GENK
Kemuncak NCA 2009
NCA menerusi penganjuran kali kedua terbukti menjadi medan mencungkil bakat-bakat baru pelajar universiti dan kolej dalam bidang multimedia.

![]() |
|
ZAINIR AMINULLAH |
DEBARAN para peserta Anugerah NextGen Contentpreneur Awards (NCA) 2009 terjawab sudah apabila malam kemuncak pengumuman pemenang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Majlis itu menyaksikan kemenangan bakat-bakat muda dalam bidang multimedia.
Dianjurkan oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) buat tahun kedua berturut-turut, ia terbukti mampu mencungkil bakat-bakat baru pelajar universiti dan kolej.
Ia juga menjadi platform buat para pelajar universiti dan kolej tempatan untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang kesan visual, animasi, reka bentuk grafik, kandungan televisyen bentuk singkat, video muzik dan reka bentuk web.
Sebanyak 11 kategori pemenang diumumkan pada malam itu. Muhammad Faiz Abu Bakar dari Universiti Multimedia, Cyberjaya dan Quek Shio Chuan dari Universiti Tunku Abdul Rahman, Petaling Jaya menyerlah apabila masing-masing memenangi dua kategori daripada kategori-kategori yang dipertandingkan. Faiz memenangi kategori filem pendek televisyen luar biasa dan efek visual paling mengagumkan menerusi karyanya Pestilence, manakala Shio Chuan memenangi kategori dokumentari revolusi dan pengarahan seni paling fenomena menerusi karyanya Tidal Tales.
Pemenang bagi setiap kategori NCA 2009 membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.
NCA 2009 dilancarkan pada 9 April lalu. Penyertaan dibuka kepada para pelajar sejak 23 April dan ditutup pada 23 Jun lalu.
Panel hakim dianggotai oleh juri profesional dalam bidang multimedia, penyiaran dan komunikasi iaitu Freddie Fernandez, Azizi Adnan, Dr. Megat Al Imran Yasin, Muhamad Usamah Zaid Yasin dan Nik Ramzi bin Nik Hassan. Mereka memilih pemenang berasaskan kreativiti dan pelaksanaan tugasan.

AESB berharap para pemenang akan ditawarkan peluang kerjaya yang menarik atau diberi geran untuk menzahirkan penyertaan mereka menjadi projek skala besar.
"Pemenang NCA tahun ini membuktikan keupayaan mereka untuk memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan industri multimedia di Malaysia. Berasaskan kualiti penyertaan tahun ini, terdapat sekumpulan pelajar yang berbakat dan mampu meningkatkan piawaian kandungan multimedia tempatan ke puncak yang lebih tinggi. Mereka berjaya menggabungkan kemahiran yang dipelajari dengan aplikasi praktikal, sambil memberikan sentuhan inovasi dan kreativiti," kata Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah. Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Badlisham Ghazali dan Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Mohamed Sharil Tarmizi.
Menurut Zainir, NCA telah meningkatkan kualiti penciptaan kandungan multimedia dalam kalangan remaja.
"Inilah golongan yang akan menentukan bagaimana media berkembang maju dan beroperasi pada masa depan. Kami mahu mencungkil dan menyerlahkan bakat mereka pada peringkat awal sekali gus membantu mereka maju dalam industri yang pantas berkembang ini," katanya.
Astro juga merancang untuk melanjutkan capaian NCA pada masa depan dengan membina satu jaringan yang menggalakkan penyertaan industri lain seperti syarikat penerbitan dan firma perisian serta bertindak sebagai sumber pembekal bakat kepada industri.
"Kejayaan NCA 2008 dan 2009 dicapai berkat daripada galakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan MDeC. Komitmen mereka telah membuka peluang baru kepada pelajar yang mengikuti kursus berkaitan industri penyiaran, multimedia dan komunikasi," kata Zainir.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.





Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


