HIBURAN
Sari Yanti umum pernikahan
![]() |
|
|
TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja pelakon jelita, Sari Yanti hadir seorang diri ke pejabat Kosmo! semalam dengan tujuan untuk berkongsi perkhabaran bahagia tentang dirinya.
Sari mengumumkan bakal membawa hubungan yang terbina antaranya dengan jejaka pujaan hati, Mohd Eddy Casmady, ke gerbang perkahwinan tanggal 16 Januari tahun hadapan.
Dia yang mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri memberitahu, sungguhpun sudah bergelar isteri kelak dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon walaupun banyak pihak mempertikaikan keputusannya itu.
"Banyak orang cakap, tengah popular kenapa nak kahwin? Tak takut populariti jatuh ke, dan macam-macam lagi. Tetapi pada saya, perkara yang baik kenapa harus dilengah-lengahkan.
"Lagipun saya sudah bersedia sepenuhnya. Mungkin orang berkata begitu sebab saya sering bawa watak remaja, jadi orang ingat saya muda. Walhal, tahun ini umur saya sudah 24 tahun dan tahun depan sudah 25 tahun. Rasanya pada umur ini tidak ada masalah untuk saya berkahwin," ujarnya dalam nada yang cukup lembut.
Tambah gadis manis ini lagi, dia pasrah pada takdir andai kata dia tidak lagi popular selepas berkahwin kerana baginya, rezeki terletak ditangan tuhan bukannya ditangan mana-mana pihak.
![]() |
|
KAD undangan perkahwinan ditempah khas dari Indonesia. |
"Saya akan buat kerja seperti biasa, kalau selepas ini rezeki saya tidak seperti hari ini, saya hanya menganggap waktu itu mungkin rezeki orang lain pula," ujarnya yang sentiasa berfikiran positif.
Pelakon yang meraih populariti menerusi drama bersiri Kisah Kaisara ini lagi menegaskan, keputusannya itu telah difikir semasak-masaknya dan persediaan telahpun dilakukan sejak awal tahun ini.
"Kahwin bukan perkara yang mudah. Saya telah melakukan persediaan dari awal tahun ini lagi dengan membeli barang-barang dan keperluan yang lain secara perlahan-lahan.
"Perkahwinan saya hanya sederhana, tidaklah sebesar mana, cuma saya ingin sebuah perkahwinan sederhana tetapi meriah dan ringkas. Tidaklah berbelanja besar, sebab itu di pihak saya, pernikahan dan persandingan hanya dilakukan dirumah saya saja di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," tuturnya.
Mengungkap detik perkenalan antaranya dan bakal suaminya Eddy, semuanya terjadi kira-kira dua tahun setengah yang lalu.
Bagaimanapun akui Sari, mereka berdua terlebih dahulu berkenalan sebagai sahabat sebelum hubungan beralih kepada percintaan.
"Saya kenal Eddy sebab dia merupakan kenalan keluarga saya dan kami berkenalan agak lama, bercinta baru dua tahun lebih saja.
"Tetapi bila sudah sampai waktu, kedua-dua belah keluarga juga sudah merestui hubungan kami, rasanya eloklah kami berkahwin," beritahunya jujur.
Menyifatkan bakal suaminya yang berkerja sebagai pengurus acara itu sebagai seorang yang cukup memahami dirinya, justeru sebab itulah Sari tidak teragak-agak untuk menerima lamaran Eddy.
Sungguhpun begitu, Sari enggan mengulas secara terperinci tentang majlis perkahwinannya itu, cuma menurutnya, majlis resepsi kedua-dua belah pihak akan menggunakan warna-warna lembut, sesuai dengan jiwa dan cita rasanya.
"Konsep, warna, semua itu mana boleh cerita, nanti tiada kejutanlah untuk orang yang hadir. Saya ingin lakukan kejutan, jadi tunggu!," ujarnya dalam tawa manja.
Dia yang terlebih dahulu menghantar kad undangan perkahwinan kepada semua pihak media semalam, bakal menerima sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.
Namun, dia menyembunyikan angka wang hantaran yang bakal diterima kerana menganggap perkara itu bersifat terlalu peribadi.
Sari dan pasangannya akan bernikah pada malam 16 Januari 2009 di kediaman keluarga Sari yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Manakala, pada keesokan harinya, iaitu 17 Januari di lokasi yang sama akan diadakan pula majlis persandingan mereka berdua.
Selepas itu, pada 24 Januari, sebuah majlis resepsi ringkas di sebelah pihak lelaki akan diadakan pula di perkarangan Masjid Besar, Subang Jaya.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.





Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


