ALAM DAMAI

Setor antik

Setor antik

Rumah bujang ini bertukar menjadi ruang simpanan barangan antik apabila pemiliknya berat hati untuk melepaskan setiap satu daripadanya.




LEBIH kurang 200 barangan antik atau bertema antik dapat ditemui di rumah ini. “Kalau barang itu keluaran baru tetapi memiliki ciri sebuah barang antik pun saya akan beli dan kumpul,” ujar pemilik rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, ini, Khalid Rashid, 40.

Daripada perabot sehinggalah kepada barang perhiasan, daripada ruang tamu ke dapur dan bilik tidur, sukar untuk ditemukan barang berciri moden.


KOLEKSI pinggan bermotif bunga.


Set sofa di ruang tamu, menurutnya, dibeli dari Amerika Syarikat, dan merupakan set kegemarannya.

“Sebenarnya semua yang ada di dalam rumah ini adalah kegemaran saya. Tidak ada satu pun yang saya tidak sayang. Sebab itulah saya simpan,” kongsi pengusaha kedai perhiasan rumah dan haiwan ternakan kucing, De Elite House.

Tambahnya, beliau menggemari barangan antik kerana kecantikan pada barang-barang tersebut dan meminati kerja lama yang halus dan penuh berseni setiap satunya.

Malah, semasa duduk di tengah-tengah ruang tamunya, jelas terasa kemewahan atmosferanya.


GAMBAR kanak-kanak lelaki ini dihasilkan menggunakan benang sutera.


“Kerja kraf yang dapat kita lihat pada barang-barang itu adalah luahan jiwa orang-orang terdahulu. Perhatikan kehalusan dan motif yang mereka pilih. Pada ukiran ini, contohnya, mereka menonjolkan sisi diri mereka yang sensitif, sedih dan kadangkala riang,” katanya.

“Perhatikan pula kaki pasu dari Parsi ini. Nampak seperti dilukis, tetapi sebenarnya, rekaan yang ada padanya diukir keluar dan dimasukkan bahan daripada jenis yang lain dan selepas itu diberi sentuhan kemasan yang baik sampaikan ramai tidak sedar ia sebenarnya satu ukiran.


ALMARI antik yang diberi sentuhan personal pada bahagian dalamnya.


“Dan cara ini menjadi identiti seni Parsi kerana ia dapat dilihat pada perabot lain yang turut dihasilkan di negara itu,” terangnya.

Dari Parsi juga, sebuah gambar seorang kanak-kanak lelaki di dinding biliknya menunjukkan ketelitian seorang penggiat seni kraf.


AURA mewah dari ciri antik terserlah di ruang tamunya.


“Gambar itu sebenarnya daripada permaidani sutera. Penenun permaidani di sana mereka bentuk dan corak pada permaidani itu dengan penuh teliti kerana dengan menyusun kedudukan benang berwarna, mereka dapat menghasilkan gambar yang sempurna bertona,” tambahnya.

Mengembara ke Eropah dan negara-negara Asia Barat, Khalid memastikan beliau tidak ketinggalan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu barangan antik daripada setiap negara yang dikunjungi.


KENALAN banyak membantu mempelbagaikan koleksi Khalid.


Bekas air unik bersusun dalam sebuah almari di depan meja makannya. Menjelaskan ia adalah budaya orang Jerman untuk menghasilkan bekas air daripada bulu binatang, Khalid menyelak kain lapik yang menutup meja makannya.

“Meja ini saya dapat daripada seorang pemilik tempatan. Kami bertukar barang seperti sistem barter, suka sama suka. Katanya meja ini sudah berusia lebih 200 tahun.


HIMPUNAN bekas air dari serata dunia.


“Lihat saja rekaannya yang berjaring. Kalau diperhatikan, material yang digunakan amat tahan. Tetapi mungkin kerana ia jarang digunakan,” ujarnya sambil tertawa.

Menyifatkan rumah keduanya ini sebagai setor, Khalid, yang tidak sanggup melepaskan barang-barang yang ada di dalam rumah itu mengakui rumahnya agak sesak. Bagaimanapun, tidak ada pula habuk bertempek pada mana-mana perabot atau barangannya.


BEG antik, almari dari Parsi dan AS menambah karakter pada rekaan


“Kalau terlalu sibuk, saya akan mengemas dan membersihkan barang-barang di dalam ini sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Tetapi kalau dapat, seminggu sekali pun boleh,” kata Timbalan Presiden Kelab Kucing Malaysia yang masih bujang ini.

Kerana meminati kucing pada masa yang sama, pengalamannya membela 10 ekor kucing di dalam rumah ini mengundang petaka apabila pasu antiknya yang bernilai RM4,000 pecah dilanggar kucing-kucing itu.

“Serik, saya hantar kucing-kucing itu ke kedai saja. Barang antik, kalau hilang satu, memang tidak ada gantinya,” ujarnya.




Barangan antik di dalam rumah ini, katanya, hanya meliputi 10 peratus daripada keseluruhan koleksinya. Selebihnya dapat dilihat di rumah keluarganya yang terletak di belakang rumah ini, dan di kedai barang perhiasannya di Jalan Raja Abdullah.

Stailo!»

Rekaan kontemporari generasi Y

MOTIF pua kumbu menjadi inspirasi perincian potongan baju-baju batik moden Tuan.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32