GENK

Kasut lukisan tangan

Kasut lukisan tangan

Walaupun masih menuntut, remaja yang menganggotai kumpulan Boonga bijak menyalurkan kreativiti mereka dengan menjalankan bisnes kasut bercorak.




Walaupun masih menuntut di institut pengajian tinggi, namun ia tidak menghalang sekumpulan anak muda untuk melakukan bisnes berasaskan kreativiti yang mereka miliki.

Menamakan kumpulan mereka sebagai Boonga, anak-anak muda ini yang rata-ratanya pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, menjalankan bisnes kasut dengan corak lukisan tangan rekaan mereka sendiri.

Lebih membanggakan, walaupun baru beroperasi hampir tiga bulan, namun mereka sudah menerima tempahan dari Brunei dan Indonesia.

Populariti juga pantas diraih apabila kreativiti mereka mendapat liputan media cetak dan elektronik.

Diketuai oleh dua pelajar jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) UiTM, Firdaus Putra Ariffin, 22 dan 'Aisyah A. Latiff, 22, corak dan lukisan yang dihasilkan pada kasut kanvas yang dijual mereka amat bervariasi dan menarik perhatian.

Kali pertama GenK menemui mereka ialah ketika mereka menyertai pameran belia Youth'09 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Melihat sambutan yang diterima ketika itu GenK terpanggil untuk mendekati anak-anak muda ini.

"Sebenarnya, itulah pameran pertama yang kami sertai sejak mula beroperasi Disember tahun lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob turut membeli dua pasang kasut daripada kami," kata Putra ketika GenK menemui kumpulan tersebut di Shah Alam baru-baru ini.

Cerita Putra, bisnes itu sebenarnya bermula daripada sekadar hobi. Beliau dan 'Aisyah berkongsi minat serupa iaitu melukis dan mewarna. Mereka bereksperimentasi di atas kasut kanvas mereka sendiri untuk kegunaan peribadi.

"Bila ramai rakan yang bertanya di mana kami beli kasut-kasut bercorak sebegitu, kami kata kami buat sendiri. Ramai yang memuji dan minta buatkan. Dari situ, timbul idea untuk membuat bisnes," kata Putra.

Cerita Putra lagi, semasa mahu menentukan nama kumpulan sekali gus nama bisnes mereka, mereka terfikirkan bunga.

"Kami fikir ia nama yang sesuai kerana kami bukan sahaja mahu menarik perhatian warga muda tetapi juga orang yang lebih berusia. Untuk menjadikan ia nampak lebih catchy dan moden, kami ubah ejaannya menjadi Boonga (sebutannya boo-nga).

"Lagipun kami juga berharap agar bisnes kami ini akan terus kembang berbunga," katanya optimis.


DARI kiri, Nurdiyana, Firdaus Putra, 'Aisyah, Muhammad Hazur dan Muammar Fhais menzahirkan idea-idea kreatif di atas kasut rekaan mereka.



TARIKAN kasut Boonga bukan hanya di kalangan remaja bahkan orang dewasa dan kanak-kanak.


Menyedari bahawa mereka tidak mampu melunaskan semua tempahan secara berdua, mereka mengambil pekerja di kalangan rakan-rakan mereka.

"Kami pilih rakan sekelas yang kami tahu ada minat melukis dan kreatif untuk membantu kami sekali gus membentuk satu kumpulan. Ada juga yang sukarela menawarkan diri untuk bekerja dengan kami," kata Putra sambil memberitahu ahli Boonga setakat ini seramai enam orang.

Antara yang hadir ketika temu bual itu ialah Muammar Fhais Abu Samah, Muhammad Hazur Hasni dan Nur Diyana Suhaimi. Menurut Putra, ada juga ahli Boonga merangkap pekerjanya yang sudah tamat pengajian di universiti.

Ditanya bagaimana dia dan rakan-rakannya membahagikan masa antara pelajaran dan bisnes, 'Aisyah menjawab:

"Biasanya kami luangkan masa pada hujung minggu untuk siapkan tempahan-tempahan dan kalau ada masa yang lapang. Kami merupakan pelajar tahun akhir universiti. Kuliah pun sudah tidak begitu banyak. Bila belajar, kami fokus pada pembelajaran dan siapkan tugasan yang diberikan pensyarah.

"Tambah pula, sebagai pelajar TESL, pembelajaran kami di universiti yang banyak melibatkan pembentangan dalam kelas turut membantu kami berkomunikasi dengan para pelanggan. Ya, ia sedikit sebanyak membantu kami membina keyakinan ketika berdepan dengan pelanggan," katanya sambil menjelaskan mereka mempunyai prestasi pelajaran yang baik.

"Kalau hendak diikutkan, untuk siapkan tempahan ia tidak mengambil masa yang lama. Ada tempahan yang dalam tempoh setengah jam pun boleh siap sepasang. Yang ambil masa hanyalah memikirkan rekaan baru," katanya.


MENGGUNAKAN cat akrilik, pewarna fabrik dan marker, lukisan Boonga dijamin kalis air.





Boonga melukis corak dan mewarna kasut dengan catan tangan menggunakan cat akrilik, pewarna fabrik, berus dan marker. Variasi corak dan lukisan dapat dilihat pada nukilan mereka. Ada yang bersifat comel, ganas, lucu dan bertemakan kartun. Ada yang mempunyai tulisan bermesej dan ada yang berkarakter. Yang berwarna-warni boleh didapati, apatah lagi yang bercorak ringkas.

Menurut 'Aisyah, berdasarkan tempahan yang diterima, pihaknya mendapati kebanyakan pelanggan meminati corak-corak yang ringkas tetapi menarik.

Kata 'Aisyah, pengguna tidak perlu bimbang warna atau corak luntur atau rosak jika terkena air kerana selagi kasut tidak koyak, selagi itulah warna dan coraknya akan kekal.

Menjenamakan produk mereka sebagai Boonga Art Shoes, 'Aisyah memberitahu, pihaknya mendapatkan bekalan kasut kanvas putih daripada syarikat kasut. Setakat ini ada banyak pihak yang menghubungi mereka untuk menjalinkan kerjasama termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

Ditanya bagaimana mereka boleh dikenali dalam masa yang agak singkat, Putra dan 'Aisyah menjelaskan pihaknya berusaha keras untuk memasarkan produk mereka.

"Kami memasarkan produk kami dengan pelbagai cara. Kalau kami jalan-jalan dan temui orang, kami sebarkan kad-kad bisnes kami sebanyak-banyaknya. Kami juga menggunakan platform maya iaitu laman web atau blog www.boongashoes.blogspot.com untuk memperkenalkan produk kami kepada orang ramai.

Mereka yang berminat bolehlah melihat rekaan-rekaan yang telah dihasilkan di laman web berkenaan.

"Selain daripada rekaan sedia ada, pelanggan juga amat dialu-alukan untuk menyatakan rekaan baru yang mereka inginkan. Mereka jelaskan pada kami corak bagaimana yang mereka mahu hasilkan. Insya-Allah kami akan berusaha merealisasikannya," ujar 'Aisyah.

Menyentuh tentang cabaran, 'Aisyah berkata, selain masih baru dalam bisnes, masalah yang mereka hadapi ialah corak yang dihasilkan merupakan lukisan tangan. Untuk mendapatkan corak atau rekaan 100 peratus sama seperti yang dihasilkan terdahulu adalah agak sukar.

"Ia merupakan cabaran bagi perusahaan kasut lukisan tangan berbanding cetakan. Tapi, itu juga bermakna para pelanggan boleh mendapat corak kasut yang eksklusif dan kasut mereka tidak mungkin sama dengan orang lain.

"Sebelum ini kami cuma menghasilkan kasut untuk remaja dan orang dewasa, tetapi kami sudah mula mengorak langkah menghasilkan kasut kanak-kanak. Kami juga sudah mendapat tempahan untuk keluarga. Ini bermakna ibu bapa dan anak-anak mereka mungkin boleh mempunyai corak kasut yang sedondon dan seiras," katanya sambil menjelaskan Boonga kini turut mengusahakan corak kasut kanak-kanak.