PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam sistem waktu bekerja mestilah dilaksanakan secara holistik.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, langkah itu perlu dilaksana dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan perkhidmatan, kebajikan pekerja, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula cadangan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) adalah langkah yang tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak.
“Cuepacs mengambil maklum dan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk membatalkan projek rintis WBB yang sebelum ini dicadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan petugas kesihatan dan memahami keperluan untuk melakukan kajian yang lebih menyeluruh sebelum melaksanakan sebarang perubahan besar dalam sistem waktu bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu beliau juga ingin menegaskan bahawa cadangan WBB bukan berasal daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seperti yang disalahertikan oleh sesetengah pihak.
“Sebaliknya, ia adalah cadangan daripada Medical Advisory and Action Committee (MAAC). Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai ini tanpa asas yang kukuh.
“PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan Negara,” katanya.
Katanya, Cuepacs turut menyokong langkah KKM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.
“Cuepacs berharap jawatankuasa ini akan mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan, termasuk wakil kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan kesihatan.
“Sehubungan itu, Cuepacs dengan tegas menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE