PETALING JAYA – Pasangan suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penipuan RM95,180 melibatkan Afreena Suhaimi yang juga isteri pelakon dan pelawak Along Cham baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan suami isteri berusia lingkungan 20-an di kediaman mereka malam tadi.
“Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 10 malam di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang.
“Permohonan reman terhadap pasangan itu akan dilakukan di Mahkamah Kajang,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Hussein, setakat ini, pihaknya telah merakam tiga percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
“Seramai tiga individu termasuk isteri kepada Along Cham (Afreena) sudah dirakam keterangan,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan polis mengesahkan telah menerima laporan daripada isteri pelawak dan pelakon Along Cham, Afreena Suhaimi, berhubung kes penipuan melibatkan dana berjumlah hampir RM100,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata laporan tersebut dibuat oleh isteri selebriti itu di Kajang, Selangor.
“Isterinya (Afreena) membuat laporan bahawa dia telah ditipu oleh seseorang. Kes berkenaan sedang disiasat oleh polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE.