RENCANA UTAMA

Diet harus ada disiplin

Diet harus ada disiplin

Bagi memudahkan mereka bergerak aktif melakukan gimrama, ahli gimnas dinasihatkan supaya mengelakkan makanan manis, berminyak, makanan ringan dan makanan segera.


ATLET-ATLET gimrama yang giat membuat latihan.


MELIHAT bentuk badan ahli gimnas yang langsing, bagaimanakah diet mereka? Kharunnisa Badri, 10, menjelaskan, jadual pemakanan yang betul dan teratur dapat membekalkan tenaga dan bentuk tubuh yang baik kepada mereka.

Dia hanya makan empat keping roti dan segelas susu segar untuk sarapan pagi. Manakala, hidangan tengah hari pula, Nisa akan menikmati sepinggan nasi yang berlaukkan ikan dan sayur-sayuran.

"Semangkuk sup panas dan jus buah menjadi menu untuk makan malam. Kami dinasihatkan supaya mengelakkan makanan manis, berminyak, makanan ringan dan makanan segera.

"Walaupun perlu mengikut syarat-syarat pengambilan makanan yang agak ketat tetapi kadangkala tersasar juga apabila tidak dapat menahan nafsu menjamah makanan segera," jelas anak pertama daripada dua beradik ini.

Menurut laman web Sports Dietition Australia, golongan gimnas sentiasa mengalami masalah pemakanan. Mereka sanggup makan dalam kuantiti yang sedikit, semata-mata untuk mengekalkan berat badan.

Kadangkala pemakanan yang diambil tidak mampu menampung tenaga yang digunakan ketika menjalani latihan gimrama atau aktiviti sekolah.

Ahli-ahli gimnas disarankan supaya mengambil makanan yang sihat dan seimbang tanpa perlu menyekat selera makan. Berat badan mereka harus ideal dengan ketinggian.

Sementara itu, jurulatih sukan teras, Majlis Sukan Negara (MSN), Selangor, Afrita Ariany Nasril menegaskan, gimnas harus berdisiplin dalam diet. Jika mengamalkan pemakanan yang kurang sihat seperti berlemak, manis dan berkanji, berat badan mereka akan bertambah.

Ini menyukarkan mereka untuk aktif dalam melakukan pergerakan gimrama. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh menikmati hidangan nasi tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

Bagi gimnas sukan teras, Nadiah Mohd Zaidi, 14, soal pemakanan tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya kerana sejak kecil lagi, dia sudah dididik menikmati makanan yang sihat.

"Keunikan sukan gimrama bukan sahaja terletak pada disiplin makanan malah pemilihan muzik dan pergerakan yang pelbagai. Inilah yang mencorakkan persembahan gimrama. Saya rasa bertuah kerana dapat menyertai sukan ini sejak berumur sembilan tahun.

"Sebelum aktif di peringkat negeri, saya terlebih dahulu mewakili sekolah untuk pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL)," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Selangor ini yang pernah merangkul empat pingat emas dan satu gangsa untuk Sirkit (1) pada tahun 2005. Pada ketika itu, Nadiah berada di gred satu dan beraksi dengan bola, gelung dan tali.


AHLI-AHLI gimnas disaran supaya makan makanan yang sihat dan seimbang tanpa perlu menyekat selera makan.


Bukan itu sahaja, ketika di gred dua pula, Nadiah memenangi enam pingat emas dalam pertandingan Sirkit (2). "Setiap kemenangan yang dikecapi, mengingatkan saya supaya lebih gigih membuat latihan," katanya sambil membetulkan kasut tari.

Dalam pertandingan atau sesi latihan, gimnas diwajibkan memakai kasut tari yang menutup jari kaki. Sekiranya, gagal berbuat demikian, lebih-lebih lagi dalam pertandingan, secara automatik nama mereka akan digugurkan.

Beralih mengenai pemilihan lagu atau muzik, Afrita menjelaskan, ia dipilih berdasarkan kredibiliti dan kebolehan gimnas itu sendiri. Contohnya, jika gimnas yang bergerak pantas dan tepat, mereka sesuai menari dengan iringan lagu yang rancak.

"Jangan beranggapan bahawa gimrama hanya sekadar pergerakan akrobatik dan bermain bersama alatan kerana ia turut merangkumi pelbagai perkara. Ini termasuklah penampilan dan tatarias gimnas dari segi dandanan sanggul dan solekan.

"Walaupun dandanan sanggul bukan syarat utama dalam pertandingan, namun penampilan yang cantik dan menarik ketika beraksi di gelanggang amat penting untuk menambat hati penonton," jelas Afrita yang sedang berusaha mencungkil dan menghasilkan gimnas yang terbaik.

Atlet gimrama tempatan masih belum berpeluang bertanding ke peringkat Sukan Olimpik. Afrita juga akan memastikan suatu hari nanti, gimnas gimrama Malaysia terpilih untuk mara ke Sukan Olimpik.

Kepada anda yang berminat menyertai kelas gimrama, hubungi Afrita di talian 012-387 2007. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Rencana Utama!»

Rasa tetap sama selepas empat dekad

MI kicap Mat Jasak masih bertahan selama empat dekad kerana rasanya tidak pernah berubah.

Pemotoran!»

MINI untuk keluarga kecil

Model MINI baharu masih berupaya meledakkan kuasa pemanduan berprestasi apabila pemandu memerlukannya.

Varia!»

Garis panduan di klinik veteriner

Kebanyakan kucing yang dibawa ke klinik menghidap penyakit berjangkit dan bersifat zoonotik. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15