NEGARA

'Kami pun dapat hadiah mahal'

'Kami pun dapat hadiah mahal'




KUALA LUMPUR - Kisah artis menerima hadiah mahal daripada orang tersayang sebenarnya bukan fenomena baru di Malaysia.

Jika kelmarin penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza menerima hadiah jam tangan Richard Mille bernilai ratusan ribu ringgit daripada suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, artis-artis lain juga rupa-rupanya turut menerima pelbagai hadiah mahal daripada suami, kenalan atau keluarga tercinta.

Menariknya, hadiah-hadiah yang mereka terima bukan calang-calang kerana ada yang mencecah jutaan ringgit.




Pelakon dan penyanyi popular Juliana Banos, misalnya, pernah menerima hadiah berupa kereta mewah Ferrari yang dianggarkan mencecah harga RM1 juta daripada keluarga sebelah suami, Mokhtar Ahmad, 35.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menguar-uarkan hadiah itu (kereta) kerana saya menganggap ia bersifat peribadi.

"Saya sendiri tidak pernah membuka mulut tentang hadiah kereta itu, sebaliknya pemberian Ferrari itu didedahkan orang sekeliling hingga berjaya dihidu pihak media," jawab Juliana yang menganggap hadiah yang diterima tanda sayang tidak berbelah bahagi daripada pihak suami.

Pelakon jelita Rozita Che Wan pula menafikan pernah dihadiahkan kereta BMW bernilai RM450,000 sebaliknya mendedahkan cenderahati paling mahal yang pernah diterimanya daripada seorang lelaki sekadar bernilai RM18,000.

Hadiah tersebut merupakan seutas jam tangan Rolex yang dianggap istimewa kerana ia adalah pemberian bekas suami, Anuar Effendy Zulkafly, 35, lima tahun lalu.

"Bekas suami menghadiahkan jam tangan kerana mahu memujuk saya yang sedang merajuk pada waktu itu.

"Saya tidak pernah melihat seseorang menerima hadiah mahal secara negatif, namun saya hanya harapkan agar pemberian barangan berharga dilakukan dengan hati yang ikhlas," ujarnya.


KERATAN Kosmo! semalam.


Pelakon muda berbakat besar, Diana Danielle pula mengakui telah menerima sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 daripada ibu tercinta, Norsiah Ramli.

Menurutnya, hadiah istimewa bernilai RM560,000 itu adalah sempena ulang tahunnya yang ke-17 pada 22 November lalu.

Bagi pelakon Abby Abadi, dia pernah menerima barangan kemas pemberian bekas suami Norman Hakim, 32, berharga ribuan ringgit.

"Namun saya bukan wanita yang mengukur hadiah itu melalui harganya," jelas Abby.

Pelakon jelita Eja, 37, atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin pula memberitahu pernah menerima hadiah berupa gelang tangan cukup berharga daripada orang tersayang sebelum ini.

Beliau yang enggan mendedahkan harga gelang tersebut memberitahu, tidak salah untuk menghadiahkan pemberian mahal, asalkan tahu kemampuan diri dan individu itu benar-benar menyayangi dirinya.




Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31