VARIA

Intelektual dalam komersialisme

Intelektual dalam komersialisme

Apabila universiti dikorporatkan, ramai yang berdebat bahawa intelektual dan kualiti pendidikan akan tergadai kerana komersialisme. Benarkah begitu?


JAROSLAV Pelikan berpendapat sesebuah universiti perlu menekankan nilai-nilai kejujuran, intelektual dan
toleransi.


ISU sama ada universiti memenuhi tuntutan kecemerlangan ilmu dan tuntutan komersialisasi sudah menjadi polemik yang tidak pernah berkesudahan.

Ia menjadi penting dan sangat relevan kerana sudah ada trend untuk memperdagangkan universiti atau memenuhi tuntutan komersialisasi. Ia amat terasa dengan fenomena globalisasi yang mencengkam hampir sebahagian kehidupan kita.

Di samping itu, universiti turut berubah dengan penglibatan sektor industri yang kian canggih dan badan-badan korporat yang semakin besar ruang lingkup operasinya.

Dari satu sisi, penglibatan badan korporat amat dialu-alukan, tetapi dari sisi yang lain, adalah membimbangkan di mana ia mungkin memperdagangkan idealisme dan intelektualisme dengan materialisme dan kapitalisme.

Jika ini benar, di mana letaknya dogma universiti yang sering dilaungkan atau dibanggakan? Satu kepercayaan kepada usaha yang semata-mata bertujuan untuk mencari, mempertahankan dan mengembangkan ilmu pengetahuan serta kebenaran.

Dengan kata lain, tiada tempat untuk rungutan yang tidak baik di universiti sekiranya kita yakin bahawa kecemerlangan sesebuah universiti itu harus berdasarkan ilmu.

Sekiranya ini benar, maka lahirlah tradisi ilmu yang cemerlang yang berteraskan konsep akademik iaitu satu penghormatan kepada nilai murni kebebasan dan kesucian ilmu.

Dengan kata lain, universiti secara idealnya mestilah bebas, neutral dan objektif dalam penyelidikan, perbincangan mahupun pengajaran.

Tujuannya adalah untuk menyebarkan kemahiran profesional, memperkayakan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia, pengajaran dan penyebaran nilai-nilai tertentu tentang hal-hal saintifik dan kehidupan sosial.

Tidak kurang juga menyebarkan nilai kebenaran dalam membuat keputusan, toleransi, kritikan dan patuh kepada peraturan yang logik serta menentang doktrinisasi.

Kita juga tidak mahu soal abstrak tentang pemikiran dan peradaban tinggi, agama serta idealisme sebagai pendukung ilmu hilang dari dewan kuliah dan wacana intelektual di universiti.


BUKU ini menjelaskan jika sesebuah universiti mahu terus berniaga mereka perlu menyebarkan ilmu pengetahuan.


Isu kemerosotan tradisi ilmu, komersialisasi, globalisasi, kesarjanaan dan politik dalam pendidikan serta segala hal yang melibatkan kecemerlangan universiti pernah menjadi perhatian dan perbincangan serius Prof. Mohd Taib Osman dalam bukunya, Universiti dan Tradisi Kecemerlangan.

Dengan sifatnya sebagai mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Mohd. Taib dapat menyelami dengan mendalam isu-isu kecemerlangan universiti yang sememangnya satu agenda yang tiada berkesudahan.

Isu pengkorporatan universiti memang membimbangkan Taib dan semua pihak yang percaya universiti adalah warisan mulia untuk meneruskan kecemerlangan tradisi ilmu.

Antara tuntutan ilmu dan tuntutan komersial memang menjadi dilema universiti yang sering diperdebatkan. Begitu juga persoalan politik dalam pendidikan universiti, suatu hal yang sering cuba dielakkan oleh para sarjana. Ini kerana ia sering bertelagah dengan prinsip penting dalam kesarjanaan, iaitu free value yakni bebas daripada himpitan nilai.

Namun, menurut Taib, kita tidak dapat mengelakkannya dalam realiti kehidupan kerana politik mempunyai peranan besar dalam mencorakkan pendidikan.

Isu sarjana dan kesarjanaan turut menjadi perhatian Taib, satu persoalan yang sangat erat dengan kebebasan akademik. Satu hakikat yang perlu disedari bahawa sarjana secara idealnya ialah seorang pemikir dan intelektual.

Namun pada hakikatnya, dengan ada sekian banyak sarjana, beberapa orangkah yang mampu menjadi pemikir? Realitinya prinsip kesarjanaan tulen amat sulit dipertahankan.

Kerana itulah tugas sarjana sama ada tunduk kepada birokrasi atau sebaliknya adalah untuk terus berfikir, meneroka dan mengajar melalui pemikiran tinggi yang natijah akhirnya membentuk peradaban yang tinggi.

Universiti dikaitkan dengan kemampuan berfikir dan intelektualisme karya Taib Osman itu mengingatkan penulis pada sebuah buku yang ditulis oleh Jaroslav Pelikan iaitu The Idea of the University.

Ia mengatakan universiti tidak dapat dipisahkan dengan pengajaran, ilmu dan penyelidikan dengan menekankan nilai-nilai yang harus mendasari sesebuah universiti iaitu kejujuran intelektual, keterbukaan wacana, toleransi mengenai kepelbagaian dan kelainan pandangan serta nilai yang dianuti.

Kalaulah universiti ingin terus berniaga, ia harus tetap menyebarkan ilmu pengetahuan melalui penyelidikan, mengembangkan ilmu dan memberi tafsiran tentang ilmu dalam mematangkan para mahasiswanya.

Barangkali inilah harapan terakhir yang masih tersisa yang dapat diharapkan daripada kecemerlangan tradisi ilmu sesebuah universiti.

Horizon!»

Bermain salji di tapak sukan bertaraf dunia

MUSIM sejuk menjadi destinasi popular pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti, mendaki dan meluncur salji.

Varia!»

Pemasaran 4.0 dalam konteks ekonomi digital

Pemasaran 4.0 merupakan satu pendekatan berkaitan strategi pemasaran yang memerlukan gabungan bersepadu interaksi online dan offline antara pengeluar dengan pelanggan.

Process time in ms: 63