KESIHATAN

Korek dan tampal wajah

Korek dan tampal wajah

Pembedahan plastik bukan untuk tujuan kesempurnaan penampilan.


TEKNIK pembedahan zigzag mampu mengurangkan kesan parut.



NORMALA BASIRON






TAMPALAN melibatkan kulit daripada bahagian lain digunakan untuk menutup kekurangan tisu.


TEH, 40-an, baru keluar dari sebuah pusat beli-belah di Muar, Johor apabila sebilah mata gergaji berbentuk piring menerjah dan menembusi cermin hadapan kereta Honda Civic yang dipandunya.

Mata gergaji dengan ukuran lilit 30 sentimeter dan seberat setengah kilogram itu dipercayai dibaling seorang lelaki bermotosikal. Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8 malam, 11 Oktober 2006.

Akibat insiden itu, bahagian kiri muka Teh cedera parah. Mujurlah tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menghentikan pendarahan tersebut.

Biarpun telah lama berlalu, kesan daripada kecederaan itu meninggalkan parut sepanjang kira-kira 20 sentimeter, bermula dari belakang telinga kiri Teh, melintasi atas bibir membawa ke rahang kanan.

Pembedahan demi pembedahan dilalui dan akhirnya pakar pembedahan plastik berjaya mengurangkan kesan parut di muka Teh hingga ke tahap minimum.

Pembedahan plastik merupakan satu prosedur yang melibatkan penggunaan tisu atau organ asal pesakit.

"Ia memerlukan kepakaran bagi memulihkan kecacatan atau kekurangan tisu pada anggota badan," jelas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Pembedahan Plastik di Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Normala Basiron.

Menurut Normala, pembedahan ini penting agar pesakit tidak berasa terlalu rendah diri dan membolehkan mereka hidup dengan selesa dalam masyarakat.

"Prosedur ini berbeza mengikut punca. Ia juga bergantung pada sama ada tisu gantian telah diperoleh dan sesuai terhadap pesakit," katanya.

Pembedahan plastik dan rekonstruktif ini juga agak unik kerana ia membabitkan keseluruhan anggota badan termasuk kulit, tisu lembut (lemak dan otot) dan tulang.

Kulit dari bahagian lain

Dalam erti kata lain, ia meliputi dari hujung rambut hingga hujung kaki. Malah bahan alternatif juga digunakan seperti titanium dan silikon.

"Penggunaan tisu asal daripada bahagian lain anggota perlu diambil kira agar tidak memberi kesan buruk atau menjejaskan fungsi anggota badan tersebut.

"Tambahan pula, ia merupakan tisu autologus iaitu tisu asal daripada tubuh pesakit. Ia digunakan kerana lebih sesuai dan sepadan bagi keadaan yang tidak kritikal," jelas Normala.

Dalam konteks kecacatan wajah, pembedahan pemulihan bergantung kepada tahap kecacatan atau kekurangan tisu di wajah pesakit.

"Andainya pesakit kehilangan kulit muka, maka tampalan ini boleh dilakukan dengan mengambil kulit daripada bahagian lain tubuh seperti belakang telinga, pangkal leher atau lengan, bergantung kepada saiz yang diperlukan," ujarnya.

Parut yang hodoh juga boleh dikurangkan menggunakan teknik pengubahsuaian parut berbentuk zigzag atau w.

Jika kehilangan tisu wajah membabitkan kulit dan tisu lembut, maka kulit dan tisu lembut di kawasan persekitaran atau berdekatan boleh dimanipulasi untuk menutupi kecacatan tersebut.

"Teknik ini dinamakan penarikan tisu dan amat berguna dalam kes kulit di bahagian yang cacat tidak mencukupi," kata Normala.

Untuk kecacatan yang lebih besar dan melibatkan kulit, tisu lembut atau tulang, gantiannya diperoleh daripada bahagian anggota tubuh yang jauh daripada muka.

"Bahagian seperti paha, kaki, pergelangan tangan dan lengan, kulit abdomen dan juga tisu kulit belakang pesakit boleh dipindahkan ke kawasan muka.

"Paling penting, saluran darah dan vena tisu ini boleh disambungkan dengan saluran darah di bahagian muka secara pembedahan mikro," ujar Normala.

Sementara itu, kecederaan muka akibat kemalangan yang teruk hingga melibatkan kehilangan kulit, tisu lembut, patah atau remuk tulang muka, pembedahan akan dikendalikan secepat mungkin bagi mengelakkan komplikasi seperti jangkitan kuman.

"Dalam kes sebegini, tulang yang patah akan diperbetulkan kedudukannya menggunakan plat titanium dan skru atau dawai titanium.

"Tisu lembut dan kulit pula akan dijahit dengan teliti bagi mengurangkan kesan parut," ungkap Normala. - SHANIKA ABDULLATIB

Rencana Utama!»

Ikon pertahanan hadapan Selatan

KESIBUKAN Kem Majidee kini tinggal kenangan selepas kem itu ditutup secara rasminya pada 1 Julai lalu.

Varia!»

Masjid Putra ikon Putrajaya

MASJID Putra mendekati masyarakat, khususnya pelancong asing menerusi Program Kenali Ramadan.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31