AKADEMI

Kurikulum warga abad ke-21

Kurikulum warga abad ke-21

Salah sebuah sekolah antarabangsa swasta yang terbesar di Malaysia ialah Nexus World-School yang mampu menempatkan pelajar daripada 58 kewarganegaraan.




PENDIDIKAN memainkan peranan penting dalam melahirkan warga global yang suatu hari kelak akan memimpin dunia ke arah kesejahteraan, seiring dengan penggunaan teknologi dalam kehidupan.

Menyedari betapa pentingnya melahirkan generasi abad ke-21 yang berdaya saing dan berpengetahuan luas dalam arena global dengan minda yang terbuka, sebuah sekolah antarabangsa yang menerapkan penggunaan teknologi dan pembelajaran bersifat holistik lahir di Putrajaya.

Terletak di sebuah kawasan luas dengan pemandangan indah di Putrajaya, Nexus World-School, sebuah sekolah antarabangsa menyediakan kurikulum bersepadu untuk warga sejagat bagi abad ke-21.

Menurut Pengetua Sekolah Nexus World-School, David Griffiths, sekolah tersebut lebih daripada hanya sebuah sekolah antarabangsa biasa.

"Sekolah ini adalah sebuah sekolah dunia, bukan sahaja kerana tenaga pengajar dan para pelajarnya datang dari serata dunia, tetapi penerapan ilmu yang akan mengasah mereka menjadi warganegara dunia pada masa hadapan."

Nexus World-School, Putrajaya diuruskan oleh Garden International School Sdn. Bhd. yang juga merupakan sebahagian daripada Kumpulan Pendidikan Taylor's.


PERSEKITARAN kolam renang yang dikelilingi kawasan hijau.


Merupakan salah sebuah daripada sekolah antarabangsa swasta yang terbesar di Malaysia dengan pengalaman selama 55 tahun dalam bidang pendidikan, sekolah tersebut menempatkan pelajar daripada 58 jenis warganegara.

Malah, Sekolah Antarabangsa Garden Kuala Lumpur (GISKL) telah diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 10 buah sekolah antarabangsa terbaik oleh The Guardian pada tahun 2006.

"Kami percaya, kelas sentiasa berkembang. Oleh itu, kami menerapkan teknik pengajaran dan kaedah pembelajaran yang berteknologi terkini dalam kurikulum kami di sekolah ini.


DAVID GRIFFITHS


"Minda pelajar dicabar dan sifat ingin tahu mereka sentiasa dirangsang melalui pendekatan International Primary Curriculum (IPC)," kata Griffiths sambil memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan kepelbagaian yang ada di sekolah tersebut, di samping menggalakkan asimilasi budaya antara setiap etnik dan sejarah pelajar dengan negara hos, Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan IPC?

"IPC merupakan pendekatan melalui fokus terhadap akademik dan juga pembangunan personal pelajar dan pada masa yang sama, kesedaran global.

"Lima bidang penting yang diberi penekanan adalah akademik, sosial, kerohanian, emosi dan fizikal. Melalui IPC, pembelajaran menjadi aktif, menarik perhatian dan minat, menyeronokkan dan tentunya, bermakna," ujar Griffiths.

Menurutnya, para pelajar akan mempunyai keseimbangan iaitu di antara mempelajari untuk menghormati masa silam dan menyediakan diri mereka untuk sebuah dunia yang akan mereka diami suatu hari kelak.

Digunakan di lebih 44 buah negara dan 330 sekolah seluruh dunia, IPC telah diwujudkan untuk menyediakan kurikulum berfokuskan pembelajaran dan penekanan masa hadapan yang mempunyai sasaran untuk memperkembangkan minda bersifat antarabangsa di sekolah seluruh dunia.

"IPC memberikan platform kepada para pelajar dengan membekalkan kemahiran-kemahiran yang berbeza sebagai persediaan untuk abad ke-21," kata Griffiths lagi.


KEMUDAHAN sukan untuk pelajar termasuk gelanggang tenis.


Sehubungan itu, bagi merangsang minda ini, pengajaran dan pembelajaran dilakukan di dalam dan luar kelas.

"Penggunaan pengajaran interaktif dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan agar mereka mampu berfikir sendiri, mempunyai semangat untuk terus menuntut ilmu dan bukan sekadar 'menyerap' apa yang diajar guru," kata Griffiths yang pernah menjadi Pengetua Sekolah Antarabangsa Garden di Kuantan, Pahang sebelum ini.

Menyedari bahawa dunia telah berubah dan generasi masa kini merupakan natif dunia digital, penekanan diberikan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk 'menghidupkan' kurikulum dan sebagai bahagian terpenting dalam proses pembelajaran.

Kerja-kerja penyelidikan dilaksanakan dengan menggunakan capaian internet yang boleh dikecapi melalui penggunaan komputer riba Macbook.

"Para pelajar diberi peluang untuk membuat laporan dan merekodkan pembelajaran mereka melalui klip video, foto digital dan pelbagai perisian berkaitan. Ini seterusnya menggalakkan mereka berkongsi idea dan perbincangan dengan satu sama lain.


ANTARA kemudahan yang terdapat di dalam kelas.


"Di samping itu, para ibu bapa juga diberi peluang untuk melihat kemajuan anak-anak mereka melalui persembahan dan pod-cast yang didapati di internet," ujar Griffiths yang menekankan penggunaan teknologi amat diterapkan dalam pembelajaran di sekolah itu.

Tambah beliau: "Di sekolah-sekolah tradisional, penggunaan komputer adalah terhad dan hanya pada waktu-waktu tertentu, tetapi di Nexus, ICT merupakan tunjang pembelajaran."

Secara keseluruhan, Griffiths berkata: "Penggunaan ICT digabungkan dengan aktiviti bersifat hands-on. Kurikulum yang pelbagai telah menjadi bukti kepada konsep pembelajaran yang maju dan ia bukan sahaja melibatkan pelajar, tetapi juga ibu bapa dan guru."

Menggunakan kurikulum antarabangsa, guru-guru terlatih dan berpengalaman dari serata dunia telah dipilih untuk membantu pembelajaran menggunakan pendekatan IPC.


DIKELILINGI kawasan hijau yang redup dan luas.


Berapakah usia para pelajar Nexus?

"Kami menerima para pelajar dari peringkat nurseri iaitu dari usia 3 tahun sehinggalah yang berusia 18 tahun," jawab Griffiths yang memaklumkan sesi persekolahan bagi peringkat pembelajaran awal (3 sehingga 5 tahun) dan sekolah rendah di sekolah tersebut akan bermula pada bulan September ini.

Setakat ini, katanya, lebih 100 orang pelajar telah mendaftar dan bilangan tersebut semakin bertambah setiap hari.

"Kami menerima banyak maklum balas dan pertanyaan daripada ibu bapa mengenai sekolah ini dan kurikulum yang ditawarkan. Oleh itu, bilangan kemasukan semakin meningkat," jelas beliau.

Griffiths turut memaklumkan bahawa sesi pembelajaran peringkat menengah akan diadakan secara berperingkat.

Katanya, mengikut perancangan, sesi sekolah menengah dijangka bermula pada September 2009 untuk tahun pertengahan sehinggalah September 2012 bagi Tahun 13 (Tingkatan Enam).

"Secara umumnya, bilangan pelajar dalam setiap kelas bergantung kepada usia mereka, tetapi bilangan maksimum setiap kelas tidak akan melebihi 25 orang.


AUDITORIUM yang lengkap dan luas.


"Ini kerana kami amat menitik beratkan kemajuan dan tumpuan yang diberikan terhadap setiap pelajar," kata Griffiths yang memaklumkan bilangan murid peringkat awal mungkin lebih kecil daripada 25 orang dalam setiap kelas.

Di samping penekanan pada teknik pengajaran, persekitaran di Nexus juga dipastikan berupaya memenuhi pembangunan setiap pelajarnya.

Menawarkan kawasan yang luas dengan dipenuhi kehijauan, antara kemudahan umum yang disediakan di sekolah ini ialah makmal ICT terkini, kolam renang, gelanggang tenis, padang bola, auditorium yang lengkap, perpustakaan dua tingkat, kafe dan dewan serba guna.

Di samping itu, Nexus juga merancang untuk mengadakan kemudahan asrama pada masa hadapan.

"Nexus World-School diwujudkan untuk memperkayakan minda pelajar agar mereka melangkah keluar dengan lebih yakin. Ilmu yang diperoleh akan menjadikan mereka warga dunia yang menikmati dan menerima kepelbagaian budaya, warisan dan mempunyai kesedaran global yang baik," kata Griffiths.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47