HIBURAN

Penat turun naik mahkamah

Penat turun naik mahkamah




USAH bicara lagi tentang kes terbarunya di mahkamah. Bagi Fazura, dia hanya mahu mencari keadilan untuk diri sendiri, lalu pintu mahkamah dijengah.

Meskipun tewas dalam usaha menyaman fitnah sebuah akhbar tabloid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, Fazura reda dengan ketentuan yang ditakdirkan.

Tuntutan RM500,000 Fazura ditolak oleh mahkamah setelah Hakim Datuk Balia Yusof memutuskan, tidak wujud sebarang unsur fitnah dalam penyiaran artikel berjudul Fazura Rela Dipenjara yang diterbitkan pada Mei 2005.

Menurut si jelita yang hatinya sedang berbunga-bunga dengan cinta ini, dia reda dengan apa yang menjadi bahagiannya dalam episod saman berkenaan.

"Keputusan sudah dibuat dan Faz hormati, menerima dengan reda takdir ini.

"Bagaimanapun untuk diri sendiri Faz percaya, setiap fitnah kalau tidak menerima pembalasan di dunia, tunggu saja di akhirat. Balasan akan tetap ada untuk sesiapa saja yang membuat fitnah. Itu saja yang Faz boleh cakap," katanya.

Menurut Fazura, dia mahu merehatkan diri buat seketika kerana sudah penat melalui episod naik turun mahkamah.

Sama ada mahu membuat rayuan atau sebaliknya, Fazura hanya menyerahkan keputusan itu atas kebijaksanaan peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Justeru kata Fazura, banyak lagi perkara positif yang perlu difikirkan, termasuklah tentang kejayaan filem Pisau Cukur yang kini sudah mencecah RM1 juta kutipan di pawagam.

Bercakap tentang wataknya sebagai Intan Mastura dalam filem itu, Fazura mengakui pada awalnya dia risau jika dikaitkan dengan kehidupan realitinya sebagai wanita yang suka 'mengikis' harta lelaki kaya.


BERSAMA Bernie (kanan) pada majlis mengumumkan mereka sebagai duta terbaru Nutox.


Berbeza dengan Intan, realitinya, Fazura tidak menyukai apabila dirinya digelar 'pisau cukur' kerana dia hanya seorang wanita yang menggemari fesyen.

"Ramai orang lihat saya suka pakai barangan berjenama tetapi saya membelinya dengan wang sendiri. Ia sama seperti artis lain. Ada yang suka beli rumah, ada yang kumpul kereta. Saya pula hanya sukakan beg tangan dan kasut.

"Memang diakui ramai artis yang mencari jalan mudah untuk hidup mewah tetapi itu bukan saya. Jangan disebabkan harta, kita menjadi perampas suami orang. Bayangkan suatu hari nanti, perkara yang sama terjadi balik ke atas diri kita.

"Hidup kita tidak bererti jika kita ditampung atau ditaja orang. Jadi saya lebih rela bekerja keras untuk membeli barang kesukaan sendiri. Ia memberikan kepuasan berlainan berbanding menggunakan duit orang lain," kata Fazura ketika ditemui pada sidang media mengumumkan dirinya sebagai duta baru produk kecantikan Nutox Oxyfusion.

Tidak suka mengganggu perhubungan cinta orang lain, Fazura juga seorang yang setia pada satu apabila dia sedang bercinta. Kini, dia juga mengaku bahawa sedang berbahagia bersama teman lelakinya, seorang kerabat diraja kacak dan bergaya.

"Saya percaya dengan hukum karma. Apa yang kita lakukan akan datang balik kepada kita dua kali ganda. Saya seorang yang selektif dalam memilih teman lelaki kerana tidak sukakan lelaki yang memberikan masalah.

"Saya tidak mahu teman lelaki berubah kerana saya tetapi dia perlu menjadi dirinya sendiri. Dia juga perlu menghormati saya," jelasnya pada majlis yang turut dihadiri duta Nutox yang merupakan aktres dari Hong Kong, Bernice Liu.

Merasakan dirinya belum 'lengkap', Fazura akui hidup setiap wanita hanya akan sempurna apabila mempunyai suami dan anak. Dia juga menaruh impian yang sama untuk memiliki keluarga sendiri serta mendidik anaknya sendiri.

"Memang semua wanita ingin memiliki keluarga sendiri tapi pada zaman ini, adalah penting bagi wanita memiliki kerjaya sendiri. Wanita yang berdikari juga penting kerana bukan semua wanita mempunyai cita-cita sebegitu," tambahnya yang tidak menyukai manusia hipokrit.

Melihat Fazura berbicara, dia kelihatan lebih matang, positif dan yakin. Katanya, apa yang dilalui selama lima tahun ini banyak mengajar erti kehidupan sebenar.


SUKA mengikuti perkembangan dunia fesyen, si jelita ini mahu melahirkan jenama pakaian sendiri.


"Kontroversi pergaduhan di kelab yang mengheret saya ke mahkamah adalah pengalaman hitam dalam hidup saya. Ramai yang menyokong serta memberi nasihat. Saya juga bertuah kerana melalui apa yang mungkin tidak pernah dilalui oleh wanita berusia 35 tahun. Ia telah mematangkan saya.

"Dengan petunjuk yang diberikan Allah yang telah membawa saya kembali ke jalan betul dan memberikan kekuatan diri," jelas pemilik nama Nur Fazura Sharifudin itu.

Tidak jual mahal

Menerima banyak tawaran lakonan drama, Fazura sangat bangga dengan lakonannya dalam filem Pisau Cukur. Maka, ini membuatkan dia tidak mahu mengambil watak secara sebarangan. Walaupun dia merindui dunia lakonan, aktres itu tidak mahukan watak klise.

Namun, ini tidak bermaksud Fazura 'jual mahal' dan tidak mahu berlakon dalam drama seperti yang pernah dilaporkan sebelum itu.

"Saya tidak pernah cakap saya tidak mahu berlakon dalam drama. Tapi saya amat bertuah kerana muncul dalam filem terlebih dahulu. Saya tidak kisah untuk berlakon di mana-mana. Tidak ada istilah saya mahal dan hanya berlakon dalam filem sahaja. Bila saya tua nanti, siapa lagi hendak menawarkan saya berlakon dalam filem? Kena juga berlakon dalam drama kan?," tambahnya yang pernah berlakon dalam drama Ezora.

Sudah mempunyai perancangan untuk tidak berlakon selepas berkahwin, Fazura berpendapat ramai orang yang memberikan tanggapan salah mengenai filem Pisau Cukur. Bagi aktres berusia 26 tahun itu, penonton luar bandar kini sudah boleh menerima filem urban.

Duta baru Nutox Oxyfusion

Lima bulan mencuba produk Nutox Oxyfusion sebelum menerima tawaran sebagai duta, Fazura menyukai produk Nutox Eye Refinder kerana berjaya membantu mengurangkan kedutan serta lingkaran hitam pada bahagian matanya.

"Sebagai artis, kita selalu tidur lewat. Jadi saya amat menyukai produk Eye Refinder Nutox yang membantu membuatkan mata saya kelihatan bertenaga.

"Selepas lima bulan mencuba, memang saya dapat melihat kesannya. Kalau tidak, saya tidak akan menerima pelawaan untuk menjadi dutanya."

Menariknya, produk baru keluaran Nutox Oxyfusion itu diperbuat daripada sarang burung yang terkenal untuk mencantikkan kulit. Malah Fazura sendiri juga ada mengamalkan pemakanan sarang burung sejak beberapa tahun lalu.


HATI Fazura kini sedang diulit cinta bersama seorang kerabat diraja.


"Dalam dua hingga tiga kali sebulan saya amalkan makan sarang burung kerana mampu membuatkan kulit anda gebu dan licin. Maka, apabila Nutox Oxyfusion menggunakan formula itu dalam produk mereka, ia satu bonus.

"Anda bukan sahaja boleh makan sarang burung malah boleh menyapunya di muka," kata Fazura yang suka mengambil air suam serta teh hijau Jepun sebagai langkah penjagaan kulitnya.

Hanya menandatangani kontrak bersama Nutox Oxyfusion selama setahun. Fazura juga terfikir untuk memiliki produk sendiri.

"Pada kebanyakan masa, saya suka menggayakan diri sendiri. Saya pakai ikut keselesaan diri serta kesesuaian usia. Ramai yang suka bertanya apa yang saya pakai. Memandangkan usia semakin meningkat, saya ada terfikir untuk melahirkan produk atau jenama pakaian sendiri. Tapi itu semua masih angan-angan saya," katanya bakal menjadi duta untuk satu produk minyak wangi tempatan tidak lama lagi.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16