HIBURAN

Histeria papar ciuman lesbian

Histeria papar ciuman lesbian




ADEGAN lesbian, jampi serapah serta skandal cinta pelajar dan guru antara yang menjadi intipati dalam filem Histeria arahan pengarah yang terkenal dengan filem-filem bebas, James Lee yang bakal ditayangkan pada 18 Disember depan.

Sarat dengan adegan yang boleh dikatakan 'panas' termasuk babak ciuman antara dua watak perempuan iaitu Alissa dan Zeta, namun jangan tersalah anggap kerana filem seram terbitan produksi Tayangan Unggul Sdn. Bhd. ini masih dalam kategori untuk tayangan umum dan boleh disaksikan oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut pengarahnya, hanya dua babak dalam filem ini yang tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), walaupun turut menampilkan jampi serapah dan adegan pembunuhan yang agak menggerunkan.

"Ini merupakan satu langkah yang positif untuk filem ini. Saya rasa pihak LPF memahami cerita kami bukannya tentang hantu semata-mata kerana hantu yang ditampilkan lebih mirip kepada raksasa bukannya hantu yang mempunyai rambut panjang mengurai," kata James.




James yang turut mempercayai kewujudan alam ghaib ini menjelaskan dia memilih judul Histeria berdasarkan kes-kes histeria yang kerap berlaku di sekolah-sekolah dalam negara.

Oleh kerana itu, dia memilih sekolah untuk dijadikan lokasi utama, serta barisan pelakon wanita muda seperti Liyana Jasmay, Scha, Yana, Talya, Norisnainy, Yuhana dan Ainul Aishah sebagai pelajar di sekolah yang dirasuk histeria.

"Histeria kerap berlaku di sekolah-sekolah terutamanya kepada pelajar perempuan. Sebab itu saya memilih elemen tempatan yang sedia ada dan memodenkannya dengan menggabungkan elemen tempatan dan Hollywood.

"Sebelum memulakan penggambaran, saya dan penulis skrip Amri Rohayat telah membuat kajian selama dua bulan, dan kami tidak menemui jawapan terhadap histeria," jelasnya.

Tambahnya lagi, dalam filem seram ini, jembalang busut yang dipaparkan sebagai hantu yang menyerang kumpulan pelajar ini bukanlah satu rekaan kerana ia wujud dalam dunia sebenar.

"Mengenai jembalang busut saya rasa pelik, sebab ada juga orang Melayu yang tidak tahu akan kewujudannya, sebab itu saya rasa ia menarik untuk diketengahkan dalam filem ini.

"Walaupun kami sendiri tidak tahu rupanya bagaimana, tetapi apa yang terdapat di skrin hanyalah imaginasi kami sahaja. Kami sememangnya ingin elakkan hantu-hantu yang sudah biasa dilihat oleh penonton sebelum ini," ujar James lagi.


JAMES LEE


Manakala, untuk babak cium antara Yana dan Scha pula, bukannya satu isu besar kerana mereka bukanlah bercium seperti yang disangka.

Jelas James, babak ciuman sesama perempuan yang dipaparkan bukanlah satu adegan panas yang boleh dijadikan isu sementelah perkara seumpama ini memang sering berlaku di alam realiti.

"Kalau tidak ada filem ini sekalipun, perkara ini memang tetap berlaku di kalangan pelajar. Jadi saya tidak rasa kerana babak tersebut ia akan mempengaruhi remaja yang datang menonton.

"Lagipun mereka juga terdedah kepada drama dan filem luar yang lebih teruk, dan saya yakin penonton sekarang bijak menilai mana yang baik dan buruk," balasnya lagi tentang isu lesbian.

Beritahu James lagi, pengakhiran filem yang turut dibintangi Vanida Imran, Adiputra, Kazar dan Adlin Aman Ramli ini merupakan pembukaan terhadap sekuel filem ini, tetapi itu hanya akan berlaku jika filem Histeria mendapat sambutan penonton.

"Kita mahu lihat dulu penerimaan penonton, kalau ramai yang suka, apa salahnya kita adakan sekuel seterusnya," luahnya lagi.






















Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31