepada prinsip meminimumkan penggunaan perhiasan tambahan.


LAMPU berdiri memberi ilusi siling lebih tinggi di ruang tengah rumah.


“Saya hanya memilih hiasan yang praktikal. Tiada hiasan kristal atau kaca yang semata-mata hiasan di rumah ini, sebaliknya saya akan membeli sesuatu yang akan menonjolkan identiti spa,” katanya.

Membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk kerja pengubahsuaian dan membeli perabot baru untuk kediamannya, Faizal puas dengan hasil kreativiti sendiri.

“Memang impian saya untuk memiliki rumah bak spa. Ketenangan yang tercipta di kediaman ini ibarat terapi untuk saya selepas seharian penat bekerja,” ujarnya yang juga jurufoto dan pereka dalaman sambilan.

Varia!»

Kumpul wang terbit novel

Novel cinta sangat sinonim dengan kaum wanita sama ada pembaca atau penulis.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16