RENCANA UTAMA

'Kasut Nike' jenama Afrika

'Kasut Nike' jenama Afrika

Seorang usahawan kasut di Habsyah berjaya menghasilkan kasut jenama sendiri dengan menggunakan bahan yang dikitar semula.




TUKANG kasut Habsyah, Bethlehem Tilahun Alemu melihat jenama kasut mesra alam, SoleRebels yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti tayar dan fabrik anyaman tradisional. Kasut itu dianggap sebagai Nike Afrika.

Di bengkelnya yang terletak di Addis Ababa di kawasan kejiranan Zenabework, suara riuh-rendah jelas kedengaran apabila 40 tukang kasut menjalankan tugas masing-masing.

Ada yang mengetuk tayar, menggunting dan menjahit fabrik itu untuk menjadikannya sebagai kasut yang mesra alam kerana mempunyai sifar pengeluaran karbon.

Dilancarkan pada tahun 2005, jenama SoleRebels menampilkan pelbagai sandal, selipar dan beberapa jenis kasut yang trendy. Ia turut dijual di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, jenama itu mampu memberikan kehidupan kepada sekurang-kurangnya 75 pembekal.

"Sejak beberapa tahun lalu, tayar kitar semula telah digunakan di sini untuk menghasilkan sandal atau selipar tradisional.

"Dari situ, timbul idea untuk mengembangkannya di kilang tradisional Habsyah melalui penggunaan kapas organik dan kulit tempatan," kata Bethlehem, seorang usahawan yang berusia 30 tahun.

Jenama itu mendapat namanya daripada sejenis kasut kegemaran pasukan pemberontak Habsyah, satu ketika dahulu.

Menjadi negara kedua paling ramai populasi di Afrika selepas Nigeria dengan 80 juta penduduk, Habsyah juga merupakan salah satu negara termiskin di benua tersebut.

Ancaman kemarau yang panjang, kebuluran, penggulingan terhadap junta pada tahun 1991 dan peperangan sempadan berdarah dengan Eritrea sekitar tahun 1990-an yang menyebabkan kira-kira 80,000 orang terbunuh menjadi antara faktor yang lebih memburukkan keadaan ekonomi di Habsyah.

"Ketika saya masih kecil dan negara ini berada dalam kancah peperangan, saya melihat para pemberontak memakai sejenis selipar yang mana tapaknya diperbuat daripada tayar yang tidak digunakan. Keadaan itu dilihat memberi harapan kepada semua orang," kata pembuat kasut muda dan ibu kepada dua cahaya mata itu.


KILANG milik Bethlehem boleh menghasilkan sehingga 500 pasang selipar atau 200 pasang kasut sehari.


Kasut-kasut buatan tangan tersebut diperbuat secara tradisional dan bengkel milik Bethlehem boleh menghasilkan sehingga 500 pasang selipar atau 200 pasang kasut sehari. Ia berharga di antara AS$15 hingga AS$30 dolar (RM50 hingga RM101) dan eksklusif untuk dieksport ke luar negara.

Projek Bethlehem itu mampu menjana pendapatan sehingga AS$500,000 dolar (RM1.71 juta) menjelang tahun depan.

"Kami amat yakin bahawa SoleRebels mempunyai potensi untuk menjadi jenama Timberland, Adidas atau Nike Afrika," tambahnya.

Bakat yang besar dan kekurangan pekerjaan di negara itu membawa makna bahawa SoleRebels tidak mempunyai masalah bagi merekrut tenaga kerja mereka.

Selain itu, bayaran gaji yang agak tinggi kira-kira empat kali ganda daripada purata pendapatan bulanan penduduk Habsyah menyebabkan ramai yang berminat bekerja di firma milik Bethlehem.

Tidak ketinggalan ujar Bethlehem, beliau turut menggalakkan pekerja mengusahakan perniagaan sendiri daripada skil atau kemahiran yang diperoleh sewaktu mereka bekerja di SoleRebels.

"Saya dapati terdapat banyak pekerja yang berbakat tetapi tiada peluang untuk bekerja. Saya sendiri membesar di dalam komuniti ini, saya tahu penderitaan yang mereka alami. Apabila mengatakan kami mahu mengubah kehidupan penduduk di sini, kami perlu menunaikan kewajipan untuk memberi mereka gaji yang baik."

Gesachew Sherefa, seorang penyelia berusia 27 tahun bangga kerana bekerja di SoleRebels. Hasil pendapatannya, membolehkan dia mampu membeli insurans kesihatan untuk keluarganya dan hidup dalam keadaan selesa.

"Saya memperoleh AS$240 dolar (RM809) sebulan. Jika saya boleh bekerja di sini selama-lamanya, hidup saya pasti senang kerana syarikat ini menawarkan kestabilan dan keselamatan," ujarnya.


KUALITI kasut yang dihasilkan di kilang ini adalah kualiti untuk kasut eksport ke luar negara.


Bagi seorang ibu tunggal, Webayu Legasse, bekerja di SoleRebels memberi satu kegembiraan besar buat dirinya.

"Suasana di sini jauh lebih baik berbanding di tempat kerja lama. Dahulu, gaji saya amat kecil dan tidak cukup untuk menyara kehidupan saya bersama anak-anak.

"Saya terpaksa bekerja dari rumah ke rumah seperti membasuh pakaian dan menggosok baju. Tetapi kini, semuanya sudah berubah. Pendapatan saya juga semakin bertambah," jelasnya.

Selain pasaran biasa, SoleRebels turut bergantung pada pemasaran dalam talian (online) menerusi Internet untuk meningkatkan jualan kasut di bawah jenama mereka seperti Urban Runner, Purelove, Freedom dan Gruuverebel. - AFP

Process time in ms: 32