URBAN

Tahan lama, mudah dijaga

Tahan lama, mudah dijaga

Phalaenopsis tumbuhan liar dari hutan itu mempunyai nilai komersial dan menjadi penyeri untuk majlis-majlis keraian.




LAMAN terbiar di sesebuah kediaman pastinya tidak indah dipandang. Lazimnya, sekecil manapun kawasan rumah seseorang, pemiliknya pasti ingin menceriakan ruang tersebut dengan dekorasi bunga. Ini termasuklah susunan pasu bunga, gubahan bunga ataupun gantungan tanaman hiasan yang lain.

Gabungan kreativiti pemilik rumah dan pilihan tumbuhan berbunga yang sesuai bukan sahaja dapat mencantikkan sesuatu kawasan, malah menghasilkan suasana segar melalui aturan kepelbagaian spesis bunga.

Walaupun pelbagai pokok bunga hiasan melambak dalam pasaran, namun bunga orkid mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan penggemarnya.


ORKID antara spesies bunga yang memerlukan penjagaan yang teliti untuk ia hidup dan membesar dengan baik.


Tumbuhan yang memiliki kelopak-kelopak bunga beraneka warna boleh mengubah persekitaran menjadi lebih mendamaikan.

Berasal daripada jenis tumbuhan liar di kawasan hutan Malaysia, Indonesia dan Filipina, dianggarkan terdapat lebih 1,000 spesies orkid di seluruh dunia. Bagaimanapun, spesies Phalaenopsis antara pilihan yang paling digemari oleh masyarakat tempatan.

Keunikan

Ini kerana sifatnya yang tahan lebih lama dan proses penjagaannya yang mudah berbanding spesies-spesies lain.

Atas alasan itu, usaha penanaman baka Phalaenopsis kini telah dilaksanakan secara komersial. Untuk memperluaskan penanaman orkid tersebut, syarikat Waltex Biotec telah mengambil inisiatif menjalankan proses pembiakan dan kacukan dengan serius.


KEBUN Phalaenopsis yang diusahakan oleh Yap di Ulu Yam, Selangor berkeluasan kira-kira enam hektar.


Pengarah Eksekutif Waltex Biotec, Y.K. Yap menyatakan di Malaysia terdapat ramai pengusaha yang berusaha mengkomersialkan baka Phalaenopsis.

Namun kegagalan dalam mengaplikasi kaedah pembiakan yang betul telah membantutkan usaha tersebut.

Dia mengusahakan penanaman Phalaenopsis di sebuah kawasan lapang berkeluasan kira-kira enam hektar sejak dua tahun yang lalu di Ulu Yam, Batang Kali, Selangor.


LUMUT Sphagnum Moss adalah medium paling sesuai untuk menanam orkid Phalaenopsis.


Syarikatnya turut menghasilkan anak benih dan kacukan seperti tisu kultur dan klon meri.

"Anak-anak benih yang dihasilkan melalui kaedah itu memerlukan penjagaan rapi. Bagi tujuan tersebut, saya mendirikan beberapa buah bilik yang lengkap dengan pendingin hawa.

"Kemudahan seperti itu perlu untuk menggalakkan pertumbuhan bunga dan menjamin kualiti kelopak-kelopak yang dihasilkan.

"Proses kacukan dilakukan di dalam sebuah makmal khas di kebun yang terletak di Ulu Yam. Ia melibatkan semaian biji benih atau buah orkid dengan menggunakan botol khas. Pada peringkat akhir proses itu, biji benih yang dikacuk akan menghasilkan bunga orkid lebih cantik dan tahan lama," katanya kepada Kosmo!.


WALTEX Biotec menghasilkan anak benih dan kacukan bunga orkid melalui kaedah tisu kultur dan klon meri.


Lelaki yang berasal dari Ulu Yam itu memberitahu, penjagaan orkid Phalaenopsis jauh lebih mudah daripada orkid biasa.

Cahaya matahari

Apa yang perlu cuma dari segi pendedahan terhadap cahaya matahari, kekerapan siraman air, kelembapan, pengaliran udara, bahan semaian dan baja.


SEMAIAN biji benih atau buah orkid yang menggunakan botol khas.


Menurut Yap, Phalaenopsis akan tumbuh dan menghasilkan bunga dengan lebih baik jika menerima cahaya pada tahap yang maksimum.

Jikalau tidak memperoleh cahaya secukupnya, daun-daun akan kelihatan lebih gelap dan tidak subur. Sebaliknya, dedaun akan berwarna hijau muda dan keras menjadi petunjuk mengenai kadar cahaya yang diterimanya adalah mencukupi.

Orkid Phalaenopsis yang hidup dalam suasana redup harus dilatih untuk hidup dalam persekitaran yang lebih cerah untuk menyesuaikannya secara berperingkat-peringkat.

"Elakkan daripada memindahkan pokok orkid terus ke kawasan yang sangat panas. Pancaran cahaya matahari yang berlebihan akan menyebabkan daun menjadi kuning.

"Kekuatan cahaya yang diperlukan ialah kira-kira 50 peratus apabila berada di bawah jaring. Sementara 70 peratus cahaya diperlukan jika berada dalam keadaan teduh. Namun ini tidak bermakna pokok itu perlu diletakkan di bawah matahari untuk setengah hari dan selebihnya di tempat redup," jelasnya.

Proses penyiraman juga penting untuk memelihara Phalaenopsis dengan lebih baik.


KELOPAK-KELOPAK bunga orkid yang ada dalam aneka warna boleh mengubah ambien menjadi lebih mendamaikan.


Jangan siram pokok di bawah pancaran matahari kerana air yang disiram pada permukaan dedaun akan 'mendidih' dan merosakkan pokok.

Siraman air pada waktu pagi lebih sesuai kerana menyiram pokok pada sebelah malam membawa risiko jangkitan kulat kecuali ada tiupan angin yang dapat mengeringkan pokok.

Siraman

Siraman air harus lebih tertumpu kepada daun dan akar. Bunga perlu dibiarkan dalam keadaan yang kering ketika tempoh pengembangan.

Kekerapan siraman turut bergantung kepada keadaan cuaca sama ada panas, mendung, hujan dan berangin. Selain itu, material pasu yang digunakan sama ada tanah ataupun plastik harus dititik beratkan bagi memastikan orkid-orkid dapat tumbuh dengan sempurna. Elakkan menanam pokok orkid menggunakan pasu yang menakung air.

Tumbesaran

Air yang berlebihan menggalakkan jangkitan kulat dan bakteria. Sebaliknya, air yang kurang pula akan membantutkan tumbesaran pokok.

Maka pastikan pasu yang digunakan mempunyai pengaliran air yang bagus dan dapat mengalirkan saki baki air dengan sempurna.

Lelaki yang memiliki sebuah lagi kebun orkid di Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang itu memberitahu, biasanya pokok orkid gemar tumbuh di kawasan persekitaran yang lembap. Oleh itu, kawasan di sekitar pertumbuhannya harus mempunyai tahap kelembapan maksimum.

Jika dahulu kebanyakan pokok orkid ditanam dengan menggunakan arang atau batu-bata, sekarang ia telah diganti dengan sejenis lumut tanah yang dikenali sebagai Shagnum moss.

Sphagnum Moss ialah medium paling sesuai untuk menanam orkid Phalaenopsis. Ini kerana ia dapat mengekalkan kesan siraman air dan baja pada waktu yang lebih lama.

Lumut itu membenarkan ruang udara yang mencukupi dan pengaliran yang bebas untuk mengekalkan kelembapan.

Ujarnya, baja jenis bebola organik dan baja cecair digunakan. Baja itu diletakkan pada daun dan akar beberapa kali seminggu.

Orkid-orkid hasil syarikat itu dipasarkan secara meluas di seluruh negara dan digunakan untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan dan hari jadi.

Infiniti!»

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.

Varia!»

KLwyse imbau nostalgia silam

Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16