HIBURAN

Orang kata saya dayus...

Orang kata saya dayus...




SEPANJANG minggu lalu, bersambung-sambung ‘perdebatan’ antara pengarah popular, Shamsul Datuk Yusof dan pelakon, Diana Danielle di dalam akhbar gara-gara insiden pergaduhan besar yang berlaku antara mereka sehingga menjadi kes polis.

Apalagi bila Diana memberi kenyataan bahawa Shamsul menumbuknya sebanyak lima kali dan ini membuatkan Shamsul cukup tersentap dan mengatakan bekas kekasihnya itu suka menambah perisa kepada cerita sebenarnya.

Selain itu yang lebih membuatkan Shamsul bertambah ‘bengang’ apabila Diana turut menafikan mereka sebagai pasangan kekasih. Mudah cerita, Diana tak mengaku Shamsul pernah hadir dalam hidupnya sebagai seorang lelaki istimewa.

Ini membuatkan Shamsul yang selama ini mendiamkan diri terus membalas kenyataannya dengan menyifatkan Diana sebagai penipu besar.

Seperti umum tahu, sebelum kenyataan hal sebenar Shamsul disiarkan, Diana telah ke Jakarta untuk menenangkan fikirannya selain untuk urusan kerja rakaman album sulungnya.

Isnin lalu pula, Kosmo! mendapat perkhabaran Shamsul pula telah membawa diri. Anak bujang jutawan filem, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail ini dikatakan telah membawa diri ke Bangkok, Thailand mencari ketenangan diri.

Shamsul ke Bangkok untuk menghilangkan segala tekanan yang sedang bersarang di hati selama lebih kurang seminggu, itu yang disampaikan kepada Kosmo!

Apa lagi tanpa melengahkan masa, anak muda ini terus dicari untuk mendapatkan pengesahan. Benarkah sampai sebegitu sekali lara di hati Shamsul sampaikan terpaksa meninggalkan keluarga di Kuala Lumpur.

Ahad lalu, saya menemuinya dan Shamsul tidak menafikan dia akan ke Bangkok keesokan harinya (Isnin lalu).

Pun, kata Shamsul dia terbang ke negara yang sedang bergolak itu bukan atas tiket untuk mencari pengubat cinta lara.

“Saya ke Bangkok sebab kerja,” katanya, bersahaja.

Menurut pengarah muda ini, dia menggalas tanggungjawab untuk proses suntingan filem kedua arahannya, Bohsia di negara berkenaan.

“Dah jadi tanggungjawab. Dalam apa keadaan sekalipun saya kena pergi jugalah ke sana sebab filem ini sudah tertangguh sebelum ini,” akui Shamsul.

Emosi semakin stabil

Dalam pertemuan sehari sebelum berlepas ke Bangkok, emosi Shamsul kelihatan lebih stabil. Malah, wajah kacaknya terserlah di sebalik topi yang tersarung di kepala dan pakaian ringkas, bergaya remaja.




Sempat juga jurufoto, Zakki Jilan mengambil gambarnya di sekitar kawasan rumah yang juga merupakan tempat melepak yang turut menjadi saksi cintanya dengan gadis jelita itu.

Tidak mengiakan ini lokasi percintaan mereka, Shamsul sekadar memberi senyuman sahaja bila ditanya tempat ‘dating’ mereka.

Kawasan itu juga merupakan lokasi drama Farah Syakira yang menampilkan dirinya bersama Diana sebagai pasangan kekasih.

“Tak payah tanya, benda dah lepas. Saya anggap ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini,” senyum Shamsul sambil memberi gaya bersahaja kepada jurufoto.

Terima kejutan lagi

Menemubual Shamsul, tidak seperti menemubualnya pada awal kekecohan mereka dulu. Beberapa hari selepas mendapat tahu Diana membuat laporan polis terhadap dirinya, Shamsul tidak banyak bercakap dengan pihak media yang bertandang ke rumahnya.

Dia hanya sesekali menjawab dan selebihnya ‘mengunci mulut’ kemas-kemas supaya tidak membocorkan banyak rahsia.

Pun, dalam kunjungan kedua saya ini, dia menjadi lebih terbuka dan bercerita apa sahaja yang berlaku padanya.


TIDAK mahu terus memburu cinta palsu, Shamsul pasrah dengan kecundang kisah cintanya dengan Diana Danielle.


Bukan kerana mahu memalukan sesiapa, cuma dirinya tidak tahan dengan apa yang berlaku, seolah-olah semua keburukan tertuju ke mukanya.

“Apa yang saya ceritakan sekarang ini sebenarnya mahu menjelaskan segala-galanya. Saya dah malas nak simpan. Selama ni kerana sayang, semua benda yang saya lihat tentangnya baik saja.

“Bila berlaku macam ini, ia seolah-olah membunuh saya dari dalam. Rata-rata orang kata saya dayus dan sebagainya, tapi orang tak tahu apa yang berlaku.

“Awalnya saya tak nak cakap, tapi bila semakin menjadi-jadi, saya tak boleh terima. Segala pengorbanan yang saya buat selama ini, inilah balasan yang saya terima,” katanya berterus-terang.

Selepas kenyataan Diana disiarkan dan dia hanya membiarkan, satu lagi kenyataan yang sukar diterima Shamsul telah disampaikan oleh Diana sendiri kepadanya.

Tidak pun menceritakan hal itu kepada pihak media, Diana memberitahu Shamsul suatu perkara yang menjangkaui fikirannya.

“Selama tiga tahun bercinta, langsung saya tidak tahu rutin sebenar dia. Lepas kami putus baru dia bagi tahu, siapa sebenarnya dia. Ia memang sesuatu yang agak mengejutkan bagi saya. Dan dia sudah biasa dengan perkara yang dilakukannya sejak berumur 12 tahun lagi. Punyalah pandai dia 'cover line',” ujarnya dengan nada kecewa.

Meskipun beberapa kali didesak untuk berkongsi apa rahsia itu, Shamsul hanya memilih untuk berdiam.

Kepadanya, biarlah dia menyimpan segalanya sebagai rahsia peribadi. Tidak mahu memburukkan pihak lain, Shamsul pada akhirnya reda dengan perpisahan yang datang setelah meneliti sedalam-dalamnya.

“Sebab itu orang kata semua benda yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya. Akhirnya sehari demi sehari saya sudah bertemu dengan hikmah di sebalik segala yang berlaku terhadap diri saya sebelum ini.

“Sekarang saya reda dengan apa yang terjadi. Putus cinta pun saya tak kisah lagi dah sebab saya sudah tahu benda yang saya tak tahu sebelum ini” katanya.

Pencinta yang setia

Sememangnya Shamsul dikatakan mewarisi perilaku bapanya, Datuk Yusof Haslam. Jika ayahnya dilihat dengan karektor tegas, penuh disiplin dan tidak terlibat dengan anasir negatif, Shamsul juga begitu.

Tidak merokok, jarang ke kelab malam untuk berhibur, aktivitinya banyak kepada karya-karya seni, baik di rumah mahupun di pejabat.

Sebab itu apabila bercinta, dia akan menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada wanita yang berjaya menambat hatinya.

Justeru, setiap permintaan Diana sebelum, dia pasti akan mendapatkannya. Maklumlah, kerana cinta, dia sanggup berbuat apa sahaja.

“Sebelum ini, segala kemewahan yang diminta saya bagi kerana mahu dia bahagia dan hidup selesa. Sampaikan yuran kelas pengajian dia pun saya beri sebab sayangkan dia sangat-sangat.

“Saya jenis tak pandai bermain kayu tiga atau empat bila suka dengan seorang perempuan. Kalau saya bercinta, memang saya akan sayang seseorang bagaikan menatang minyak yang penuh. Tapi bila berlaku macam ini, saya kecewa sangat. Adakah selama ini dia sekadar bertopeng dengan saya?,” tanyanya.




Siapa yang tidak terasa bila bekas cinta dipadamkan terus dari ingatan. Begitu bencinya gadis itu terhadap Shamsul? Atau seperti kata Shamsul, mungkin inilah caranya agar dapat meneruskan percintaan baru pula?

“Kalau tak nak bercinta dengan saya, tak apalah. Tapi tiga tahun ini apa? Macam ini ke dia nak buat pada saya? Kalau nak kata ada orang lain yang cuba menjadi batu api antara saya dan dia, takkan dia tak boleh fikir sendiri?.” soalnya.

Pertemuan dengan Shamsul kali ini juga mengejutkan saya apabila dia mendedahkan satu lagi perkara yang selama ini hanya dianggap sebagai mainan perasaan orang bercinta.

Mengenai kewujudan orang ketiga sehingga membuatkan hubungann dengan Diana berakhir, Shamsul mengakui ia memang benar berlaku.

“Sebenarnya memang betul ada orang ketiga. Tak perlu cerita pasal sekarang. Sepanjang kami bercinta, banyak kali dia curang dengan saya. Mula-mula memang saya tak percaya. Tapi bila dah lama sangat macam ini, saya mula percaya.

“Masa itu saya masih sayang dan cinta dengannya walaupun macam-macam benda dia dah buat. Dulu dia pernah ‘terkantoi’ dengan saya bila saya membaca mesej dari telefon bimbit dia. Patutlah dia tak suka bagi saya pegang telefon bimbit dia. Tentang dia tengah skandal dengan seorang artis tu, saya percaya ia memang betul.” katanya.

Bertanyakan, adakah dia mungkin serik untuk bercinta lagi, kata Shamsul buat masa sekarang dia mahu bersendirian.

“ Serik? Itu nombor dua. Yang penting setiap percintaan kita perlu jujur dan setia. Kalau tak boleh setia, baik tak payah bercinta,” katanya.

Apapun ini mungkin komen terakhir Shamsul mengenai seorang wanita bernama Diana Danielle. Selepas ini, dia tidak mahu lagi terperangkap dalam jerangkap samar percintaan.

“Biarlah saya tumpukan kepada karya-karya saya. Itu janji saya saya kepada kedua ibubapa saya. Saya harap selepas ini, saya akan menjadi lebih fokus kepada kerja-kerja seni saya, bukan hal-hal berkaitan dengan perasaan lagi,” katanya, penuh tekad.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31