RENCANA UTAMA

Merah warna Mira

Merah warna Mira




BAGI individu yang tidak mengenali Mira Abu Bakar, mungkin mereka menganggap tiada apa bezanya wanita ini dengan insan lain.

Namun, bagi orang yang berada di sekelilingnya dan juga mana-mana pihak yang mengenali ibu kepada sepasang cahaya mata ini, pasti mereka mengakui Mira merupakan individu yang terlalu obses dengan warna merah.

Kegilaan Mira, 33, terhadap warna merah tidak dapat disangkal lagi. Blogger wanita ini menganggap merah sebuah dunia ciptaannya sendiri walaupun warna itu biasa dikaitkan sebagai warna bertuah bagi kaum Cina.


MIRA bersama suami dan anak-anak yang turut berkongsi minatnya pada warna merah.


"Bagi menggambarkan bagaimana obsesnya saya dengan warna merah, frasa 'Merah itu Mira dan Mira itu Merah' menjadi simbolik diri saya," ungkap anak kelahiran ibu kota ini ketika Kosmo! mengunjungi kediamannya di Sri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kegilaannya terhadap warna merah, Mira berkata, dia mula berminat dengan warna merah sejak kecil lagi. Baginya, merah adalah warna yang berani dan mampu menarik minat khalayak dalam sekilas pandang.

"Menurut ibu saya, saya mula menggemari warna merah ketika berusia empat tahun. Tak kisah apa benda sekali pun, terutama pakaian dan barang mainan, merah pasti menjadi pilihan. Apabila usia semakin meningkat, kegilaan saya pada warna ini terus bertambah.

"Malah, sewaktu majlis perkahwinan saya, segala-galanya merah. Daripada kad undangan perkahwinan, door gift, hantaran, baju nikah dan persandingan sehinggalah hiasan kamar beradu, semuanya dipalit dengan warna tersebut.


DINDING rumah MIra turut dihias bingkai gambar keluarga berwarna merah yang mampu menarik perhatian.


"Kemudian apabila memiliki rumah sendiri, saya tetap memilih merah untuk rumah saya. Daripada hiasan rumah sehinggalah pinggan dan mangkuk, merah pasti menjadi keutamaan. Kerana minat saya ini juga, saya pernah ditemu bual oleh sebuah stesen televisyen swasta dan akhbar tempatan sebagai satu subjek unik dalam penyiaran mereka," ujar Mira yang memakai persalinan berwarna merah menyala dalam temu bual ini.

Bagi suami sang pencinta merah ini pula, Ami Shamril Kamaruddin, 35, minat yang ditunjukkan isterinya turut dikongsi bersama. Pada awal perkenalan mereka, Shamril yang bekerja sebagai jurutera sistem tidak mengetahui tentang obses Mira pada warna merah. Namun, apabila mengetahuinya, dia akur dengan minat tersebut.


ANTARA koleksi barangan merah yang dimiliki Mira.


"Memang pada awalnya saya berasa sedikit terganggu kerana dia begitu menyukai warna merah. Sikit-sikit merah. Beli barang ini merah, barang itu merah. Boleh dikatakan semuanya merah. Namun, lama-kelamaan saya sendiri sudah terbiasa dengan kegemarannya ini dan turut menyokongnya.

"Justeru, sekiranya saya bertugas ke luar negara, saya akan membeli cenderamata berwarna merah khas untuk Mira," ujarnya.

Beliau menambah: "Jika menerima hadiah berwarna merah, Mira akan menjadi insan yang paling gembira.

"Kalau dia merajuk atau marahkan saya kerana sesuatu perkara, senang sahaja memujuknya iaitu belikan apa-apa barang berwarna merah. Selepas itu, pasti rajuknya hilang dan senyuman akan terukir di bibirnya." Shamril hanya mengetahui minat isterinya itu menjelang majlis perkahwinan mereka apabila semua persediaan yang dilakukan melibatkan barangan berwarna merah.

Apabila melahirkan anak pula, minat itu terus diturunkan kepada anak-anak. Hasilnya, kedua-dua anak Mira, Shameel, 7, dan Melysha, 4, turut menjadi pencinta merah. Cuma, kata Mira, anak sulungnya, Shameel sebenarnya lebih menggemari warna biru. Tetapi dia terpaksa mengikut 'kegilaan' ibunya dalam waktu-waktu tertentu kerana tiada pilihan.




"Tetapi tidak pada Melysha. Dia umpama my red girlfriend. Minat saya dikongsi bersama si kecil ini. Kalau memilih barang mainan atau apa sahaja aksesori dan pakaian, Melysha akan memilih merah. Kerana itulah saya boleh berkongsi cerita merah bersamanya. Bak kata pepatah Inggeris, like mother like daughter," tutur Mira sambil tersenyum.

Dalam kalangan kaum keluarga dan rakan-rakan pula, Mira yang merupakan seorang pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta beruntung kerana mereka begitu memahami minatnya itu. Lantaran itu, Mira sering menerima pelbagai koleksi hadiah berunsurkan warna merah daripada mereka. Semua itu secara tidak langsung menjadikan koleksi barangan berwarna merah miliknya bertambah banyak.

Diajukan persoalan adakah warna merah itu melambangkan diri atau perwatakannya sendiri, Mira mengakui dia seorang wanita yang berdikari.

"Secara peribadi, saya tidak nafikan warna ini melambangkan perwatakan diri saya yang berani menempuh apa juga cabaran dalam kehidupan. Suami saya sering ke luar negara bagi satu tempoh yang agak lama kerana tuntutan kerja.




"Malah, sewaktu kami mula-mula berkahwin, suami menetap di Singapura dan saya sendirian di Malaysia. Apabila mengandungkan anak sulung, saya duduk seorang diri di rumah kami.

"Disebabkan itu, semua urusan saya lakukan sendiri. Maka, unsur merah ini memang ada pada sifat semula jadi saya. Saya seorang yang berani.

"Jika tidak, mana mungkin saya terpilih dalam rancangan Fear Factor Malaysia yang antara lain memerlukan saya makan testikel kambing dan badan digantung terbalik di Jambatan Putrajaya. Saya juga seorang individu yang lantang bersuara dalam menyuarakan pendapat. Mungkin itu lumrah wanita merah agaknya," ulas Mira menceritakan karakter dirinya.

Mengimbau kenangan lama ketika kecil, Mira berkata, terdapat satu peristiwa berkaitan warna merah yang begitu meninggalkan kesan di hatinya. Ketika itu dia berusia 11 tahun.

"Ibu membawa saya ke sebuah pusat beli-belah untuk membeli barang bagi persiapan perayaan. Apabila sampai di bahagian pakaian, saya memilih sehelai seluar panjang berwarna merah garang.

"Apabila sampai di rumah, semua kaum keluarga dan saudara-mara ketawakan saya kerana memakai seluar sedemikian rupa. Namun, itu semua hanya kenangan. Hari ini, saya tersenyum lebar. Kerana warna merah itulah, laman blog saya, http://redmummy.com mula popular dalam kalangan pembaca blog dan blogger lain. Alhamdulillah, kerana kegilaan saya terhadap warna merah, saya turut dikenali di media elektronik dan media cetak," kata Mira.

Varia!»

Selera Malaysia di Manchester

MENU Malaysia di Ning telah disesuaikan mengikut selera rakyat Eropah.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15