RENCANA UTAMA

Biasa ditendang kuda

Biasa ditendang kuda

Hasim Jusoh yang digelar koboi Kampung Banggol pernah mengalami kesukaran bernafas apabila tercampak ke tanah selepas diterajang seekor kuda jantan beberapa tahun lalu.


AKSI dua remaja yang memecut kuda masing-masing di tepi pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.


BUKAN sekali dua, Hasim Jusoh, 49, ditendang kuda yang dipeliharanya sehinggakan pernah kepalanya luka akibat terhantuk dinding selepas menerima penangan tapak kaki haiwan itu.

Dia juga pernah mengalami kesukaran bernafas apabila tercampak selepas diterajang seekor kuda jantan beberapa tahun lalu.

Anak perempuannya, Noor Nerina Ernie, 13, pula dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali gara-gara terjatuh dari seekor kuda yang tiba-tiba naik angin lalu menghumbannya ke tanah.

Cerita-cerita itu hanya secebis daripada pengalaman kurang menyenangkan yang terpaksa ditempuh oleh Hasim dan anak gadisnya sejak membela haiwan tersebut di sekitar rumah mereka.

Jika orang lain mengalaminya, pasti sudah serik dan 'angkat bendera putih' malah mungkin beralih dengan aktiviti membela haiwan yang 'kurang mencabar' seperti ayam serama, kucing atau itik.

Namun, bagi Hasim, hatinya sudah lama terpaut dengan kuda dan tidak hairanlah hampir saban tahun, jumlah kuda yang dibela di kandang di rumahnya di Kampung Banggol, Tok Jiring, Kuala Terengganu terus bertambah.


SUASANA di sekitar kampung meriah dengan aktiviti menunggang kuda yang turut dikongsi bersama para penduduk di Kampung Banggol, Tok Jiring, Kuala Terengganu.


Bagi 'koboi kampung' ini, sekitar rumahnya kini sudah menjadi seperti ladang ternakan kuda. Ini kerana selain deretan 17 buah kandang, aroma bau kuda kadang kala menusuk hidung.

Hasim bagaimanapun mengakui berbanding dirinya yang merupakan seorang peminat kuda, isterinya, Noraini Mat Dahan, 47, pula kurang menjiwai hobinya yang mula timbul selepas membeli seekor kuda padi ketika berusia 12 tahun.

"Buat masa ini, saya ada 15 ekor kuda dari jenis poni dan kuda lumba. Semuanya saya bela di sekitar rumah saja," katanya sambil menuding jari ke arah seekor kuda yang ditambat di bawah sebatang pokok kelapa.

Anak kelahiran Batu Enam, Kuala Terengganu ini biasanya membeli kuda dari negara jiran, Thailand dengan harga RM3,000 hingga RM8,000 seekor.

"Rasa-rasanya, mungkin lebih RM200,000 telah saya belanjakan untuk membeli kuda," katanya.

Hasim bukan sahaja membeli kuda untuk dipelihara di rumah tetapi dia juga menjualnya kepada rakan-rakan yang berminat membela haiwan tersebut.

Oleh kerana hobinya itu dan gemar pula memakai topi koboi serta but panjang semasa menunggang kuda di sekitar rumahnya, dia mendapat gelaran 'Hasim Kuda' dalam kalangan penduduk kampung.

Setiap hari, tugas rutinnya ialah memberi makan dan minum serta mencuci kandang supaya haiwan itu dapat hidup sempurna dan tidak mudah dijangkiti penyakit.


KUDA-KUDA peliharaan Hasim Jusoh dibawa menaiki lori menuju ke pantai Teluk Ketapang untuk disewakan kepada pengunjung yang mahu merasai menunggang kuda.


Antara yang perlu dilakukannya ialah memberi setiap kuda makan dedak, jagung atau rumput sebanyak dua kali sehari, mencuci kandang sekali sehari, manakala diberi minum dua kali setiap hari.

Mujurlah, tugas tersebut banyak dibantu oleh anaknya, Noor Nerina Ernie atau lebih mesra dengan panggilan Rina yang sudah pandai menguruskan sendiri kuda-kuda tersebut tanpa perlu mendapat tunjuk ajar bapanya.

Sambil menyifatkan kuda haiwan yang sensitif, bapa kepada empat orang anak ini memberitahu, kuda biasanya terdedah kepada dua masalah utama iaitu penyakit kulit dan sakit perut jika kandang tidak dijaga atau tersalah beri makan.

Walaupun mahir dalam aspek penjagaan kuda, namun koboi Kampung Banggol ini tidak memasang ladam kudanya sendiri kerana ia dilakukan oleh seorang rakannya yang tinggal di sebuah kampung lain.

Mengenai tanggapan bahawa memelihara kuda adalah hobi yang mahal, Hasim mengakuinya dan beranggapan dia adalah segelintir 'orang biasa' yang mampu memilih hobi berkenaan.

Kaedahnya ialah dengan berjimat dalam menyediakan makanan kuda dan tidak berbelanja besar seperti golongan berada yang menghabiskan wang yang banyak untuk kuda mereka.

"Jadi, berapa belanja untuk seekor kuda sehari?," tanya penulis kepada Hasim. Selepas mencongak seketika dia menjawab : "Lebih kurang RM30 untuk setiap kuda."

Namun, menurutnya, perbelanjaan tersebut adalah kecil berbanding jumlah sepatutnya iaitu mencecah RM70 seekor yang dibelanjakan pemilik kuda lain yang lebih berkemampuan.

Baginya, itulah beza cara seorang 'koboi kampung' sepertinya menjaga haiwan tersebut tanpa perlu menyusutkan poket.

Walaupun meraih pendapatan dengan menyediakan perkhidmatan mengangkut barang menggunakan lori selain menjual kambing, baginya seseorang itu tidak perlu menjadi jutawan untuk memiliki kuda.


MENERIMA gelaran ‘Hasim Kuda’ kerana setiap kali menunggang kuda, Hasim Jusoh akan memakai topi koboi dan but panjang.


Hasim menjelaskan, sebelum ini, dia pernah membela pelbagai jenis haiwan lain seperti ayam serama dan kucing tetapi ia tidak serasi dengan jiwanya yang mahukan kelainan.

"Saya minat kuda sejak kecil sampailah sekarang. Minat ini timbul kerana dulu, saya kerap tengok filem koboi di televisyen," katanya yang agak kecewa kerana filem seumpama itu sudah tidak lagi ditayangkan.

"Agaknya sebab banyak koboi di Amerika (Syarikat) yang dah pencen berlakon," katanya ketawa.

Dalam pertemuan ini, dia turut memberitahu kebaikan aktiviti menunggang kuda.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, sebelum ini seorang rakan yang mengalami penyakit saraf sehingga menjejaskan fungsi seksualnya sembuh semula selepas membeli seekor kuda dan menunggangnya setiap hari.

"Selepas beberapa bulan, dia okey, malah dia berkahwin seorang lagi dan dapat lima orang anak dengan isteri keduanya!," katanya sambil tersenyum.

Selain menjual kuda peliharaannya untuk mendapatkan sedikit wang bagi menyara hobinya itu, dia juga menjual susu kuda yang dianggap mempunyai khasiat tinggi.

Dijual pada harga RM30 sebotol, susu kuda yang mengambil masa berjam-jam untuk diperah itu pernah memberi kebaikan kepada seorang rakannya yang sakit.

"Selepas minum susu kuda yang saya berikan beberapa kali, dia boleh gerakkan tangan secara perlahan-lahan. Dah lebih setahun. Sekarang, dia boleh kerja macam biasa.

"Saya tak pasti khasiatnya tetapi bukti yang saya tengok, susu kuda banyak kelebihannya termasuk dapat menambah tenaga orang lelaki," katanya sekali gus mendorong penulis untuk membeli sebotol susu tersebut.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 47