fbpx
Kenaikan harga makanan di kantin sekolah hanya melibatkan tender baharu yang telah dipersetujui.

Harga makanan kantin sekolah naik RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belum reda isu tambang bas sekolah yang mengalami kenaikan sehingga RM300, golongan ibu bapa kini terpaksa pula mengeluarkan belanja lebih untuk wang saku anak mereka susulan kenaikan harga makanan di kantin sekolah sejak awal bulan ini.

Kenaikan itu bagaimanapun hanya melibatkan tender-tender kantin baharu bagi tahun 2023 dengan kebanyakan harga makanan naik antara 20 sen hingga RM1.

Hasil tinjauan Kosmo! di beberapa negeri, antara makanan yang mengalami kenaikan termasuklah nasi lemak, nasi putih berlauk, mi goreng dan kuih.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, kenaikan harga melalui tender baharu itu sebenarnya telah dipersetujui oleh pihak sekolah yang membuka tender tersebut.

“Harga yang dikatakan mahal itu sebenarnya telah dipersetujui oleh keduwa-dua pihak ketika tender dibuka kerana pihak sekolah akan teliti dahulu sebut harga yang dibentangkan pengusaha.

“Kalau harga naik melibatkan tender lama, saya yakin perkara itu tidak berlaku kerana sekolah mempunyai jawatankuasa pemantau yang memantau harga.

“Sekiranya didapati harga tidak mengikut kontrak yang ditetapkan, pihak pengusaha kantin boleh dibuang dan diberhentikan,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Tambah Siti Normah, walaupun berlaku kenaikan harga barang mentah di seluruh negara ketika ini, harga makanan di kantin-kantin sekolah masih berpatutan dan masih relevan.

“Bulan lalu saya ke Terengganu, harga sekilo ayam sudah mencecah RM9. Maksudnya, harga bahan mental di luar bandar sudah mahal.

“Buat masa ini, tiada laporan yang diterima mengenai kenaikkan harga makanan melibatkan tender lama. Jika ada, itu adalah tender baharu yang telah
dipersetujui pihak sekolah,” tegasnya.

Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa yang ditemui mengakui agak terbeban dengan sebarang kenaikan terutama melibatkan harga makanan di kantin sekolah.

Di Shah Alam, Selangor, ibu bapa memilih untuk menambah belanja wang saku persekolahan anak-anak bagi menampung kos makanan di kantin sekolah.

Ismail Yusof, 35, berkata, kenaikan harga makanan di kantin sekolah memang terasa sehingga dia terpaksa membelanjakan RM50 setiap minggu untuk wang saku kepada dua anaknya.

“Sebelum ini, saya beri seorang RM4, namun kini RM5. Kenaikan RM1 pun amat terasa.

“Saya harap ada kawalan dari segi harga makanan di sekolah khususnya dalam mengimbangi kos sara hidup,” katanya.

Seorang suri rumah, Hasnita Hisham, 38, pula mengambil pendekatan untuk menyediakan bekalan makanan kepada dua anaknya setiap hari.

Ujarnya, ini berikutan harga makanan seperti nasi goreng dan nasi lemak biasa telah mengalami kenaikan sehingga RM2.50 sepinggan.

“Bagi kami, harga nasi goreng itu agak mahal untuk seorang murid,” jelasnya.

Di Ipoh, Perak, harga bagi beberapa jenis makanan di kantin sekolah yang sebelum ini RM1 kini dinaikkan kepada RM1.20.

Antara harga jualan tersebut adalah RM1.20 bagi nasi lemak, RM1 (laksa mangkuk kecil), RM1.20 (bihun goreng), RM1.20 (mi goreng), manakala kuih kekal dijual 50 sen sebiji.

Menurut seorang bapa, Muhd. Syamsul Azhar, 35, kenaikan harga makanan itu menyebabkan anaknya perlu membawa duit syiling bagi memudahkan urusan pembelian makanan di kantin.

“Jika dahulu senang nak beli kerana harga makanan RM1, jadi anak-anak hanya hulur wang kertas RM1 ketika membeli.

“Kini, mereka terpaksa membawa duit syiling ketika mahu membeli makanan atau minuman di kantin,” jelasnya.

Di George Town, Pulau Pinang, kenaikan harga RM1 bagi menu makanan di kantin sekolah di negeri ini hanya berlaku melibatkan hidangan nasi putih beserta lauk ayam.

Berdasarkan kenaikan tersebut, harga bagi satu pinggan nasi berlauk ayam kini dijual sekitar RM4 di kantin sekolah mene­ngah, manakala RM3 untuk sekolah rendah.

Seorang pengusaha kantin, Rushdi Abdul Majid berkata, harga baharu bagi menu hidangan tersebut telah ditetapkan sejak 1 Disember tahun lalu ekoran kenaikan harga barangan mentah dan kering di pasaran.

Menurutnya, keputusan kenaikan harga itu juga dilaksanakan berdasarkan tender baharu pengusaha kantin termasuk mengambil kira kos gaji pekerja.

“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa menaikkan harga makanan sebanyak RM1 bagi hidangan nasi dan lauk ayam.

Banyak cabang yang menjuruskan kepada kenaikan harga makanan ini.

“Tidak semua pelajar makan di kantin dan ada yang bawa bekalan dari rumah. Kami juga perlu membayar bil utiliti serta sewa kantin meskipun pada cuti panjang persekolahan dan ketika bulan Ramadan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN