NEGARA

JAIS siasat dakwaan ada pihak ketiga

JAIS siasat dakwaan ada pihak ketiga




KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat dakwaan Norman Hakim (gambar), 32, yang mendakwa beliau disabotaj oleh pihak ketiga sebelum membawa dakwaan kes khalwat itu ke Mahkamah Syariah.

Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata, siasatan itu wajar bagi membuktikan ketelusan proses pendakwaan.

"Siasatan kini berjalan, saya tidak dapat beritahu dengan tepat bila ia akan dibawa ke Mahkamah Syariah.

"Tempoh siasatan selewat-lewatnya 14 hari dan selepas itu kes perlu dibawa ke Mahkamah dan biar mahkamah yang membuat keputusan," katanya ketika dihubungi semalam.

Norman sebelum ini didakwa khalwat bersama pelakon wanita baru, Memey Suhaiza atau nama penuhnya Suhaiza Suhaimi, 20, dalam serbuan kira-kira 3 pagi kelmarin di pejabat mereka di Ukay Perdana.

Sementara itu, penerbit dan pengarah drama bersiri Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam kecewa dengan berita tangkapan khalwat yang pelakon utamanya itu yang memegang watak Inspektor Haris.

Yusof bagaimanapun tidak mahu tergesa-gesa menamatkan kontrak Norman selagi pelakonnya itu belum disabitkan kesalahan.

"Tak adil untuk kami menghukumnya sekarang kerana kesnya belum lagi dibicarakan. Jadi kita tunggu sahaja perkembangan selanjutnya,'' ujar beliau.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31