fbpx

Bukan Perancis atau Australia, Nourul tunggu visa untuk berangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOURUL,suami dan anak-anak kini hanya menunggu hari untuk berangkat menetap di luar negara.

PETALING JAYA – Hanya tinggal menunggu kelulusan visa, penyanyi Nourul Wahab Depp kini menghitung hari untuk berhijrah bersama keluarganya ke negara jiran yang dijadualkan pada pertengahan bulan depan.

Katanya, persediaan berpindah ke luar negara kini sudah hampir 70 peratus disempurnakan, terutama membabitkan urusan logistik barangan yang perlu dibawa nanti.

“Alhamdulillah urusan kami dipermudahkan, mungkin disebabkan perancangan hijrah ini sepatutnya direalisasikan tahun lalu.

“Jadi segala urusan dan persediaan ke arah itu telah lakukan sedikit demi sedikit mengikut keutamaan membuatkan semua proses berjalan dengan teratur.

“Kami juga sudah dapat sekolah  untuk tiga anak, selain rumah di sana. Cuma sekarang proses yang masih berjalan adalah memilih barang yang bakal dibawa dengan kontena nanti.

“Tinggal tunggu permohonan visa diluluskan selain suntikan vaksin kedua. Kalau semua urusan selesai, insya Allah kami akan berangkat pada 15 atau 20 Julai ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi Kerana Terluka itu bagaimanapun masih belum sedia mendedahkan destinasi pilihan, sebaliknya hanya memaklumkan negara yang menjadi tempat bermastautinnya nanti masih berdekatan dengan Malaysia.

Biar ada dalam kalangan pengikut Instagramnya membuat tekaan negara kelahiran suaminya, Perancis atau berkemungkinan besar Australia sebagai pilihan, ibu kepada empat cahaya mata itu bertegas hanya sedia mendedahkan destinasinya selepas selamat berangkat.

Katanya, bukan sengaja mahu berahsia namun situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia antara sebab mereka menunggu perkembangan lanjut.

Biarpun penghijrahan menjadi alasan paling kukuh untuk ‘terbang’ ke luar negara, dia lebih selesa mendedahkan perkara berkenaan apabila segala-galanya sudah diluluskan.

“Sebaik dapat visa, barulah kami boleh membuat tempahan tiket kapal terbang dan urusan selanjutnya. Jadi selagi belum sahih, baik jangan hebohkan.

“Ditambah pula dengan situasi pandemik, apa pun, biar di mana pun negara pilihan kami, Malaysia tetap kukuh dalam hati apatah lagi anak sulung tidak ikut bersama.

“Bukan Perancis kerana saya dan suami sepakat hijrah ke negara jiran yang berhampiran. Kami masih boleh berulang bertemu anak, tengok rumah atau memenuhi undangan kerja seni saya.

“Semua urusan kerjaya seni saya pula akan dikendalikan pasukan di sini, begitu juga rumah kami. Rumah di Malaysia tidak akan dijual walaupun ikut perancangan, kami akan tinggal di luar negara sehingga anak tamat sekolah.

“Sudah tentu semua ini bakal memberi pengalaman baharu buat kami sekeluarga, terutama anak-anak. Sebenarnya mereka teruja dan tak sabar menunggu saat itu.

“Cuma agak sedih juga terpisah dengan kakak mereka, Ayu. Tetapi macam yang dijanjikan, jika bukan kami yang pulang, Ayu akan melawat kami di sana nanti,” katanya.

Menerusi perkahwinan dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp pada tahun 2012, Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary 7, dan Raphael Depp, 5, dan Isabella, 2.

Ayu Nazirah yang kini sudah mencecah usia 22 tahun merupakan anak Nourul daripada perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI