HIBURAN

Elak jadi hipokrit

Elak jadi hipokrit




Gadis ini memang cantik, peramah dan paling saya gemar mengenainya adalah sikap telus dan tidak hipokrit. Dalam kebanyakan hal peribadi yang saya ajukan kepadanya, terutama tentang hubungan baik dengan pelakon Fahrin Ahmad, pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha ini tidak menipu.

Tanpa memberi jawapan klise yang menjengkelkan, selamba dan penuh jujur dia menjawab, Fahrin adalah lelaki yang paling dekat dengan dirinya. Bukan dengan status teman tapi mesra, tapi ya kata Scha, Fahrin ada dalam hatinya.

"Tapi bukan bercinta ya. Cuma memang dia lelaki yang paling hampir dengan saya sekarang. Perancangan masa depan tu jauh lagi," luah Scha.

Kemudian saya beritahu Fahrin pernah menyenaraikan azam 2009nya adalah untuk berkeluarga. Jika dia melamar Scha berkahwin, bagaimana, gadis berusia 25 tahun ini senyum.

Dia kemudian menjawab: "Saya menjawab secara rambang. Jika bukan Fahrin, katalah lelaki-lelaki lain barangkali yang ajak saya kahwin tahun depan, saya boleh kata saya belum sedia sekarang.


SCHA mengakui bahawa dia sebenarnya tidak berhasrat untuk terjun ke bidang glamor.


"Tapi jika tiba masanya tahun depan, saya mungkin boleh menyediakan diri untuk menjadi seorang isteri."

Usai dia menjawab soalan secara rambang itu, saya desak agar jawapannya menjadi lebih spesifik. Dan hanya merujuk kepada Fahrin. Anak kedua daripada empat beradik ini diam. Seminit kemudian dia memulangkan jawapan kepada saya.

"Tengok timing dan duit dulu," ringkas namun cukup memberi tanda positif bahawa tiada masalah jika Fahrin mampu mengimbangi masa dan ekonominya.

Selesa berkawan dengan Fahrin kerana menganggap pelakon kelahiran Johor Bahru ini sebagai bertakwa dan sempoi, Scha bagaimanapun menolak persepsi dirinya terkenal lewat asmara yang digembar-gemburkan media ini.

Mahu jadi pembaca berita

Sebaliknya dia percaya bahawa kerjaya yang semakin maju ke depan ini membantu melonjak namanya dalam industri. Dan kedua-dua hal ini berjalan seiring saat dia ingin mencipta nama sebagai pelakon wanita baru.

Namun jauh dari sisi menjadi seorang pelakon, kata bekas Dewi Remaja 2006 ini, dia tidak berhasrat untuk terjun ke bidang glamor.

Hanya memang sifatnya suka mencabar diri sendiri dan keluar dari kepompong sekadar menjadi orang biasa. Dia mahu menjadi Scha yang luar biasa - luar biasa untuk diri sendiri.


SEKIRANYA hasrat menjadi pembaca berita tercapai, Scha tidak ralat meninggalkan dunia lakonan.


"Mak pesan saya jangan kerja separuh jalan lagi," katanya sambil mengekeh ketawa. Kemudian gadis yang lahir di Sungai Petani, Kedah ini memberitahu pesanan itu dititip ibu tercinta kerana sejak tamat pengajian dalam bidang teknologi maklumat, lakonan bukan kerjaya pertamanya.

Usai pengajian, dia pernah menjadi pramugari di syarikat penerbangan AirAsia selama setahun lebih.

Bosan dengan rutin yang sama, dia berhenti dan sengaja menghantar foto sendiri untuk mencuba nasib dalam pertandingan Dewi Remaja. Tidak sangka tuah miliknya, dia diumumkan sebagai juara.

Dan dari situ, rezeki dalam bidang komersial sebagai model dan pelakon berkembang.

"Namun selepas berlakon dalam beberapa drama dan filem, saya mula suka dengan kerjaya ini. Saban hari, di lokasi saya belajar untuk menjadi lebih baik," azamnya.

Baru setahun jagung tumbuh dalam industri, dia sudah terbabit dengan dua buah filem iaitu Antoo Fighter dan Histeria.

Sementara di kaca televisyen pula namanya meniti di bibir hasil lakonan sebagai Dania dalam drama bersiri Awan Dania - sebuah cereka mengenai sekumpulan bakal pramugari muda yang menimba ilmu di pusat latihan sebelum dibenarkan berkhidmat.

Bersama pelakon hebat seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran dan Irma Hasmie misalnya, Scha menggamit perhatian dengan sikap kasar dan degil dalam karakter Dania. Malah lakonannya juga semakin memberangsangkan.

Penggemar muzik ini ketawa sambil berkata: "Saya juga sedar kalau dalam drama ini, bakat lakonan saya semakin baik. Tapi saya rasa lakonan paling kayu saya adalah dalam filem Histeria. Mungkin kerana itu antara pendedahan awal saya sebagai pelakon."

Lantas saya tanya, apa pekerjaan yang akan benar-benar membuat dia setia, kata Scha pantas, dia sebenarnya mahu menjadi pembaca berita. Jika berjaya menjadi pembaca berita, dia tidak teragak-agak meninggalkan dunia lakonan.




"Sebab saya melihat pembaca berita sebagai medium pertama yang menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

"Saya suka itu dan berasa pekerjaan ini sebagai mempunyai integriti yang baik selain rasanya waktu bekerja saya lebih terurus," kata Scha mendefinisi tentang kerjaya impiannya ini.

Cium mulut Yana

Histeria, sebuah filem seram yang turut dibintangi bersama barisan pelakon perempuan termasuk Liyana Jasmay dan Ainul Aishah ini bagaimanapun menimbulkan kontroversi gara-gara babak cium bersama seorang lagi pelakon wanita, Yana, yang membawa karakter seorang lesbian.

"Yana cium bibir saya secara tiba-tiba," akuinya seraya menyambung: "Saya faham ini sensitif. Tetapi saya menjalani kerja saya secara profesional. Selagi ia tidak melampau dan berada pada norma yang betul, saya okey.

"Dan adegan cium ini juga hanya menyentuh bibir saya, bukan kami bercium dan menghairahkan. Ciuman ini adalah pernyataan lesbian Yana, bukannya saya. Jadi saya harap semua mampu menerima ia dengan terbuka."

Tampak perjalanan kerjayanya mudah, saya tanya apa yang Scha mahukan pada 2009 yang bakal menjelang, kata gadis yang tidak suka mengungkit hal lama, dia mahu lebih bersedia dari segi ekonomi.

Menyedari ekonomi negara tidak berjalan lancar tahun hadapan, dia berazam untuk bekerja lebih keras dan melibat ganda usaha menjadi seorang anak seni yang lebih berjiwa.

"Dan tahun hadapan juga telah memberi petanda awal cita-cita saya menjadi pembaca berita. Sebab saya akan mengacarakan sebuah rancangan di TV9, Chop, bersama Ikram dan Sari Yanti," katanya yang mahu mencuba watak bercinta yang tidak melankolik.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16